IB baru sekejap kembali dari Butterworth (sempat singgah untuk makan malam di
kawasan rehat Sg Buluh lebuhraya PLUS) bersama tiga rakan lain untuk urusan
pejabat. Kami berlepas hari Selasa pagi dengan menaiki Pajero (WFW xxx) salah
seorang rakan kami (kenderaan inilah yang selalu kami gunakan untuk rondaan
“reformasi”).
Sememangnya rakan kami tidak memandu laju, hanya sekitar had 110 ksj (seumur
hidup beliau, beliau tidak pernah sekali pun menerima saman trafik).. Selepas
sekitar Tapah kenderaan yang datang dari arah depan telah memberi amaran
menggunakan lampu kereta mereka bahawa ada polis di depan. Melihat amaran
tersebut rakan kami teruskan pemanduannya kerana beliau tidaklah melebihi had
laju lebuhraya.
Setibanya disekatan polis, anggota yang memegang bendera merah mengarahkan
kereta yang kami naiki ditahan di tepi lebuhraya itu. Rakan kami terus ke tepi
dan berhenti. Seketika kemudian tiba seorang anggota berdiri di tepi pintu
pemandu. Rakan kami telah pun menurunkan tingkap dan menunggu arahan atau
amaran anggota tersebut.
Tiada apa yang diperkatakan dan tidak pula disuruh pemandu melakukan apa-apa –
hanya merenung ke arah rakan kami. Rakan saya yang duduk di belakang bersama
saya menyuruh pemandu kenderaan mengeluarkan lesen. Dan lesen pun dihulurkan
kepada anggota tersebut.
Setelah meneliti, anggota tersebut menyuruh kami beredar. Tiada sebarang sebab
dinyatakan oleh anggota tersebut mahupun mengucapkan terima kasih. Kami pun
beredar.
Rakan kami yang memandu kemudian bersuara. Sebenarnya beliau kerap ditahan di
lebuhraya dan lain-lain sekatan jalanraya yang seumpama itu. Malah beliau sudah
pun “anticipate” perkara tersebut akan terjadi bila melihat sekatan jalanraya
itu. Sebab itu beliau diam menunggu arahan anggota polis yang datang
memeriksanya.
Kata rakan kami lagi, sebenarnya beliau ditahan kerana rupanya macam seorang
yang berbangsa Cina. (Memang pun beliau rupa Cina – emaknya seorang Cina yang
dibela oleh keluarga Melayu) Sebelum memasukkan gear, beliau menyuruh kami
perhatikan 4-5 buah kenderaan lain yang ditahan. Dan beliau suruh kami
perhatikan kenderaan-kenderaan yang tidak ditahan. Sememangnya kesemua
kenderaan yang ditahan dipandu oleh pemandu Cina (atau rupa Cina) dan yang lepas
tidak ditahan kesemuanya rupa Melayu.
Dan sebelum beredar, beliau menyatakan lagi bahawa anggota yang memegang bendera
merah untuk menahan kenderaan tidak memegang sebarang nota atau alat komunikasi.
Ini bermakna anggota tersebut tidak menerima sebarang arahan untuk menahan
mana-mana satu kenderaan pada masa itu kecuali berdasarkan semata-mata pada apa
yang anggota tersebut fikir dan pilih untuk tahan. Apakah kaedah dan ciri untuk
memilih kenderaan yang hendak ditahan? Hanya semata-mata berdasarkan rupa
pemandu. Tambah rakan kami, semasa memperlahankan kenderaan sebelum ditahan,
beliau memerhatikan tepat pada mata anggota polis tadi bagi memastikan arah
pengelihatan anggota tersebut. Yang pasti, mata anggota tersebut hanya tertumpu
pada muka pemandu kenderaan sahaja.
Kami berasa amat sedih dengan apa yang berlaku. DI MANA KeADILan?
Apakah tindakan polis dari awal lagi sudah “BIAS”? Apakah mereka menghukum
sesuatu bangsa dan melepas bangsa serta keturunan lain tanpa melihat kesalahan
yang dilakukan? Jika penghukuman dilakukan mengikut kaum atau bangsa maka akan
terjadi juga penghukuman (atau lebih tepat lagi PEMANGSAAN (victimization)
mengikut darjat dan keturunan)).
Dan sememangnya ini berlaku. Perhatikan kenderaan-kenderaan mewah atau yang
mempunyai nombor pendaftaran satu atau dua angka atau nombor-nombor yang cantik.
Menurut pengamatan kami, pemandu-pemandu kenderaan seperti inilah yang lebih
berani melakukan kesalahan-kesalahan jalanraya. Malah IB sendiri kerap melihat
kenderaan yang mempunyai logo “HAKIM” beberapa kali melanggar lampu isyarat
merah.
Memang diakui oleh bapa saya (seorang bekas pengawai kanan polis) bahawa
sememangnya sesetengah orang kenamaan dan taukeh-taukeh mempunyai “connection”
untuk menyelesaikan saman polis.
Apa akan jadi dengan polis kita? Bukan sahaja mereka ini setia membabi buta
dengan kezaliman dan kejahatan sesetengah pemerintah malah moral mereka amat
korap dan zalim. Rasuah dan duit kopi amat berleluasa.
Teringat pula IB kata-kata seorang yang banyak terlibat dengan usaha-usaha
pemulihan penagihan dadah di kalangan anak-anak muda. Beliau pernah memberitahu
bahawa terdapat bilangan yang besar penagih dadah yang terdiri dari anak-anak
anggota dan pegawai polis sendiri. Malah sesetengah “berek” polis menjadi
tempat tumpuan pengedar dan penagih. Dan beliau bandingkan dengan bilangan
anak-anak tentera yang terlibat dengan penagihan dadah amatlah berkurangann. IB
tidak ingat statistik yang beliau pernah tunjukkan kepada IB lebih dua tahun
yang lepas.
Apakah ini akibat dari hasil DUIT HARAM yang dibawa pulang oleh ibu bapa mereka
yang menjadi pegawai atau anggota polis?
Wal lahu ‘alam
Sekian
Ibrahim Baba
7 Jun 2001