Beberapa bulan kebelakangan ini IB berkesempatan bertemu beberapa orang
Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, SU Sulit Menteri, SU Sulit
Timbalan Menteri dan beberapa pemimpin bahagian dan cawangan UMNO. Termasuk
juga, IB sempat bertemu, seorang Menteri, seorang Timbalan Menteri dan dua
orang pemimpin bahagian dari parti-parti lain dalam komponen BN.
Kebanyakan perjumpaan-perjumpaan tersebut adalah dalam suasana tertutup,
yakni, dalam pejabat mereka, di rumah mereka atau dalam sesi-sesi yang
tertutup (bukan kerana parti tetapi dalam membincangkan soal-soal lain
termasuk perniagaan, persatuan sukarela dan urusan untuk majlis sosial).
Di samping berbincang perkara utama untuk perjumpaan tersebut, sebagai
selingan selalunya isu-isu semasa ditambah. Pelbagai isu semasa disentuh.
Antara yang menarik dan yang selalu disentuh ialah isu pemulihan UMNO atau isu
kepercayaan Melayu terhadap UMNO.
Pada mulanya IB terkejut mendengar luahan pendapat dan padangan sesetengah
Menteri, Timbalan Menteri dan lain-lain pegawai kanan kerajaan dan parti.
Sungguh berani sesetengah mereka mengeluarkan pendapat dan padangan yang mana
“audience”nya tidak diperiksa dahulu latar belakang kesetiaan masing-masing.
Yang pasti bos IB sendiri (yang banyak kali hadir sama dalam
perjumpaan-perjumpaan tersebut) memang jelas bersimpati dengan DSAI – walaupun
beliau adalah orang agak terkemuka dalam dunia korporat yang sedang
melaksanakan beberapa projek kerajaan dan masih mencari pelbagai lagi projek
mega kerajaan.
Sesekali terasa juga IB keresahan berada dalam suasana yang menguji pendirian
IB dalam isu-isu semasa. Namun, demi perniagaan dan menjaga hati bos-bos dan
beberapa rakan rapat IB yang membawa IB ke dalam perjumpaan-perjumpaan
tersebut, maka terpaksalah IB berlakon.
Suatu padangan yang boleh dikatakan disepakati di kalangan pemimpin yang IB
sebut di atas ialah FORMULA TERBAIK pemulihan UMNO. Pendapat ini bukannya
datang dari orang-orang bawahan parti. Mereka ini orang-orang penting dan
mempunyai pengikut sekurang-kurangnya di peringkat cawangan/bahagian.
FORMULA TERBAIK yang dikatakan ini ialah hanya satu sahaja. Dan yang satu
inilah “yang paling sukar dilakukan”. “Tiada siapa yang berani memulakan atau
melaksanakannya. Dan tiada siapa yang berani dalam majlis yang lebih terbuka
untuk menyatakan pandangan ini”. Lebih-lebih lagi, TIADA SIAPA YANG BERANI
MENCADANGKAN DI HADAPAN PRESIDEN PARTI SENDIRI.
Siapakah di kalangan ahli, pemimpin atau simpatisan UMNO yang berani
menyatakan bahawa FORMULA TERBAIK untuk pemulihan UMNO ialah MENGGANTIKAN DR.
MAHATHIR sebagai Presiden UMNO???
Dan begitulah disepakati oleh kebanyakan pemimpin ini bahawa pucuk pimpinan
mesti ditukar. Mereka sepakati bahawa Mahathirlah yang meletakkan UMNO pada
kedudukan yang paling dibenci oleh ahli UMNO sendiri, pemerhati politik dan
lebih-lebih lagi di kalangan mereka dalam BA. Mereka semuanya bersetuju
bahawa ramai yang meninggalkan parti kerana Mahathir.
Mereka tahu. Mereka bersetuju. Cuma …. Mereka tidak berani menyatakan
pendirian ini secara lebih terbuka. Begitulah dayusnya mereka semua.
Mereka tidak mahu menerima masib seperti DSAI! Tidak siapa lagi yang sanggup
kini walaupun ketika di awal pemecatan DSAI dari parti dan kerajaan, dilihat
ramai pimpinan UMNO termasuk beberapa menteri dan timbalan menteri yang berada
di rumah 47 Jalan Damansara dan di Jalan Setiamurni. Mereka “cuba menjauhkan”
dari DSAI kerana mereka sendiri banyak kes.
Dan yang paling menarik ialah ketika meyambut kepulangan Mahathir di Subang
semalam, IB sempat menumpang mendengar beberapa kelompok ahli politik dan
tokoh-tokoh korporat berbicang ketika menunggu ketibaan Mahathir. Terdengar
satu dua sindiran dan gurauan yang perlikan ketokohan Mahathir terutama dalam
kejatuhan saham akhir-akhir ini (walaupun naik 3 hari turut-turut – ianya
telah jatuh dari 940 mata pada April hingga paras terendah 700 mata beberapa
hari lepas). Turut terdengar hujah-hujah yang semacam menyokong DSAI, duduk
diam dulu dalam UMNO serta mainkan peranan untuk memberi maklumat kepada DSAI
dan ada juga yang bersikap tunggu dan lihat.
Ada yang merungut – kenapa perlunya dua tempat VVIP, satu di KLIA dan satu
lagi yang lama (di Subang) pun masih dibelanjakan dengan pelbagai
keistimewaan. Kalau dah ada yang canggih yang lagi dekat dengan rumahnya
(Putrajaya) kenapa pilih turun di Subang?
Maka bagi IB yang jelas, dalam suasana yang penuh “kesetiaan” menyambut
kepulangan pemimpin “kesayangan” mereka, sebenarnya mereka hanya datang untuk
tunjuk muka serta bermuka-muka. Jika ada pilihan mungkin mereka ini akan di
depan sekali dalam demo jalanan (mungkin!).
Mahathir akan hanya terus mendengar laporan baik dari mereka yang mengampu dan
makin tersisihlah ahli UMNO dan masyarakat sekelian dari UMNO dan bertambahlah
kebencian mereka terhadap Mahathir. Biarkan … biarkan …
Sekian,
Ibrahim Baba
"Friday the 13 October"