Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


ISA - cara militan, antiintelektual hadapi siswa

oleh : Fathi Aris Omar

Dua pemimpin siswa kini merengkok di bilik kecil seorang diri dan disiasat dengan intensif di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - tindakan ‘militan’ dan antiintelektual untuk menghadapi perbezaan pandangan dengan pelajar.

Walaupun Perdana Menteri mendakwa "terdapat corak yang semakin militan" di kalangan pelajar universiti kini tetapi Ketua Polis Negara minggu berikutnya menafikan wujudnya kecenderungan itu. Sebaliknya kenyataan Dr Mahathir Mohamad itu dan tindakan menahan aktivis pelajar di bawah akta lapuk itu menunjukkan "kecenderungan yang semakin militan" di pihak kerajaannya.

Polis tidak memberikan sebarang sebab atau ulasan berhubung dua tangkapan itu tetapi akhbar-akhbar yang dikuasai oleh parti kerajaan awal-awal lagi melaporkan siasatan itu "dipercayai" berhubung kebakaran Dewan Tunku Canselor pada 29 Jun dan juga pengedaran majalah Varsiti 2001.

Malah, diketuai oleh Dr Mahathir sendiri, pemimpin-pemimpin Umno semakin lantang cuba mengaitkan kejadian DTC itu dengan kegiatan pelajar antikerajaan di kampus-kampus, khususnya Universiti Malaya. Pemimpin nombor satu itu pernah berkata, dan disiarkan dengan bangga oleh stesen televisyen kerajaan, "saya tak tahu, kalau-kalau dewan itu rasa nak bakar diri sendiri."

Tanpa berfikir panjang, mereka menuduh beberapa kumpulan pelajar yang kritis kepada kerajaan dan meminta pertubuhan-pertubuhan itu disiasat polis dan diharamkan. Malah, dalam gesaan terbaru, pelajar dan pensyarah yang terlibat harus dibuang.

Dr Mahathir mungkin sangat kecewa lalu cuba membuat tohmahan melulu walau Ketua Polis Kuala Lumpur telah memberikan nasihat kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kebakaran itu.

Risalah (dikatakan) antikerajaan yang disebarkan di UM, sebelum lawatan Dr Mahathir, menggesa pelajar memulaukan majlis yang bakal dirasmikan olehnya. Risalah itu sendiri, dengan jelas, menunjukkan pelajar antikerajaan (jika benar mereka yang menyebarkannya) tidak membakarnya kerana mereka sendiri menjangkakan acara itu tetap diadakan di DTC - jika tidak, kenapa pula harus dipulaukan?

Tetapi kerana ghairah hendak menunjukkan setia pada Presiden Umno, pemimpin-pemimpin mudanya dengan segera mendesak Naib Canselor meletakkan jawatan dan biro pendidikan Pemuda pula dilaporkan akan menghantar maklumat kegiatan pelajar antikerajaan di kampus itu. Lucu sekali logik yang dipakai oleh parti yang semakin terdesak ini.

Pemimpin-pemimpin kerajaan, dan juga akhbar-akhbar milik mereka, tidak sedar kecenderungan mereka yang kian ‘militan’, antiintelektual dan tidak waras itu - semata-mata akibat kekurangan pengaruh undi Melayu dalam pilihan raya umum 1999 dan tewas mengejut di Lunas, Kedah tahun lalu.

Sejak dua pilihan raya itu, kerajaan menjalankan kempen sistematik dan bertubi-tubi menyerang semua pihak - termasuk Malaysiakini.com - yang cuba menegur dan menunjukkan kesilapan kerajaan. Selain akhbar web ini, akhbar-akhbar bebas milik persendirian dan bermotifkan perniagaan semata-mata Eksklusif, Detik, Gosip dan Semasa turut ditutup dan diharamkan dalam tempoh 18 bulan lalu.

Pembangkang pula ditindas dalam pelbagai bentuk - Terengganu ditarik semula royalti minyak, PAS ditarik permit asal penerbitan Harakah (lapan kali sebulan), dan aktivis reformasi ditahan di bawah ISA semata-mata hendak menganjurkan perhimpunan serahan memorandum ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dua aktivis pelajar, seorang di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan seorang lagi di Universiti Malaya ditahan dua hari berturut-turut. Kita bimbang beberapa lagi aktivis pelajar turut menjadi sasaran. Apakah silap mereka?

Alasan-alasan yang sering dilaporkan (walaupun itu semua semata-mata khayalan akhbar-akhbar milik kerajaan): mengedarkan majalah Varsiti 2001, mengadakan perhimpunan anti-ISA di Masjid Negara pada 8 Jun dan juga kebakaran DTC. Barangkali satu lagi alasan yang sesuai: menyertai persatuan yang tidak berdaftar.

Apakah alasan-alasan ini boleh menghalalkan penggunaan ISA - sekurang-kurangnya untuk meyakinkan ahli-ahli Umno sendiri? Tindakan yang bukan rasional sebenarnya bersifat antiintelektual semata-mata.

Kita tahu kerajaan menggunakan media untuk memburuk-burukkan pelajar sebelum menghukum mereka melalui tangkapan. Dengan itu, orang ramai nampak tindakan penahanan di bawah ISA itu wajar, bagus dan baik - kerajaan sebenarnya melindungi nyawa orang ramai (padahal mempertahankan kuasanya seorang diri).

Kempen kerajaan secara intensif dalam tempoh dua minggu ini tidak jauh bezanya "perbicaraan melalui media" (trial by media) ketika Anwar Ibrahim dipecat tetapi belum disabitkan sebarang pertuduhan di mahkamah. Modus operandi sama - apakah mastermind orang yang sama?

Jika alasan-alasan itu tidak boleh diterima, apakah tindakan kerajaan ini tidak militan, tidak esktrem? Sungguh sukar hidup berbeza pandangan dengan kerajaan terdesak seperti yang dipimpin Dr Mahathir.

Kita tidak bimbang perompak atau penjenayah menculik kita di tepi jalan, ketika sedang nyenyak tidur atau berbual-bual kosong di kedai kopi. Tetapi saban waktu, kita sentiasa bimbang diculik ISA oleh kerajaan kita sendiri.

...............................................................
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai pengarang berita Malaysiakini.com PANDANGAN INI BERSIFAT PERIBADI.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com