Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway –
AKLEH) yang telah siap dibina dua bulan lepas adalah lebuhraya yang termahal di
Malaysia. Dengan jarak 7.4 km (dari Taman Ampang Utama ke Jalan Sultan Ismail
bersebelahan dengan Wisma Denmark) ianya menelan belanja pembinaan sebanyak
RM754 juta. Ini bermakna ianya bernilai lebih RM100 juta bagi setiap satu
kilometer.
Apakah benar sesuatu pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk
kepentingan rakyat? Siapa yang sebenarnya untung? Siapa sebenarnya rugi? IB
tidak mahu bicara soal kos itu (memang tinggi!).
Sehingga semalam AKLEH masih lagi ditutup untuk sebarang kenderaan walaupun
menurut laporan rasmi PERCON (kontraktor yang melaksanakan projek tersebut),
lebuhraya tersebut telah siap sempurna dua bulan yang lepas. Disebabkan kadar
tol belum diputuskan oleh kabinet maka jalan yang siap dibina ditutup tanpa
boleh diguna.
Apakah sebenarnya tujuan asal pembinaan AKLEH atau mana-mana projek
infrastruktur yang dilaksanakan oleh kerajaan BN?
Jika ianya untuk mengatasi kesesakan lalulintas di Jalan Ampang dan
menyingkatkan masa perjalanan – kenapa selepas dua bulan lebuhraya termahal
tersebut siap ianya masih ditutup?
Jika ianya untuk memudah pengguna jalanraya dengan pelbagai alasan yang
diberikan semasa mencadang dan meluluskan projek seperti ini – maka kenapakah
ianya seolah-olah menjadi satu monument “gajah putih” (sehingga ianya boleh
digunakan)
Apakah kerana kadar tol belum dapat dipersetujui (atau pembahagian untuk
orang-orang tertentu) maka para pengguna terus dipaksa bersesak di Jalan Ampang?
IB tidak dapat mencari suatu alasan yang munasabah bagi menjawab soalan kenapa
orang ramai masih dinafikan dari mengguna kemudahan yang kerajaan BN telah
janjikan
Semasa mengumunkan AKLEH siap dibina pada bulan Februari 2001, Samy Vellu
mengatakan bahawa para pengguna akan dapat menggunanya secara percuma selama
sebulan sebelum bayaran tol dilaksanakan.
Oleh sebab kadar belum dapat ditentu maka pengguna dihalang dari menggunanya -
IB menganggap ini sebagai suatu pembaziran yang nyata. Dan jika IB cuba
“quantify”kan nilai pembazirannya (dari kos pembinaan projek) ianya lebih kurang
RM139,629 setiap hari lebuhraya itu tidak digunakan. Dan sehingga kini, selepas
dua bulan ianya dibiarkan tanpa diguna, nilai pembaziran tertunggak mencecah
lebih RM8 juta.
Formula yang IB digunakan ialah seperti berikut:
Kos pembinaan: RM754,000,000
Tempoh konsesi (lazimnya): 15 tahun
Dan dibahagikan dengan 12 bulan setahun dan dibahagi lagi dengan 30 hari sebulan
maka = RM754,000,000 / 15 / 12 / 30 = RM139,629 sehari.
Persoalannya mengapakah kerana keTIDAKCEKAPan para menteri kabinet (terutamanya
Samy Vellu) dalam menetapkan kadar tol turut menidakkan rakyat mengguna
kemudahan yang telah siap dibina?
Mengapa tidak dibenarkan pengguna AKLEH menikmati kemudahan yang percuma
sementara kadar tol ditetapkan. Apa salahnya sebulan tempoh percuma dilanjutkan
ke dua bulan atau tiga, empat, lima bulan selagi kadar tol tidak dapat
dipersetujui oleh kabinet? Sebaiknya tak payah tol terus …
Sekian
Ibrahim Baba
19 April 2001