Lihatlah sendiri gambar kereta rasmi YAB MB Terengganu TG Hj Abdul Hadi Awang
dan bandingkan dengan menteri-menteri besar lain (kecuali MB Kelantan).
Saya bukanlah pakar dalam model-model kenderaan jenis Mercedes, tetapi agak
sayalah model yang diguna oleh YAB MB TG Haji Abdul Hadi adalah model dua atau
tiga generasi yang terdahulu. Yang tertera di belakang kereta tersebut ialah
model 300SE. Sekarang rasa saya tidak ada lagi model macam ini.
Perhatikan bentuk lampu di hadapan dan lampu di belakang. Seingat saya,
bentuk lampu seperti ini adalah lebih 5-6 tahun lalu atau mungkin lebih.
Kalau mengikut plat pendaftaran TE (tetapi mungkin tidak tepat – jika ianya
didaftar semula dengan nombor lama), ianya didaftarkan lebih 10 tahun lalu.
Menurut ceritanya, kenderaan ini pernah diguna oleh Duli Al Marhum Sultan
Mahmud pada satu ketika dahulu. Ianya kemudian dijadikan sebagai kereta “back
up” atau “standby” untuk bekas YAB MB Wan Mokhtar.
Kereta rasmi utama Wan Mokhtar ketika menjawat MB telah pun ditawarkan kepada
Wan Mokhtar untuk dibeli. Menurut sumber mengatakan kereta tersebut kini
berada di Singapura kampung isterinya Aishaton. Tidak dapat dipastikan samada
Wan Mokhtar sendiri yang menggunanya atau diguna oleh saudara mara sebelah
isterinya.
Telanjur bercakap pasal MB dan isterinya, dikhabarkan juga salah seorang anak
mereka kini menjawat jawatan penting di sebuah anak syarikat kerajaan negeri
yang diniagakan di BSKL. Turut bekerja dalam syarikat tersebut (malah katanya
menjawat jawatan utama dalam syarikat tersebut) ialah saudara isterinya
Aishaton (yang berasal dari Singapura tu). Tidaklah diketahui akan nasib
mereka selepas Wan Mokhtar tidak lagi menjadi MB.
Dan kalau dilihat, kereta yang digunakan oleh para exco dan lain-lain pegawai
kanan negeri adalah jauh lebih baru dan baik dari segi kondisi enjin dan
dalaman.
Diharap YAB MB dapat teruskan usaha berjimat dan tidak membelanja yang
bukan-bukan. Jangan bersemngat di permulaan tetapi mungkir janji dan luntur
kemudian nanti. Dan menjadi tanggung jawab kita pula untuk memastikan YB-YB
Alternatif yang kita menunjukkan contoh terbaik dengan menegur dan mengingati
mereka.
Bercakap pasal kereta pegawai kanan kerajaan negeri, menurut cerita
sahabat-sahabat di Wisma Darul Iman, sesetengah pegawai-pegawai ini apabila
menjawat jawatan baru, akan membeli kereta baru. Sebelum perubahan
pemerintahan baru-baru ini, terdapat beberapa buah Mercedes yang agak baru dan
berkeadaan baik dan sempurna tersadai dan tersimpan di basement Wisma DI. Dan
ianya akan diguna sesekali sebagai "pool car". Kini segala kenderaan tersebut
telah diguna kembali. Agaknya itulah YAB MB cuba menunjuk contoh terbaik
dengan mengambil kereta yang lama. Mungkin penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin
dulu seperti inilah antara isu yang sedang dikumpul dan diteliti oleh
Jawatankuasa Hisbah di bawah YB Tun Salleh Abas.
Sekian
Ibrahim Baba
16 Januari 2000