Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Lebih 11 laman web reformasi, pembangkang ‘hilang’

Lebih 11 laman web proreformasi dan parti pembangkang sejak tengahari tadi gagal dicapai oleh pengguna Internet. Semua laman ini berdaftar dengan pelayan (server) syarikat Tripod.com.

Menurut seorang pengendali laman tersebut, pelayan itu mungkin akan membuang lagi beberapa laman yang didakwa “melanggar peraturan” syarikat itu. Dalam mesejnya kepada pengendali-pengendali laman tersebut, Tripod.com menyifatkan mereka “menyalahgunakan” kemudahan di pelayannya.

Inilah kali pertama syarikat penyedia kemudahan webhosting (menyewa tapak web) itu mengeluarkan notis seumpama itu, kata sumber yang lain. Tripod.com sebelum ini pernah mengalami keadaan seumpama ini tetapi hanya selama dua hari sahaja dan kemudian masalah teknikal itu berjaya diatasi.

Laman-laman reformasi terbabit termasuklah Mahafiraun, Komentar, Pemantau, Minda Rakyat, Debat 2020, NT (anti) Zalim, sementara laman pertubuhan antaranya Harakah Daily (laman sokongan), Detik Daily (milik syarikat Penerbitan Pemuda), PAS Parit Buntar, Perak dan tiga laman Tranung Kite (PAS Dungun, Terengganu).

Bagaimanapun, Laman Reformasi atau lebih dikenali sebagai ‘mahazalim’ tidak mengalami sebarang masalah setakat ini.

Pada halaman depan tapak web yang paling popular ini, satu pengumuman menyebutkan: “Kemungkinan (keadaan) ini adalah masalah teknikal yang sedang berlaku di server (pelayan) Tripod.com tetapi saya tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat juga unsur-unsur sabotaj terhadap laman-laman proreformasi.”

Menurut satu sumber lagi, serangan bermula sejak tengah malam tadi (awal pagi Sabtu) apabila tiga laman reformasi yang aktif - Minda Rakyat, Komentar dan Tranung Kite - tidak boleh dicapai. Seseorang pengguna Internet akan mendapat mesej bahawa laman-laman tersebut tidak lagi ditempatkan di pelayan Tripod.com

Sejak lebih 24 jam

Satu sumber daripada Penerbitan Pemuda tengah malam ini berkata, laman sokongan syarikat itu juga turut mengalami masalah yang sama sekejap tadi. Bagaimanapun, laman sokongan Tranung Kite di tranungdaily.tripod.com masih lagi beroperasi.

Satu sumber pakar internet memberitahu malaysiakini, tindakan berperingkat-peringkat ke atas laman-laman Malaysia yang menyewa ruang di Tripod.com sejak lebih 24 jam itu “menimbulkan keraguan bahawa mungkin terdapat unsur sabotaj.”

Jika Tripod.com gagal menghidupkan semula laman-laman web tersebut, malaysiakini difahamkan semua maklumat yang tersimpan pada laman proreformasi dan pembangkang tersebut akan hilang begitu sahaja kecuali pengendali-pengendalinya menyediakan salinan-salinan di cakera keras atau tapak web sokongan.

Beberapa laman proreformasi telah memulakan operasi sejak September 1998 dan mempunyai simpanan (arkib) berpuluh-puluh ribu tulisan, foto, imbasan dokumen penting, dan berita-berita semasa.

Pengendali-pengendali web bimbang perkembangan ini ada kaitan dengan usaha terbaru kerajaan menguatkan tekanan terhadap media yang dilihat suka mengkritik dasar-dasar kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungdaily.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com