Dalam saat sokongan terhadap parti yang kian pupus, seorang pengampu Mahathir
telah bertindak di luar norma susila seorang Ketua Menteri. Sokongan
orang-orang Melayu (bagi yang masih ada) semakin pudar dan semakin parah
akibat Ketua Menteri yang tidak professional menghukum para doktor,
kontraktor, institusi bank (dan terbaru para peguam pula). Mereka ini
hanyalah sekadar mengamalkan kebebasan memilih parti yang telah diperakui oleh
perlembangaan negara kita.
Ali Rustam telah mencampur adukkan kebebasan rakyat memilih parti dengan
pegangan politik sempitnya sendiri. Dalam pada kaum-kaum UMNO ingin
memisahkan Islam dari politik sempit, pemimpin UMNO ini pula menyekat
kebebasan berparti seseorang rakyat Malaysia, sebuah negara yang merdeka.
Bank Islam dan Bank Bumi, yang telah dihukum, adalah dua institusi yang telah
dikaitkan sebagai institusi Melayu. Bank Islam kalau tidak silap saya
mempunyai 100% pekerja Islam (kalau adapun yang bukan Islam dan bukan Melayu
mungkin terlalu kecil bilangannya – sebab saya belum bertemu kakitangan bukan
Melayu/Islam sejak berurusan dengan Bank 12 tahun lalu).
Bank Bumi pun mempunyai majoriti pekerjanya Melayu dan beragama Islam.
Walaupun ada juga pekerja bukan Melayu tetapi bilangannya tidaklah ramai.
Ketika sokongan dari bangsa Melayu terhadap UMNO amat minimal, tindakan UMNO
untuk menyisih dan menghukum institusi Melayu sedemikian rupa akan menjauhkan
lagi sokongan yang masih ada di celah-celah sokongan padu dari Melayu lain.
Bayangkan kesan dari segala tindakan negatif tersebut kepada mereka yang
mencari makan di intitusi-institusi itu.
Sudah PASti kontraktor-kontraktor, para doktor dan peguam mempunyai
rakan-rakan dan keluarga mereka yang akan turut bersimpati. Ini akan
menambahkan lagi derita yang bakal dialami oleh UMNO.
Yang sedihnya, institusi bukan Melayu yang akan mendapat keuntungan dari
tindakan pemimpin Melayu yang ada dalam UMNO (ingat dalam UMNO terdapat makin
ramai yang bukan Melayu kerana UMNO telah membuka keahliannya kepada bukan
Melayu dan bukan Islam!!!).
Maka yang akan untung mungkin Hong Leong Bank, Multipurpose Bank dan beberapa
lagi yang lain. Namun jika pekerja HLB dan MPB memberi sokongan kepada DAP
atau KeADILan (atau mungkin juga PAS), tidak mungkin berani pemimpin-pemimpin
UMNO menyakiti hati kaum Cina.
Yang jelas, pemimpin UMNO hanya berani menghukum orang-orang Melayu yang tidak
lagi mahu mengundi mereka. Dan tidak ke atas orang-orang Cina atau India yang
tidak menyokong MCA atau MIC. Ini adalah kerana hanya kepada kaum-kaum inilah
para pemimpin UMNO dapat menagih harapan untuk mengundi calon UMNO.
Sekian
Ibrahim Baba
20 Mac 2000