Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mahathir terdesak, Adun bermasalah, Sultan selesaikan?

Fathi Aris Omar

Konflik dalam Umno Kuantan memasuki babak menarik apabila nama Sultan Pahang dikaitkan dengannya hari ini. Baginda dikatakan telah bertemu wakil rakyat Beserah malam tadi dan memberikan beberapa ‘nasihat.’

Sultan Ahmad Shah dikatakan meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu, Datuk Fauzi Abdul Rahman, agar menarik semula tindakannya membuat laporan polis tiga hari lalu dan menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu semalam.

Sementara Perdana Menteri, juga Presiden Umno, secara terbuka menyedari tindakan Fauzi itu menimbulkan masalah kepada parti.

Dr Mahathir Mohamad, apabila diminta mengulas isu panas itu berkata, ahli Umno yang tidak mendapat cukup pencalonan untuk bertanding pada pemilihan peringkat bahagian bulan depan, agar tidak menimbulkan masalah kepada parti.

“Kalau kita tidak dicalonkan, kita tidak jadi calonlah,” katanya. “Sepatutnya kalau kita tidak dicalonkan, jangan timbulkan masalah.”

‘Masalah’ apakah yang mendorong Sultan meminta Fauzi mengadap baginda? Masalah Umno - dikatakan semakin terpinggir daripada Melayu - atau masalah Setiausaha Agungnya Khalil Yaakob - diadukan kepada polis Rabu lalu - yang dituduh mengagihkan kawasan balak melebihi kuota?

Tempoh 12 jam

Antara ‘nasihat’ yang disampaikan ialah baginda bersedia menyiasat dakwaan Fauzi bahawa wujud politik wang menjelang pemilihan peringkat bahagian sehingga beliau menerima pencalonan yang sangat buruk.

Tetapi, pemimpin Umno itu harus mengundur kedua-dua langkahnya itu - laporan polis dan surat peletakan jawatan - dalam tempoh kira-kira 12 jam daripada pertemuan itu.

Kini semuanya benar-benar bermasalah, Dr Mahathir, Fauzi, Khalil dan Umno sehingga memerlukan baginda sebagai simbol kepemimpinan tertinggi negeri campur tangan untuk menyelesaikannya. Apakah Umno di peringkat negeri dan juga pusat sudah tidak termampu lagi memujuk Fauzi?

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, juga Ketua Perhubungan Umno, dilaporkan berkata, beliau memerlukan masa sebelum membuat keputusan muktamad untuk menerima atau menolak surat peletakan jawatan Fauzi itu.

Adnan juga dilaporkan sedia mengkaji dakwaan Fauzi kemungkinan berlaku politik wang dalam pencalonan merebut jawatan ketua bahagian Kuantan yang berlangsung sekarang.

Kajian Adnan

“Kajian yang saya lakukan tidak mengambil masa lama, tetapi saya akan berlaku adil kepada semua pihak iaitu Umno Kuantan, Fauzi sebagai wakil rakyat Beserah dan calon lain yang menjalankan haknya sebagai ahli parti,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.

Malah Khalil sendiri dilaporkan sedia bertemu dan berbincang dengan Fauzi mengenai dakwaan-dakwaan dalam laporan polis itu. Antaranya, aduan polis itu menyebutkan tindakan Khalil itu “menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai” kerajaan Pahang sekarang akibat hasil balak sebanyak RM300 juta hingga RM900 juta yang telah dibuka lebih awal.

Bagaimanapun, menteri penerangan itu enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan itu kerana ia melibatkan dirinya sendiri. “Ulasannya lebih baik datangnya dari pihak atasan,” katanya, seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sekarang, apakah ‘masalah’ yang disebut Dr Mahathir semalam: Apakah bimbang Umno tewas jika kerusi Adun Beserah sekarang dikosongkan atau risau laporan polis itu akan membuka lebih besar tembelang parti itu di Pahang?

Tetapi masalah Perdana Menteri itu kebetulan sekali dengan masalah Fauzi di bahagiannya. Semoga tindakan baginda yang pantas dan bijaksana boleh meredakan keadaan seperti juga pergolakan antara ahli politik itu dengan pihak Istana selepas pilihanraya umum 1999.

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com