Oleh Fathi Aris Omar,
Pengarang Berita Malaysiakini.Com
Media tidak hidup sendirian. Ia berinteraksi dalam lingkungan masyarakat, antara kerajaan, kaum pemodal dan pembaca. Ia juga harus mempunyai segugusan idealisme profesionalismenya sendiri dan juga idealisme perjuangan setempat.
Seperti juga beberapa kerjaya profesional yang lain, media tertakluk kepada etika dan hukum profesionalisme yang tersendiri. Bagaimana berita ditulis harus mengikut hukum 4W + 1H yang menjadi asas teknik penulisan berita.
Selain itu, ia juga berpegang kepada idealisme etika wartawan itu sendiri -- bagaimana mereka mendapatkan berita melalui cara-cara yang beretika dan bagaimana berita harus dipaparkan secara beretika. Di negara ini, soal teknik penulisan berita, khususnya mereka yang tidak terlatih dalam media-media kecil, masih lagi menjadi isu besar tetapi isu yang lebih besar ialah bagaimana berita dipaparkan.
Isu inilah yang dipertikaikan oleh beberapa pihak terhadap media arus perdana di negara ini. Kawalan ketat politik dan kerajaan menghasilkan sejenis budaya kewartawanan tersendiri di negara ini dengan pelbagai amalan dan konsep yang lintang-pukang.
Debat awal bulan Disember lalu antara Zakiah Koya (wartawan Malaysiakini.Com) dengan Jacqueline Ann Surin (The Star) mendedahkan isu-isu yang cerewet daripada segugusan tanggapan terhadap media. Kedua-duanya memaparkan beberapa sudut yang benar, walaupun kedua-duanya juga menunjukkan sisi-sisi yang lemah.
Selain itu, isu yang cukup serius ialah tekanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap media-media bebas dan propembangkang. Budaya kawalan yang kuat ini mahu pula diterapkan di luar batasan media arus perdana. Kerajaan nampaknya sangat serius membolot semua saluran maklumat.
Bagaimanapun, wartawan bebas dan kumpulan pembangkang tentunya meneruskan perjuangan berteriak melalui media mereka sendiri. Ia akhirnya mendorong istilah media alternatif atau media bebas. Kedua-duanya mempunyai kelemahan ketara, kedua-duanya menjadi alat politik -- atau dilihat begitu -- akibat sikap cemburu KDN, amalan politik dan amalan niaga di negara ini.
Tidak ramai orang menyedari -- walau mereka tahu -- bahawa media memerlukan kerja berpasukan dan modal yang besar. Nasib media alternatif atau media di luar arus perdana sentiasa gagal mencapai profesionalisme yang sebenar (atau lebih tepat, profesionalisme yang relatifnya tinggi daripada keadaan kini) kerana kekurangan modal untuk mengambil wartawan terlatih dan menikmati kejayaan akibat kumpulan pembaca (pasaran) yang besar.
Tidak ada syarikat besar dan kukuh bersedia membeli ruang iklan di media alternatif walaupun pasarannya kini sangat besar selepas era reformasi 1998. Syarikat kecil yang bergantung kepada kontrak kerajaan atau diusahakan oleh mereka yang "ingin selamat" (play safe) turut termasuk dalam kategori itu.
Walaupun, harga ruangan iklan berbanding jumlah edaran sesebuah penerbitan sudah kompetitif dan berbaloi dengan harga pasaran tetapi tidak ada syarikat yang sanggup membeli ruangan itu kerana takut pandangan kerajaan. Keadaan ini wujud sebahgiannya persepsi masyarakat niaga terhadap sikap keras kerajaan atau kualiti media-media alternatif itu sendiri.
Sesebuah media harus mempunyai reka bentuk, konsep penerbitan dan kualiti laporan yang berwibawa dan profesional tetapi ini semua memerlukan sejumlah suntikan modal atau pelaburan, selain pendapatan daripada jualan dan iklan.
Akibat modal yang terhad, kita dapati semua media cetak yang bersaiz kecil (bukan daripada syarikat arus perdana) mengalami nasib ini. Maksud saya, media yang memaparkan isu-isu semasa dan politik. Beberapa jenis majalah lagi, seperti majalah wanita, fesyen dan remaja, lebih senang mendapat iklan. Majalah berbahasa Inggeris walaupun jumlah edarannya jauh lebih terhad mendapat lebih banyak iklan dengan harga yang relatifnya lumayan.
Oleh itu, media bebas selalunya sangat daif. Tidak ada pelabur -- individu atau syarikat -- yang sanggup "menderma" wang mereka beratus-ratus ribu ringgit semata-mata untuk dibenci oleh kerajaan, atau mengalami nasibnya ditutup oleh permit penerbitan KDN di hujung tahun. Di sinilah kita lihat DOSA yang paling BESAR yang disumbangkan oleh kementerian itu terhadap akhbar Eksklusif dan majalah-majalah Al-Wasilah dan Detik.
Nasib seumpama ini dialami juga oleh penerbitan web seperti Malaysiakini.Com atau Agenda Malaysia – untuk mendapatkan pelaburan dan pengiklan yang bebas daripada kepentingan ekonomi kroni.
Selain isu pengaruh kerajaan dan modal terhadap media, jaminan media bebas juga terletak pada sikap pembaca -- sama ada individu, parti politik atau kumpulan berkepentingan yang lain. Pengalaman saya dan rakan-rakan dalam KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) menunjukkan kumpulan pembaca itu termasuk dalam dua kategori, (a) jahil walau kritis terhadap konsep dan peranan media bebas, dan (b) melihat media sebagai alat promosi parti dan idea mereka.
Pembaca lebih gemar kita menulis apa yang mereka mahu baca, bukannya menulis apa yang sepatutnya mereka ketahui, fikirkan dan bertindak. Pengalaman saya bersama Detik, Tamadun dan Malaysiakini.Com vis-a-vis penyokong dan aktivis parti-parti pembangkang menunjukkan mereka ini mempunyai "naluri kediktatoran" (dictatorial instinct), sama seperti sikap KDN atau Umno terhadap media bebas.
Bezanya, satu kumpulan mempunyai kuasa yang rasmi untuk menindas; sementara satu lagi tidak mempunyai kuasa itu.
Bagi diri saya, yang lebih menakutkan bukannya tekanan KDN tetapi sikap masyarakat pembaca dan juga parti-parti pembangkang itu sendiri terhadap media dan wartawan bebas.
Bagaimanapun, umumnya masyarakat pembaca semakin kritis terhadap media, sama ada arus perdana atau bukan. Cuma, banyak kalinya kita lihat hujah mereka itu dangkal dan tersimpang atau selalunya juga hanya kecaman beremosi. Kedua-duanya tidak menampakkan harapan yang cerah untuk menyokong media bebas.
Mahu atau tidak, akhirnya media didorong tercampak dalam kancah yang dikehendaki oleh aturan sosio-politik seperti yang digariskan secara rasmi dan tidak rasmi antara KDN, Umno, pembangkang dan pembaca. Media bebas dan pengamalnya tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengatur arusnya walaupun kami selalunya bermimpi untuk melihat media sebagai "tonggak keempat negara" (the fourth estate) selain kabinet, Parlimen dan badan kehakiman, yakni untuk meneruskan sistem semak dan imbang (check and balance).
Apabila difikirkan secara lebih halus dan mendalam, beberapa faktor yang mendorong hal ini ialah kecetekan kefahaman demokrasi di kalangan rakyat-pemimpin negara ini. Kedua, kerana rakyat itu sendiri tidak perkasa untuk memberikan impak politik terhadap media, parti politik dan agenda kepentingan rakyat itu sendiri.
Rakyat tidak ubah sekawan lembu yang ditarik hidungnya oleh parti-parti politik pembangkang dan kerajaan yang tidak mampu bersama media bebas dan wartawannya. Sebab itulah apabila Detik, Eksklusif, Al-Wasilah dan Harakah mengalami penindasan KDN, kita tidak berjaya melihat kumpulan beribu-ribu pembaca di Masjid Negara atau di depan Penjara Kajang.
Namun, dosa ini juga seharusnya dikongsikan oleh kalangan wartawan itu sendiri, baik kumpulan wartawan bebas dan wartawan arus perdana itu sendiri. Misalnya, kegagalan wartawan bebas untuk bersatu dalam sebuah kumpulan yang kukuh dan konsisten untuk menyedarkan pembacanya tentang isu-isu yang dibicarakan di atas.
Selagi wartawan yang mewakili media ini tidak bersatu arah dan berkongsi perjuangan yang dipersetujui bersama (nilai-nilai minimumnya), kita semua akan menjadi mangsa masyarakat pembaca, pembangkang dan kerajaan.
Wartawan arus perdana menjadi mangsa kecaman masyarakat pembaca dan parti pembangkang. Wartawan bebas pula menjadi mangsa KDN dan kumpulan pemodal. Kedua-duanya adalah himpitan yang hina tetapi jasad (media) yang sakit dan terlantar hanya mampu menggerak-gerakkan hujung jari dan bersuara lembik.
Wartawan dan media adalah kelompok manusia yang sakit dan sepi. Nampaknya, kita harus menanggung kesakitan sendirian lagi. Bukan pembaca, bukan KDN-Umno dan bukan pembangkang yang sanggup memikul perjuangan ini.
Apatah lagi, wartawan sendiri tidak mampu berjuang dengan lebih lantang. Oleh itu, kebebasan media hanyalah idealisme dan teks kewartawanan di sekolah-sekolah komunikasi massa.
..................................................................................
Fathi Aris Omar boleh dihubungi di fathi@malaysiakini.com