Alhamdulillah, kembalilah saya ke tanah air tercinta semalam dengan keadaan
sempurna dan sihat wal’afiat.
Oleh kerana pertukaran waktu yang belum sempat saya sesuaikan, maka sukar bagi
saya untuk tidur bila tiba masanya. Jadi terpakulah saya di depan komputer
dalam usaha untuk meng”update’kan diri saya dengan perkembangan yang telah
berlaku selama lebih tiga minggu.
Semasa di luar negara, saya hanya sempat tiga kali sahaja menyentuh komputer
untuk melayari internet. Itu pun hanya untuk jangkamasa yang amat terbatas.
Hampir kesemua negara yang saya lawati mempunyai infrastruktur telekomunikasi
dan internet yang amat terbatas. Bagi kita yang mana telefon bimbit sentiasa
dalam genggaman dan dapat membuat panggilan hampir dari mana saja mungkin
tidak dapat bayangkan bagaimana sukarnya untuk bertelekomunikasi tanpanya.
Banyak pengalaman yang saya perolehi dan akan saya ceritakan, Insha Allah.
Antaranya, terdapat di sebuah negara di mana adalah menjadi kesalahan jika
seseorang kakitangan kerajaan solat di pejabatnya hasil dari pemerintahan
sekular.
Ada pula suatu negara di mana tiada imam masjid yang berani semasa membaca
doa’, mendoa’kan kemenangan untuk pejuang-pejuang Chechen akibat dari hubungan
akrab pemerintahan negara tersebut dengan pentadbiran Rusia.
Umumnya, di setiap tempat yang dilawati, bila disebut bahawa saya ini dari
Malaysia, mereka akan bertanya perihal Brother Anwar Ibrahim. Sempat juga
semasa di sebuah masjid yang diasaskan semenjak pemerintahan kerajaan Umayyah,
imam besar masjid tersebut, yang sudah tua tetapi mempunyai daya ingatan yang
amat kuat hal-hal Malaysia, mendoa’kan bersama rombongan kami untuk DSAI.
Dalam perjalan pulang, saya duduk bersebelahan dengan seorang bekas pegawai
kanan Polis yang sudah bersara. Beliau yang seingat saya pernah menjawat
pangkat Senior Assistant Commissioner (SAC I), memang mengenali bapa saya,
walaupun bapa saya jauh lebih senior umurnya. Banyak perkara yang pesara SAC
I ini ceritakan sepanjang perjalanan kami di kerusi empuk kelas perniagaan.
Cerita yang diluahkan oleh pesara tadi kebanyakannya sekitar kehampaan beliau
semasa menjadi pegawai kanan polis tetapi tidak mampu membendung sesetengah
jenayah yang dilakukan kerana ada pihak-pihak tertentu di dalam PDRM/atasan
yang membela para “penjenayah” dan aktiviti mereka. Antara yang ketara ialah
berleluasanya pelacuran. Sesetengah aktiviti kongsi gelap memang dibiarkan
kerana didokong oleh pihak tertentu yang sukar untuk diambil tindakan. Malah
banyak lagi yang dicerita.
Jika diizinkan Allah Azzawajalla, akan saya terus menulis pelbagai lagi.
Cukuplah untuk ketika ini.
Sekian
Ibrahim Baba
9 Februari 2000