Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Andersen Consulting: Apa Agenda Mereka?

Andersen Consulting (AC) adalah sebuah syarikat perunding antarabangsa dalam bidang IT. Cawangannya di Malaysia dipegang oleh seorang perunding tempatan bernama Larry Gan.

AC telah diberi kontrak rundingan oleh Kerajaan Malaysia sebagai pakar rujuk kepada “Project Support Group” dalam implementasi projek Kerajaan Elektronik (EG). Semenjak dilantik pada awal tahun 1998 dan dengan kelewatan perlaksanaan projek, kerajaan dibebani untuk membayar ratusan ribu RM setiap bulan untuk kelima-lima aplikasi perdana di bawah EG. (Jumlahnya kini tidak dapat IB pastikan – tetapi anggaran yang IB terima ialah telah melebihi puluhan juta RM).

Sepatutnya, sebagai perunding, AC yang dikenakan denda kerana kelewatan menyiapkan projek yang mereka jadi perunding bagi pihak kerajaan untuk memastikan kejayaan projek. Apakah AC sengaja menjadi batu penghalang untuk melewatkan projek ini kerana kerajaan akan tetap membayarnya? Malah lagi lama dilengahkan lagi banyak wang dicaj kepada kerajaan Malaysia (wang kita).

Ramai eksekutif syarikat/konsortium yang diberikan kontrak EG mengadu bahawa AC banyak memberi rundingan dan nasihat yang salah atau kurang tepat kepada MAMPU. Ada juga yang merungut bahawa banyak ketika di mana perunding-perunding AC yang sengaja menyukarkan dan menimbulkan masalah kepada syarikat/konsortium EG. Malah mereka mengatakan kerajaan membayar wang buta kepada AC tanpa mendapat khidmat nasihat yang profesional.

Kebanyakan mereka mengadu bahawa AC meletakkan budak-budak mentah sebagai pakar runding mereka. “Ada yang baru setahun dua keluar universiti buat-buat pandai mengajar kami yang sudah berbelas tahun dalam IT dan perlaksanaan projek yang besar-besar”, ujar seorang pemilik syarikat dalam sebuah konsortium yang mendapat projek EG. Dan walaupun AC menyediakan perunding yang mentah-mentah, kerajaan membayar dengan kadar perunding kanan.

Seorang pengurus projek pula mengatakan bahawa AC ada banyak “conflict of interest”. Di samping mereka adalah sebagai perunding untuk kerajaan dalam projek EG, AC juga menawarkan kepada kerajaan “business application and industry solution” yang mana sudah tentu “conflict” dengan “solution” yang ditawarkan oleh syarikat/konsortium yang mendapat projek. Tawaran perkhidmatan AC sememangnya bersaing terus (direct competition) dengan khidmat yang ditawarkan oleh syarikat/konsortium EG.

Seorang lagi pengurus projek mengatakan (dalam Bahasa Inggeris); “… AC should not be in any of the EG project either as the management or advisor to the project. With their presence the Consortium has been having difficulties in ensuring the smooth running of the project. With their involvement, most of the time AC made very destructive comments and the implementation process becomes difficult and lengthy.”

Pemilik cawangan Malaysia, Larry Gan, juga dikenali sebagai seorang yang licik dalam perniagaan dan amat tidak disenangi oleh ramai pengusaha syarikat IT tempatan (terutama di kalangan pengusaha bumiputera). Ini kerana dalam banyak urusan yang pernah mereka buat bersama, mereka yang akhirnya dipihak yang rugi kerena kelicikan Larry Gan membolot segalanya.

Seorang rakan IB pernah membuat sedikit penyelidikan latar belakang Larry Gan serta mereka yang dibelakangnya yang banyak membantu perniagaannya. Rakan IB tersebut secara umum mengatakan banyak kurang kenanya serta banyak merugikan peniaga dan usahawan bumiputera dan kerajaan Malaysia. Namun, terdapat beberapa tokoh atasan yang kuat menyokong serta merestui tindak-tanduknya.

IB tidak dapat menyebut nama-nama projek di atas secara langsung kerana bimbang mereka akan menerima “backlash” dari AC apabila artikel ini disiarkan. Tetapi secara amnya, IB berani katakan bahawa kesemua konsortium yang mendapat projek EG dan juga beberapa projek MSC yang lain bersetuju bahawa kerajaan ditipu oleh AC secara terang-terang.

Malah terdapat beberapa pegawai kanan kerajaan yang terlibat dengan projek EG yang sudah menyampah dengan perunding-perunding dari AC yang hanya menumpang pengalaman sedang kakitangan kerajaan yang kena banyak buat kerja. Sedang gaji kakitangan kerajaan berbanding dengan perunding-perunding muda dan mentah ini adalah bagai bumi dengan langit.

Sekian.
Ibrahim Baba
7 September, 2000


(IB ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seorang sahabat IB yang banyak memberi pendapat untuk tulisan artikel ini).


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com