Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Apakah kita ingin menjual negara kita (2)?

Selepas IB menulis Bahagian 1 artikel ini (e.g. http://tranung1.tripod.com/berita8/ibxx.htm, http://pemantau.tripod.com/artikel/21Aug-ibrahim.html), IB telah ke luar negara untuk mengikuti delegasi negara kita melawat sebuah negara timur tengah. Delegasi tersebut terdiri dari tokoh-tokoh kerajaan dan ahli perniagaan. IB sekadar mengiringi “boss” sahaja.

Sepanjang perjalanan dan semasa di sana, IB berpeluang untuk berbual secara panjang lebar dengan ramai dari ahli rombongan tersebut. Bila ada kesempatan, Insha Allah, akan IB tuliskan. Dari pemerhatian IB ramai juga ahli rombangan yang berkeperibadian kurang manis. Tidak perlulah IB sebutkan nama mereka. Mungkin akan mengaibkan mereka.

Cuma ianya mengesahkan cerita seorang rakan, yang pernah beberapa kali mengikuti rombongan PM ke luar negara. Dalam salah satu lawatan tersebut, beliau mengatakan selepas “check-in” di hotel yang sama dengan PM, seorang ahli rombongan (yang bergelar Datuk), di depan beberapa rakan lain, telah memesan kepada seorang pekerja hotel tersebut untuk menghantar 2 orang pelacur ke biliknya. Rakan IB tadi terpinga-pinga melihat serta mendengar apa yang berlaku. Beberapa ahli rombongan lain senyum dan seolah-olah faham serta cuba menjadi “sporting” – mungkin bagi mereka itu sudah menjadi kebiasaan.

Walaupun dalam rombongan ini apa yang IB saksikan tidaklah terlanjur ke peringkat itu, namum, IB boleh faham apa yang rakan IB ceritakan sebelum ini. Rata-ratanya hampir sama begitulah …

Berbalik kepada tajuk asal perbicaraan IB sebelum ini, ingin IB sambung sedikit lagi.

Dalam artikel terdahulu, IB menyatakan bahawa kemungkinan sebuah syarikat Hong Kong akan membeli saham dalam pengurusan West Port Pelabuhan Klang. Kini dalam berita terbaru, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pula yang akan di miliki oleh Maersk, sebuah syarikat asing.

Maersk Shipping International adalah salah sebuah syarikat perkapalan yang tua dan terbesar di dunia. Dikhabarkan melalui akhbar-akhbar dan majalah-majalah perniagaan, bahawa Maersk akan mengambil alih sebanyak 30% saham PTP.

Apa gunanya bila negara kita menjadi kaya raya sedang pemilikan harta kekayaan itu bukan milik kita? Apa gunanya bila negara kita maju rakyat jelata jauh miskin dan papa kedana? Bukankah Singapura itu sebuah negara kita sedikit masa dahulu dan kini adalah sebuah negara yang jauh sudah maju? Di mana Melayu kita yang suatu hari dulu yang memerintah Temasek itu?

Apakah gunanya perkembangan hartanah pesat di Johor Bharu apabila kebanyakkannya telah dan akan dimiliki oleh rakyat Singapura? Rakyat Johor terutama penduduk JB masih di tahap ekonomi yang lama. Malah mereka ketinggalan terus. Harga barang meningkat akibat banjiran rakyat Singapura.

Apakah gunanya jika dengan ‘kemajuan’ yang bakal dicapai melalui MSC, pemilikan syarikat dan pekerja-pekerja mahir syarikat-syarikat tersebut datang dari negara asing? Apa akan jadi kepada kita bila mereka tinggalkan? Lihat sahaja pelbagai projek raksasa yang dibina akhir memerlukan belanja besar untuk mendapat selengaraan dari syarikat luar akibat dari kurangnya ‘transfer of technology’ yang dilepaskan oleh tenaga mahir asing … terutama mereka yang datang dari negara matahari naik.

Lihat sahaja syarikat-syarikat telekomunikasi negara yang telah pun dimiliki sebahagiannya oleh saham asing. Mujurlah Time tidak jatuh ke tangan Singapura juga kalau tidak tiada lagi syarikat telekomunikasi yang dimiliki sepenuhnya oleh kita termasuklah Telekom Malaysia yang mana ada ura-ura NTT akan membelinya. Keselamatan negara akan tergugat dengan rangkaian telekomunikasi dan maklumat negara dimiliki sebahagiannya oleh negara asing.

Sekian
Ibrahim Baba
30 Ogos 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com