Oleh : Fathi Aris Omar
Dua hari lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina menyiarkan 90 foto mereka yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan di Lebuhraya Kesas pada 5 November lalu. Menurut seorang pegawai polis, mereka dikehendaki hadir ke balai untuk membantu siasatan.
Malah seperti dilaporkan, tambah pegawai itu lagi, siasatan itu akan diserahkan ke ibu pejabat polis di Bukit Aman sebelum dibawa kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) - kononnya bagi menyiasat kes keganasan polis.
Tidak seperti akhbar berbahasa Inggeris dan Melayu, China Press menyiarkan semua foto berkenaan. Foto ke-89 menjadi tanda tanya sejauh mana polis negara ini serius dan profesional.
Foto itu (lihat sebelah) menunjukkan seorang kanak-kanak kecil, dipercayai berusia satu hingga dua tahun, yang tidak memakai baju dan dipegang seseorang (hanya ternampak tangan) dengan lilitan kepala (headband) berlambangkan parti Keadilan.
Foto terakhir juga menunjukkan seorang kanak-kanak tetapi foto ke-89 itu boleh menjadikan polis negara ini sejenis makhluk yang layak dijadikan bahan ketawa, sekurang-kurangnya selama beberapa hari.
Slogan pasukan itu "cepat dan betul" boleh ditafsirkan sebaliknya.
Lembab kerana mengambil masa hampir dua minggu, daripada tarikh perhimpunan tersebut, sebelum berjaya mengesan orang ramai yang kononnya terlibat dalam "berhimpun dan merusuh" (maaf, ini istilah akhbar arus perdana).
Tidak betul kerana kanak-kanak berusia semuda itu tidak mungkin berbuat sesuatu yang membahayakan pasukan keselamatan atau mengancam keselamatan negara.
Tidak logik pula kalaulah dia telah terlibat menjerit melaungkan "re-for-ma-si," atau membaling semula gas pemedih mata ke arah polis FRU, atau berlari-lari sehingga lebuhraya itu sesak sepanjang lima kilometer, atau melindungi pemimpin Barisan Alternatif daripada pancutan air berkimia.
Bagi penceramah pembangkang yang sedang berkempen di Lunas, elok kiranya keratan akhbar ini (Sabtu) dijadikan modal pilihanraya, sesekali 'buat lawak,' tidaklah membosankan pengikut Keadilan-DAP yang geram melihat gelagat pemimpin berebut kerusi.
Taktik menyiarkan foto untuk mengesan demonstran telah bermula selepas perhimpunan protes pada hari bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman pertama, 14 April tahun lalu.
Demonstran bukan penjenayah
Kemudian, mereka yang terlibat dalam beberapa siri perhimpunan seterusnya - seperti dua perhimpunan selepas mengetahui Anwar mengalami keracunan arsenik, September tahun itu dan juga demonstrasi pro-Harakah Mac tahun ini - menghadapi risiko dikesan polis melalui rakaman foto.
Bagaimanapun, sangat sedikit mereka yang dikehendaki polis itu menyerah diri. Malah, polis pula tidak berbuat apa-apa tindakan jika kita tidak menyerah diri.
Oleh itu, taktik itu disifatkan hanyalah untuk menakut-nakutkan orang ramai dan penyokong reformasi agar tidak menyertai perhimpunan aman - tidak sama tujuan polis menyebarkan foto samseng Kalimuthu beberapa tahun lalu.
Lagipun, demonstran bukanlah penjenayah walaupun mungkin mereka boleh dikatakan melanggar peraturan kerajaan Malaysia. Alamak, jika peserta perhimpunan boleh dianggap penjenayah, apakah kanak-kanak itu juga seorang penjenayah termuda di negara ini?
Nampaknya kita boleh mencipta satu lagi rekod kehebatan di negara ini, selain bendera terbesar atau bangunan tertinggi di dunia.
Oleh kerana kanak-kanak ini turut dikehendaki, ibubapanya atau pakcik-makciknya atau nenek-atuknya, silalah hubungi balai polis Kelang 03-3317-9999 atau ibupejabat polis Selangor 03-5514-5206.
Oh ya, jangan main-main, nombor telefon ini memang "betul" dan kalau anda mendailnya, "cepat" sampai ke balai berkenaan!
FATHI ARIS OMAR boleh dihubungi di fathi@malaysiakini.com [Dipetik daripada Malaysiakini.com]