Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

MPAJ dengan jalan yang rosak.

Saya telah cuba menulis artikel ini sekian lama. Tetapi saya tidak dapat mencari suatu artikel yang ingin saya rujukkan untuk tulisan ini. Artikel yang saya cari sebenarnya telah disiarkan oleh beberapa laman web reformasi semasa kempen pilihanraya sedang hangat dijalankan pada November tahun lepas.

Artikel yang saya cari ialah surat arahan dari kerajaan negeri (kalau tak silap arahan Pegawai Kewangan Negeri) kepada pihak-pihak berkuasa tempatan supaya mengeluarkan (menganugerahkan) kontrak-kontrak kecil untuk pelbagai pembangunan dan pembaikian seperti membaiki jalan, membersih longkang dsbnya.

Di dalam arahan tersebut turut dinyatakan agar dengan pemberian kontrak-kontrak ini dapat membantu jentera pilihanraya UMNO/Kerajaan setempat dalam menghadapi pilihanraya ke 10. (Jika mana-mana webmasters yang dapat cari – boleh link di sini).

Memang jelas dan ketara beberapa minggu selepas arahan tersebut dikeluarkan, kita dapat lihat di merata pelusuk negeri Selangor terdapat kerja-kerja yang dijalankan. Kebanyakannya kerja-kerja pembaikian jalan dan penurapan semula jalan. Ini termasuk berdekatan dengan rumah YB Ustaz Dato’ Ismail Kamus di Taman Ampang Utama.

Jika saudara melalui jalan di hadapan rumah beliau (jalan Taman Ampang Utama), mulai dari persimpangan lampu isyarat Jalan Ampang dengan Ampang Point/One Ampang Avenue (dekat hotel De Palma Ampang) hingga 100 meter dari persimpangan tersebut, saudara akan dapati kesan kerja yang saya sebut di atas.

Tidak sampai 3 hari selepas jalan tersebut diturap semula pada bulan November 1999, jalan tersebut di dapati pecah malah keadaannya lebih teruk dari sebelum ianya diturap. Malah tidak ada sebab jalan itu perlu diturap pada asalnya.

Gambar yang dirakam dapat memberi gambaran yang lebih jelas. Malangnya, semenjak dari 3 hari selepas ianya diturap hingga ke semalam, (selepas 4 bulan), jalan tersebut masih berkeadaan sedemikian.

Yang kesian ialah pada pengguna jalan tersebut baik yang berkereta (rosak habis absorber), motorsikal (cuba mengelakkan lubang – ada yang dah terjatuh) dan para pejalan kaki di sekitar itu (apabila hujan, dan kenderaan yang tidak sengaja terlanggar lompok air – habis basah dibuatnya).

Yang anehnya juga, jalan tersebut baru diturap beberapa bulan sebelum itu. Malah masalah utama jalan tersebut ialah pengaliran air yang kurang baik dan selalu bertangkong – yang akhirnya mengakibatkan mudah rosaknya jalan tersebut.

Yang menjadi persoalan sekarang, mengapa jalan tersebut yang diturap sedangkan keadaan asalnya masih baik – dan banyak lagi jalan lain yang lebih daif. Kedua, kualiti kerja yang amat buruk sehingga turapan tersebut hanya bertahan selama 3 hari sahaja. Persoalan ketiga, kalau benar MPAJ proaktif dengan mutu jalan, mengapa pula mengambil masa lebih 4 bulan untuk membaikinya.

Beberapa minggu lepas, MPAJ telah mengumumkan penubuhan pasukan yang memantau jalan-jalan di bawah pentadbiran mereka untuk membaikinya. Takkanlah jalan yang yang mana terdapat 2-3 pejabat kedutaan dan kediaman beberapa diplomat (disamping sebagai jalan utama untuk ramai pengguna yang membuat shortcut dari Kg Pandan ke Ampang) tidak dapat dikesan dan dibaiki segera. Malah disitulah pejabat asal MPAJ dulu.

MPAJ telahpun dikenali sebagai majlis yang mempunyai paling banyak kes tanah runtuh. Mungkin mahu dilabelkan lagi dengan paling banyak jalan rosak.

Teringat pula saya keadaan Jalan Enggang (jalan utama di kawasan AU2) bersebelahan beberapa kilang elektronik. Jalan tersebut sebelum ini telah beberapa tahun rosak. Pengguna jalan tersebut sudah penat buat aduan – namun MPAJ langsung tidak mengambil sebarang tindakan susulan. Tetapi, beberapa hari sebelum Dr. Mahathir datang melawat (1999) dan memberi ucapan di padang bola AU2, semua jalan-jalan yang bakal dilalui oleh Dr. M didapati diturap dengan baik.

Contoh yang yang saya beri hanyalah satu contoh – malah banyak lagi jalan-jalan lain di sekitar negeri Selangor yang menerima nasib yang sama. Contoh ini dipilih supaya senang YB kita bertanya di Dewan DUN Selangor (sebab dekat rumahnya). Ooops, lupa saya … kalau YB Ismail Kamus seorang YB UMNO sudah pasti tak sempat YB hendak bersuara – dah ada yang nak ampu dan turap sampai ke dalam pagar rumah YB.

Diharap MPAJ dapat memberi tumpuan yang lebih kepada rakyat dan bukan kepada segelintir pihak atasan yang memerintah.

Sekian

Ibrahim Baba
Feb 28 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com