Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kisah Joan of Arc yang kena konspirasi

Semperna hari minggu semalam, IB mengambil kesempatan untuk menziarah satu-satunya bapa saudara IB yang tinggal di ibu kota. Setiba IB di rumahnya, kebetulan berkumpul beberapa anak-anak beliau bersama-sama di situ. Maka suasana pun begitu riuh rendah dengan pelbagai perbualan dan kanak-kanak kecil bermain sesama mereka.

Kebetulan juga ada beberapa lagi cucu bapa saudara saya berkumpul di satu sudut tekun menonton VCD cerita Joan of Arc (JOA). IB tidaklah menonton sangat tetapi sesekali menoleh juga ke arah TV.

Entah macam mana, tiba-tiba IB terlihat babak Joan of Arc ditangkap. Dan seterusnya tanpa disedari IB menonton cerita itu dengan penuh minat hinggalah ke akhir cerita.

Selepas itu, sesama sepupu yang lain kami berbual pula bahawa Joan of Arc pun kena konspirasi. Banyak babak dan kisah yang dapat kita ambil iktibar dan samakan dengan suasana yang berlaku di negara kita kini. Kalau dulu heboh pasal sebuah cerita hindustan (IB tak ingat cerita dan tak tengok pulak) yang mengisah wartawan dan kekejaman polis serta unsur-unsur konspirasi, kini cerita JOA pun banyak juga unsur-unsur di mana dapat kita kaitkan dengan apa yang berlaku di negara kita.

Satu babak yang mana IB ingat sangat ialah apabila Bishop Couchon (yang diarah “mengadili” tuduhan yang dikenakan ke atas JOA) bertanya kepada Father Vincentte (wakil dari Vatican) untuk mendapat pandangan Vicentte kerana tekanan yang diterima beliau dalam mengendali kes itu. Vicentte menjawab “ ... the trial is just a masquarade. Verdict comes at the end of a trial not at the beginning …”

Lebih kurang terjemahannya “… perbicaraan ini hanyalah satu helah. Keputusan sepatutnya di akhir perbicaraan dan bukannya di awal.” Kata-kata ini ialah bagi mengulas paksaan dari pelbagai pihak supaya menjatuhkan hukuman salah terhadap JOA. Vincentte, selepas menuturkan kata-kata tersebut, ditangkap oleh “ketua polis”.

Jika saudara ingin menonton cerita JOA, babak yang saya ulas ini terdapat di 30-40 minit terakhir cerita tersebut. Kata sepupu saya, di awal-awal cerita itu banyak menayangkan kisah yang berunsur agama kristian.

Jika saudara menonton, perhatikan beberapa babak berikut:

1. Raja England ketika itu, akibat marahkan JOA, telah mengarah untuk menangkap JOA dan dibakar hidup-hidup – begitulah akhirnya nasib JOA walaupun melalui perbicaraan.

2. Hakim (Bishop Couchon) adalah dipilih walaupun kesalahan yang dituduh tidak dilakukan oleh JOA di kawasannya tetapi ditangkap di kawsannya.

3. Hakim tersebut ditekan untuk mejatuhkan hukuman salah. Walaupun terdapat hakim tersebut cuba untuk menolong JOA. Akhirnya Hakim tersebut turut tertipu.

4. Keganasan “ketua polis” yang mengarah orang-orangnya memukul tahanan (JOA) ketika dalam penjara.

5. Bagaimana “ketua polis” tersebut mengadakan bukti palsu dengan mengarah orangnya mengoyakkan baju JOA (ketika dalam penjara) dan dipaksa memakai pakaian lelaki – kemudian membawa Hakim untuk membuktikan bahawa tuduhan JOA memakai pakaian lelaki adalah benar.

6. Bagaimana Raja Perancis yang JOA perjuangkan untuk menaikkannya semula ke takhta kemudian meninggalkan JOA malah memerangkap JOA untuk diserahkan kepada musuh. Teringat saya kisah yang berlaku di negara kita seorang pemimpin yang bersungguh membela “boss”nya ketika mengharungi pelbagai krisis dalam parti dan dalam negara demi menjaga “boss”nya kini ditinggalkan malah dihina pula.

7. JOA mendapat sambutan dan sokongan di kalangan rakyat.

8. Raja Perancis hanya memperggunakan JOA untuk mendapatkan takhtanya kembali selepas itu dibiarkan JOA untuk ditangkap oleh musuhnya.

Tontonlah sendiri kalau nak buat iktibar. Tapi mungkin cukup setakat ini sebagai peringatan kepada kita bahawa sejak dari dulu lagi manusia sentiasa mengharungi peristiwa-peristiwa yang seperti ini. Masa berlalu dan kemudiannya akan memberi gambaran yang jelas - siapa yang benar dan siapa yang busuk hatinya.

Tetapi jika kita membiarkan sejarah lalu begitu saja satu hari nanti kita mungkin ditanya anak-cucu kita – apakah peranan kita dalam “ketidakadilan” yang berlaku di zaman kita!

IB nak tambah sikit – dalam perjalanan ke rumah pakcik saya dekat Bukit Belacan, semasa dekat dengan traffic light pekan lama Ampang, bersebelahan Balai Polis Ampang yang kini diguna oleh Bahagian Trafik, tiba-tiba sebuah Bas Metro yang sedang menghala ke arah KL tiba muncul di depan IB lorong menghala ke Bukit Belacan (dari KL). Terkejut habis IB. Bas tersebut (mungkin mengejar bilangan trip) memotong barisan kenderaan yang panjang sedang berhenti menunggu lampu yang sedang merah. Ini bermakna Bas tersebut sungguh berani melakukan satu kesalahan yang besar yang mungkinmengakibatkan kemalangan maut – DI DEPAN BALAI POLIS TRAFIK.

Apakah mesejnya? Apakah mungkin pemandu bas tersebut tidak lagi hormat kepada polis? Tidak takut polis (sebab boleh dibeli dengan mudah)? Atau apakah kerana polis hanya sibuk mencari reformis – sudah tidak ambil peduli kepentingan pengguna jalan raya?

Berdasarkan pengamatan saya – pemandu-pemandu Bas Metro lebih ganas dari bas mini dulu. Siapa yang pegang permitnya? Dengar khabar ianya ada hubungan dengan orang politik juga. Dalam pada hendak digabungkan semua syarikat bas untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam maka semua permit bas mini ditamatkan – tetapi permit bas metro diteruskan. Kaedah operasi bas metro menyerupai operasi bas mini. Mungkin Nazri Aziz (atau Mustafa Mohamed – menteri sebelum ini) takut nak ambil tindakan kerana mengganggu kepentingan seseorang yang lebih besar darinya.

Sekian,
Ibrahim Baba


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com