Lanjutan dari apa yang telah kami rakamkan peristiwa pada malam 27hb Nov dan di awal pagi 28hb Nov, saya telah bertemu beberapa orang pimpinan parti BA (setakat yang saya kenal) untuk menyarankan agar mereka mengambil tindakan susulan yang lebih bersungguh supaya para penyokong parti mereka tidak turut serta dalam tindakan provokasi tersebut. Ini adalah sebagai persiapan terhadap kemungkinan berlaku suatu provokasi yang lebih besar pada malam berikutnya (malam sebelum mengundi).
Setelah menyampai maklumat serta mempertontonkan rakaman yang saya ada, saya rasa, sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggung jawab saya agar suasana pada malam ini dapat dikawal dan para penyokong BA tidak akan terlibat. Adalah menjadi harapan utama saya agar provokasi tersebut tidak menjadi kenyataan.
Namum setelah keluar meninjau, saya rasakan bahawa masih terdapat di kalangan orang ramai yang kurang arif serta terikut dengan tipu daya provokasi pihak tertentu. Mungkin terdapat juga penyokong parti yang turut serta menjayakan provokasi dan niat jahat pihak tertentu. Kepada mereka yang tidak mengendah arahan dan teguran serta nasihat pihak pimpinan parti, mereka inilah yang kerap menimbulkan masalah kepada parti. Tindakan melanggar disiplin parti adalah kerana sikap degil mereka dan mudah melatah dengan provokasi jahat seperti ini.
Berikut adalah catatan saya satu persatu untuk malam kedua:
1. Laporan saya kali ini bermula dari selepas sholat isyak hingga ke larut malam jam 1 pagi. Namum saya tidak meneruskan tinjauan seperti malam sebelumnya memandangkan bahawa keesokkannya ada lagi tugasan sukarela saya yang patut saya lakukan.
2. Pada malam itu, diberitakan ada MEGA pendedahan oleh Ummi Hafilda dan keluarganya secara besar-besaran – dan diberitakan telah diumumkan oleh TV3/4. Belum pernah sebelum ini dalam kempen pilihanraya Malaysia bahawa suatu media utama radio mahupun TV membuat pengumuman ceramah politik oleh seorang bukan tokoh politik sekeluarga. Mungkin UMNO/BN terlalu terdesak. Ramai pemerhati mengatakan bahawa sebenarnya ceramah itulah menjadi punca turning over pengundi. Fitnah yang keterlaluan pada malam itulah menyebabkan Fuad tersungkur dan ramai pengundi yang jatuh simpati terhadap Azmin. Memang ramai yang datang mendengar dan ramai yang menyesal dengan sikap Fuad yang terlibat sama dengan usaha jahat seperti ini.
3. Saya tidaklah menghadiri ceramah tersebut kerana saya membuat rondaan dan tinjauan di sekitar Gombak Setia dan Sg. Tua (juga Parlimen Gombak). Saya bersama rakan saya pergi ke pondok-pondok BA untuk mengedar beberapa risalah yang telah diamanahkan untuk kami edar di kawasan demikian.
4. Setelah selesai mengedar sekitar jam 11 malam saya pun menuju ke ibu negara. Melalui Jalan Kuching kami tiba ke bulatan Masjid Negara dan mengambil Jalan Hishamuddin (bapa Agong sekarang – bukannya Hishamuddin Hussien – takut dia perasan nama dia pulak). . Setiba di lampu isyarat persimpangan Dataran Merdeka kami dapati jalan ke hadapan ditutup untuk lalu lintas. Kami terpaksa membeluk ke Lebuh Pasar kemudian menyusur tepi sungai Klang menghala ke Jan Tun Perak. Jalan mulai sesak. Jalan Tun Perak hanya dapat bergerak secara perlahan.
6. Sepanjang perjalanan tadi sudah pun kami temui beberapa penunggang motorsikal dengan pelbagai bendera BA. Yang paling ketara, seperti juga malam tadi, ialah bendera-bendera PAS dan keADILan.
7. Dalam perjalanan yang perlahan diikuti dengan beberapa motorsikal yang mencelah, bunyi gamat sesekali terdengar bila lorong sebelah dilalui dengan kenderaan yang membawa bendera – bunyi hon dan laungan serta pekikan. 8. Di persimpangan Jalan TAR/Dataran Merdeka kami hanya dapat meneruskan ke Bulatan Dato Onn (Bank Negara). Bertembung dengan kenderaan yang datang dari hala Jalan TAR, jalan menjadi semakin sesak. Bunyi hon dan asap motorsikal pembawa bendera tidak begitu mengalakkan saya untuk membuka tingkap kenderaan – oleh itu sesetengah rakaman yang saya lakukan kurang memuaskan.
9. Kami mengambil jalan belakang untuk memasuki sekitar Dataran Merdeka dari bulatan tadi. Selepas melepasi gereja sebelah kiri, kami dapati deretan kenderaan merah FRU serta anggota-anggota mereka bersantaian. Terdapat juga lain-lain kenderan rasmi Polis sekitar itu termasuk beberapa pegawai berpangkat.
10. Kami kemudian mengambil Jalan Raja Laut yang tidak begitu sibuk seperti laluan kami sebelum ini. Suasana yang tidak begitu sesak diambil peluang oleh beberapa motorsikal untuk membuat pecutan serta aksi-aksi mereka.
11. Setiba di persimpangan Jalan Isfahan bersebelahan Sogo kami terpaksa berhenti di bawah jejantas ke hentian STAR kerana lampu isyarat merah. Di sinilah dapat dirakamkan suatu pengesahan bahawa memang ada pihak yang membuat provokasi dan jelas terbukti bahawa pihak parti Alternatif sememangnya mengambil langkah-langkah bijak bagi menjauhkan parti-parti mereka dikaitkan dengan suasana untuk menimbulkan huru-hara.
12. Kami dapat lihat di sebelah kanan persimpangan tersebut berdiri dua lelaki yang memerhati lalu lintas di situ. Pada asal kami tidak dapat faham apa tujuan mereka berdiri di kaki lima persimpangan itu. Nampak semacam ada tanda pengenalan yang digantung pada mereka. Salah seorang dari mereka memakai tanda di bajunya “Pemuda Keadilan Cheras”. Mereka memerhati kenderaan yang mula bergerak dari Jalan Isfahan.
13. Tiba-tiba mereka mengalih arah dan meluru menghala kami. Kemudian salah seorang dari mereka dengan membuat bahasa isyarat menunjuk ke jam di tangan sambil melambai pula tangan. Apabila mereka makin dekat mulai jelaslah bahawa mereka sebenarnya meluru ke arah motorsikal-motorsikal yang mulai tiba dan berhenti bersebelahan kami.
14. Apabila melihat aksi sedemikian saya membuka tingkap. Jelas kedengaran (dan dirakamkan) kata seperti berikut. Sambil menunjuk ke jam di tangan, “ dah pukul 11 lebih, dah habis, habis dah … kempen dah habis. Dek, kempen dah habis pukul 11. Malam ini dah habis, balik … balik dek” – begitulah lebih kurang kata-kata seorang dari lelaki tadi. Seorang lagi lebih banyak mengeluar isyarat tangan berbentuk T – mungkin time-out (atau dah tamat).
15. Barulah jelas bagi saya memang pihak KeADILan telah mengambil inisiatif untuk meletakkan pegawai mereka supaya memastikan bahawa tiada penyokong mereka terlibat dengan peristiwa yang tidak diingini. Biarlah terbukti bahawa usaha bersungguh dan terancang untuk memprovokasikan suatu suasana tegang yang membolehkan berlakunya rusuhan tidak direstui parti-parti BA malah berusaha menegahnya.
16. Dalam pada beberapa lagi seruan serta nasihat yang cuba diberikan oleh kedua-dua pegawai KeADILan ini, penunggang-penunggang motorsikal yang tidak kurang dari 8 dengan pelbagai bendera tadi menunjukkan sikap tidak endah mereka. Ada yang cuba pandang ke arah lain dan yang betul-betul bersebelahan saya buat-buat tanya sesama mereka apahal dengan dua orang lelaki itu.
17. Namun bila lampu mula hijau, nampak jelas pemuda-pemuda bermotorsikal ini langsung tidak mengendahkan nasihat dan seruan tadi. Mereka semua memecut dengan laju sambil memekik-mekik dan mengibarkan bendera.
18. Berdentum! Tiba-tiba kedengaran suatu dentuman atas bumbung kereta rakan saya (serentak dengan pecutan motor-motor tadi) dan diikuti dengan bunyi sorakkan ‘keadilan, keadilan, …yeh, yeh … Rupa-rupanya kereta kami diketuk dengan kayu bendera oleh seorang pemuda dari sebuah van yang dipenuhi dengan kibaran bendera keADILan. Pemuda yang berada ditempat duduk depan van itu mengeluarkan badannya dan mengetuk kereta kami. Sambil bersorak-sorak megah van tersebut memecut lari. Di dalam van terdapat tidak kurang 5-6 orang. Saya teringat bahawa van ini telah saya bertemu sebelum ini. Selepas meneliti rakaman saya kemudian, memang benar van ini sudah pun berkeliaran sebelum ini dengan aksi-aksi kurang tertib.
19. Apakah kejadian ini benar-benar suatu provokasi? Mungkin kalau saya orang awam lain, mungkin saya akan membuat rumusan bahawa orang keadilan bertindak jahat dan ganas walaupun belum menang pilihanraya lagi. Mungkin itu penganjur provokasi ini rancangkan. Mungkin kalau mangsa itu seorang gedeber seperti Ibrahim Ali maka akan terlaksanalah rancangan mereka yang merancang. Terjadilah kejar-mengejar dan mungkin pergaduhan. Alhamdulillah kami dapat bersabar dan menahan perasaan kami.
20. Kami tidak mengejar mahupun terus mengekori mereka dan penunggang-penunggang motorsikal tadi. Kami membelok ke kanan memasuki Jalan Sultan Ismail dan kemudian ke kanan lagi untuk ke Jalan TAR.
21. Di Jalan TAR, selepas jejantas, kami dapati sekumpulan pemuda belasan tahun atau awal 20an berdiri di tepi jalan sebelah kanan. Seorang dari mereka memegang poster kecil PAS dan seorang lagi bendera KeADILan.
22. Kami melepasi mereka dengan pemanduan yang agak laju oleh rakan saya. Namun sebaik sahaja melepasi mereka saya nampak pemuda yang memegang poster PAS meluru mengejar kami di bahu jalan. Kenderaan kami pada ketika itu di lorong paling kiri (dan tiada kenderaan lain sebelah kanan kami).
23. Kenderaan kami terpaksa berhenti di lampu isyarat sebelum Kompleks Pertama. Dari situ kami dapat lihat aksi-aksi pemuda tadi yang melompat-lompat kegembiraan sambil melaung-laung. Antara yang dilaungnya ialah: “ … eeehhh …. wwoooii … PAS, PAS (sambil menunjuk-nunjuk poster di tangan) …. ambil gambar, ambil gambar (sambil mengangkat dan menunjuk sesuatu yang tergantung di leher – mungkin tanda parti PAS – terlalu kecil untuk saya cam dari jarak lebih kurang 15 – 20 meter – kurang cahaya pulak)… PAS, PAS …. woooiii”. Begitulah diulang-ulang sambil melompat-lompat sehingglah kami bergerak apabila lampu hijau.
24. Jelas dari apa yang dilakukan oleh pemuda ini, dia dengan sengaja mahukan saya rakamkan gambarnya sebagai “penyokong” PAS sedang berada di tepi jalan dengan perangai dan aksi-aksi yang kasar.
25. Apabila lampu hijau kamu meneruskan perjalanan dan membeluk ke kiri melalui Jalan Dang Wangi. Pemuda tadi nampak gembira berlari kembali ke kumpulannya yang ditinggalnya (lebih kurang 10 – 15 meter ke belakang).
26. Kami kemudian membeluk ke kiri memasuki Jalan Ampang dan ke kanan memasuki Jalan Sultan Ismail sebelum melalui KLCC. Walaupun ada beberapa kumpulan kecil motorsikal berbendera, nampak jelas kawasan-kawasan ini bukan tumpuan mereka.
27. Kami kemudian ke Kg. Baru melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda. Berhampiran sekolah yang akan dijadikan tempat mengundi keesokkannya kami dapati ramai pekerja-pekerja parti menyiapkan pondok masing-masing. Sekali-sekali riuh rendah dengan laungan dan bunyi hon apabila masing-masing penyokong parti melepasi tempat tersebut. Keadaan agak terkawal.
28. Memasuki Jalan Raja Abdullah kami mula merasa sedikit kesesakkan lalu lintas. Menghampiri Masjid Kg Baru, kami dapati ramai orang di sebelah kanan jalan di tepi masjid dan di tepi Pusat Perubatan Kg Baru. Mungkin dalam lingkungan 150 orang. Sambil melaung pelbagai kata sokongan terhadap parti-parti alternatif mereka mengibar-gibarkan bendera dan pelbagai poster.
29. Saya dapati ramai dari mereka ini adalah orang ramai yang ingin menyatakan sokongan mereka. Namun terdapat beberapa pemuda yang perwatakan yang meragukan. Gaya dan aksi mereka nampak sedikit ganas dan cara mereka berpakaian boleh menimbulkan kesangsian. Seorang pemuda yang berseluar pendek mengibarkan poster PAS. Ada seorang dua yang berlari-lari di tengah-tengah jalan yang sibuk dengan mengibar bendera. Kami menerus perjalan melalui pintu gerbang. Dapat dilihat beberapa pondok/markas pelbagai parti. Petugas-petugas parti nampak sibuk membuat persiapan terakhir mereka.
30. Dengan deretan kedai makan dan kesibukan petugas-petugas parti lalu lintas bergerak dengan amat perlahan. Melepasinya, kami membelok ke Jalan Raja Alang menuju ke Masjid dari belakang. Selepas rumah Ustaz Pak Yazid kami tidak dapat bergerak lagi untuk seketika. Dan bila bergerak pun hanya beberapa meter dan berhenti lagi.
31. Dalam pergerakan yang perlahan itu saya sempat merakam beberapa kenderaan yang diletak di kiri kanan jalan. Pelbagai perhiasan dilakukan ke atas kenderaan mereka. Didapati ramai yang dikira menyalahi peraturan JPJ. Ada yang menutup terus lampu dan plat kenderaan dengan poster atau bendera. Mungkinkah mereka ini mempunyai lesen besar pada malam ini dan telah mendapat maklumat biar apapun dilakukan polis/JPJ tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana kesalahan-kesalahan tersebut.
32. Setelah melepasi kesesakkan di persimpangan masjid kami membelok ke kanan dan menuju ke Keramat, Enggang dan Hulu Klang. Di sekitar Keramat dan Enggang terdapat ramai orang lelaki perempuan, kanak-kanak dan dewasa berdiri di tepi-tepi jalan menyorak-yorak dan mengibar bendera. Mereka seolah-olah telah merayakan kemenangan parti-parti BA. Adakah kerana mereka turut terikut-ikut rentak yang telah pun dimainkan oleh “agent provocateurs”.
33. Satu perkara yang ketara pada malam ini ialah bendera dan tanda parti UMNO/BN tidak banyak kelihatan. Di pusat bandar tadi, kami hanya berjumpa dengan tidak lebih 3-4 kenderaan yang menyatakan sokongan terhadap parti tersebut. Apakah pengarah lakunan menarik keluar pelakun UMNO/BN? Apakah setelah dihangatkan suasana dari siri beberapa malam yang lepas, maka malam ini dibiarkan parti-parti BA sahaja berkeliaran bagi menunjukkan keganasan mereka, keangkuhan mereka dan keganasan mereka walaupun belum menang dan bagi menakut-nakutkan kaum lain? Kalau itu perancangannya maka berjaya jugalah – kerana ramai orang awam yang terikut-ikut.
Saya tidak akan membuat apa-apa rumusan mungkin saudara pembaca boleh sama-sama memikirkan. Mungkin juga dalam Bahgian 3 nanti (berikan saya 2-3 hari untuk menyiapnya) dengan disertakan beberapa keping gambar saudara pembaca mungkin dapat gambaran yang lebih jelas.
Bersambung …di Bahagian 3 (Insya Allah – ada gambar)
Sekian
Ibrahim Baba
16 Disember 1999.