Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hapuskan pilihanraya kampus: Idea paling bahaya

Oleh: Fathi Aris Omar

Rencana Sekumpulan pemikir, kononnya, Universiti Kebangsaan Malaysia mendesak kerajaan menghapuskan pilihan raya kampus di semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam. Kononnya lagi, langkah itu bertujuan mengurangkan pengaruh politik kepartian khususnya di kalangan pelajar Melayu.

Menurut laporan akhbar hari ini, sekumpulan 20 pensyarah dan pemimpin pelajar itu telah menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri dan mencadangkan agar kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dibuat secara lantikan oleh Naib Canselor.

Walaupun laporan ‘misteri’ itu tidak menyebut sebarang nama ‘pemikir’ dalam kumpulan itu, tetapi nyata sekali langkah itu bersifat antithesis kepada kempen kerajaan untuk melemahkan pelajar ‘militan’ dan ‘gerakan bawah tanah’ - seperti didakwa - di IPT.

Bagaimanapun jika idea itu dilaksanakan oleh kerajaan, khususnya jika dimasukkan dalam pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) ketika sidang Dewan Rakyat Oktober ini, langkah itu tidak mengejutkan.

Dua hari lalu, presiden MPP Universiti Putra Malaysia telah membuat ramalan - atau lebih tepat, melahirkan kebimbangannya - kalau-kalau seksyen 48(1) akta universiti dipinda.

Ketika dihubungi malaysiakini, Mohd Nasri Muarat berkata seksyen itu yang membenarkan pemilihan wakil pelajar secara demokrasi di kampus-kampus “kemungkinan besar” diperketatkan untuk membolehkan pihak pentadbiran melantik sendiri pemimpin pelajar.

Hak pelajar terabai

“Jika perkara itu dipinda, maka hak bersuara dan (sistem) demokrasi yang ada pada pelajar akan hilang. Hak pelajar akan terabai,” tegasnya.

“Jika tidak berdasarkan pilihanraya (kampus), persatuan pelajar akan lebih terdedah kepada aspirasi pentadbir universiti dan bukannya suara mahasiswa.”

UKM sendiri telah menghapuskan pilihan raya di peringkat kolej kediaman pelajar dua tahun lalu. Langkah ini, seperti dimaklumkan oleh aktivis-aktivis pelajar kepada penulis, mungkin sebagai ‘satu ujikaji’ kerajaan ke arah menghapuskan pilihan raya kampus.

Hakikatnya di negara kita, jika kerajaan mahu, ia boleh berbuat apa sahaja khususnya untuk memanjangkan hayat pemerintahan Dr Mahathir Mohamad dan Umno, yang semakin hari semakin mudah dipertikaikan oleh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sendiri.

Bagaimanapun, perlu diingatkan kepada ‘kumpulan pemikir’ itu bahawa membunuh proses pemilihan secara demokrasi di peringkat kampus sama ertinya membuang pendidikan asas ke arah pilihan raya umum di negara ini.

Sebagai komuniti cerdik pandai yang bakal mencorakkan kepemimpinan negara, pelajar harus ditanam jiwa demokrasi agar daya kepimpinan mereka dapat disalurkan secara tersusun dalam kerangka sistem bernegara yang sedia ada.

Kejatuhan Soeharto

Jika generasi muda, terpelajar pula, yang bakal menduduki lapisan-lapisan utama pengurusan negara - sama ada sektor awam dan swasta - tidak dilatih menghayati demokrasi, maka sudah tentu rasa tidak berpuas hati dan daya saing sesama mereka akan terpendam.

Atau, mereka akan memilih langkah-langkah lain di luar batasan demokrasi untuk memuaskan bakat kepemimpinan dan keinginan berpolitik. Langkah ini tentunya akan menggalakkan gerakan bawah tanah dan pelajar yang lebih militan. [Nota: Trend seumpama ini pernah berlaku di beberapa negara, termasuk di kalangan mahasiswa Indonesia yang menjadi faktor penyumbang kejatuhan Soeharto].

Tetapi bukankah kerajaan sendiri sekarang sedang berusaha untuk melumpuhkan pergerakan pelajar yang tidak mengikut saluran-saluran demokrasi?

Sebab itu, penulis fikir ‘kumpulan pemikir UKM’ itu belum mengkaji semasak-masaknya semua aspek - unjuran dan implikasi - idea untuk menghapuskan pilihan raya MPP.

Barangkali juga, ‘kumpulan pemikir’ yang malu-malu itu tidak arif senario yang sedang melingkungi kampus UKM sendiri, apatah lagi jenis-jenis pergerakan pelajar yang sedang wujud di negara ini sejak beberapa dekad lampau. Mereka tidak mendalami simpang-siur arus politik semasa (yang mempengaruhi pelajar), psikologi, nilai dan pembentukan minda generasi muda masa kini.

Nampaknya mereka hanya berfikir secara selanjar - pilihan raya wujudkan sentimen kepartian, sentimen ini ‘memecah-belahkan’ kampus, maka hapuskan amalan demokrasi itu untuk menghilangkan kesan negatifnya.

Otak berkarat

‘Kumpulan pemikir’ ini perlu diingatkan agar memahami kompleksiti baru dan belajar berfikir secara sistemik dalam konteks chaos theory - khususnya tentang sistem kawalan, komunikasi dan perintah bagi menghadapi sistem alam nyata (masyarakat terbuka).

Jangan biarkan otak berkarat dan berfikir seperti pemimpin Umno.

Pemimpin parti itu sering mendendangkan lagu demokrasi di dada-dada akhbar, malah sampai ke peringkat memaksa orang ramai menghayati sistem itu. Jika dibaca kenyataan mereka seimbas lalu, pemimpin Umno seolah-olah juara demokrasi.

Tetapi lihat apakah yang terjadi sekarang? Ceramah diharamkan, proses perdebatan di Dewan Rakyat hambar dan tidak berkesan - misalnya, banyak isu berkepentingan awam (khususnya jika usul tergempar) gagal dibahaskan. Persatuan-persatuan yang ingin berdaftar tidak dibenarkan. Permit-permit penerbitan ditarik atau tidak dikeluarkan.

Tetapi mereka melarang rakyat turun di jalan-jalan raya. Mereka larang rakyat melawat laman-laman web ‘fitnah’ dan mempercayai bahan-bahan yang menghasut. Mereka kecam gerakan militan.

Tindakan-tindakan pemimpin Umno seperti ini bukannya menyuburkan demokrasi, malah perlahan-lahan membunuh demokrasi. Apa, mereka fikir rakyat boleh dikurung-kurung, diberi makan kenyang-kenyang dan berdiam diri selama-lamanya?

Cara fikir pemimpin Umno - dan ‘kumpulan pemikir UKM’ - sungguh paradoxical atau dalam ungkapan Dr Mahathir sendiri, caca marba!

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 13 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com