Dalam setiap majlis perdebatan yang tidak formal kita
dapati watak 'tukang canang' dan 'tukang karut'
sebagai watak-watak yang penting untuk memeriahkan
sesuatu majlis. Perkara ini sudah menjadi satu tradisi
orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu lagi.
Tukang canang adalah satu watak yang mengungkit
sesuatu perkara yang nampak remeh untuk dijadikan satu
issu yang serius. Tukang karut pula adalah satu watak
yang mengemukakan sesuatu issu yang kelihatan tidak
logik hinggakan ia dibincangkan dan menjadi logik. Di
zaman raja-raja Melayu dulu, ciri-ciri perwatakan dua
peranan ini dimainkan oleh para juak dan khadam
istana. Para juak itu selalunya merupakan orang
kepercayaan Datuk Bendehara ataupun orang-orang besar
di istana. Kadangkala peranan tukang canang ini
dimainkan juga oleh gundek-gundek raja.
Budaya Warisan
Sama ada disedari ataupun tidak, peranan yang
dimainkan oleh watak tukang canang dan tukang karut
itu memang lama diamalkan oleh parti politik terbesar
di negara ini sejak sebelum negara mencapai
kemerdekaannya. Ia sudah mejadi satu budaya warisan
yang tidak akan pudar dan dijangka satu hari nanti
akan menular ke dalam parti lain yang dianggotai oleh
orang Melayu. Mungkin setakat ini parti politik
seperti PAS, PRM dan KeADILan belum menampakkan
gejala-gejala ini. Namun, saya yakin ia akan menyerap
masuk secara senyap-senyap dan hanya menunggukan masa
yang sesuai sebelum ciri-ciri ini terserlah.
Walaupun nama kedua-dua pelaku watak ini amat jauh
bezanya, peranan yang mereka mainkan adalah
hampir-hampir sama sahaja. Mereka sebenarnya melakukan
sesuatu itu dengan menggunakan elemen humor di
dalamnya. Dengan perkataan mudah, mereka memainkan
peranan tukang lawak yang membawakan ciri-ciri kelakar
dalam kelakuan mereka. Peranan tukang lawak ini amat
ketara dalam bangsawan Melayu lama. Malahan ia
merupakan satu peranan penting dalam filem Melayu dan
juga filem Hindustan.
- Ciri-ciri lawak dalam sarkas dan teater
Di barat, ciri-ciri lawak masih ketara dalam permainan
sarkas. Ia merupakan lanjutan peranan demikian yang
ditonjolkan dalam permainan teater. Tetapi, dalam
dunia sarkas, seorang pelawak merupakan manusia yang
paling berpengalaman dalam keseniannya. Kalau pelawak
itu berada dalam permainan 'trapeze' peranannya itu
merupakan satu peranan yang paling susah sekali yang
tidak mudah dilakukan oleh pelakun yang lain. Begitu
juga dalam dunia teater, peranan seorang lawak adalah
penting untuk menghidupkan sesuatu suasana untuk
menyelamatkan sesuatu keadaan yang muncul tanpa
dijangka. Itu sebabnya seorang pelawak itu
dikehendakki menghidupkan sesuatu majlis bangsawan
ketika tirai pentas dilabuhkan untuk memberi masa
penukaran latar-belakang (prop) babak yang akan
dipertontonkan.
Kini, budaya lawak semacam ini sudah pun menjadi lebih
canggih lagi dengan munculnya 'stand-up comedianne' di
negara maju terutama sekali di Amerika. Mereka yang
berjaya menjadi 'stand-up comedienne' ini merupakan
golongan artis yang kaya raya dan terpaksa menggunakan
khidmat pasukan khas untuk menjaga keselamatan di
mana jua mereka berada.
Oleh kerana lumayannya pulangan usaha seorang pelawak
seperti itu, akhirnya wataknya itu menjadi satu
profession yang amat sukar kerana tandingan yang
sengit. Justru, ada artis yang sanggup menjadi pelawak
jenis 'ventriloquist' dengan menggunakan anak-patung
sebagai bahan prop aksinya. Ventriloquisme adalah
satu bidang lawak di mana seseorang itu boleh
mengarahkan suaranya keluar seolah-olah suara itu
datang daripada orang lain. Dengan menggunakan patung
yang dikendalikan pergerakan mulut dan anggotanya,
seorang pakar ventrilokis mampu menarik minat orang
lain untuk menyaksikan aksinya yang kadangkala memang
menakjubkan. Kecekapannya membentuk suara kepada dua
perwatakan mampu menghidupkan lakonanya. Satu suara
untuk dirinya dan satu suara untuk patung yang
dimanipulasinya, menjadikan penonton terpaku dengan
lakonannya itu.
- Peranan Lawak dalam Politik
Ciri-ciri lawak kini sudah menjadi bahan yang
ditonjolkan orang politk untuk menarik perhatian
ramai. Orang yang menggunakan ciri-ciri ini diberikan
gelaran mengikut cara pelawak di sarkas. 'Badut'
adalah gelaran yang amat bersesuaian bagi pelawak
jenis ini. Keupayaannya memainkan peranan badut itu
selalu membuatkan orang tertarik kepada ucapannya
walaupun intipati ucapannya itu tidak pun menyerlahkan
satu kepimpinan diri yang meyakinkan orang yang lebih
arif dalam dunia politik. Kerana populariti yang
tercetus dari perawatakan badut yang dibawanya itu, ia
dapat digunakan oleh pucuk pimpinan parti untuk satu
tugas tertentu yang menguntungkan matlamat parti itu
akhirnya. Namun, seorang badut politik selalunya amat
mudah dimanipulasi oleh golongan tertentu dalam pucuk
pimpinan parti untuk memenuhi nafsu individu tertentu
sahaja. Laksana pelawak 'one-man show' yang mempunyai
harga yang tinggi dalam profesionnya, seorang badut
politik pun mempunyai nilai yang tinggi juga bagi
tugas-tugas manipulasi dan konspirasi politik.
Rumusan Awal:
Dengan hal yang demikian, maka jelaslah dalam arena
politk Melayu kini adanya beberapa watak yang
memainkan peranan tukang canang dan tukang karut yang
dapat mengabui pemikiran orang Melayu. Watak badut ini
semakin jelas sekarang ketika UMNO sedang rancak
mengorak langkah untuk menentukan siapa yang akan
memegang jawatan penting dalam pucuk pimpinan parti.
Keputusan Konsensus Majlis Tertinggi UMNO
Tercetusnya berita pencapaian konsensus oleh MT UMNO
tentang dua jawatan tertinggi parti yang tidak boleh
dipertandingkan, memberi ruang yang luas untuk watak
badut muncul secara menyerlah dalam masa yang terdekat
ini. Perwatakan badut ini akan memainkan peranan
berasingan sebagai tukang canang dan juga sebagai
tukang karut. Hanya seorang yang betul-betul pintar
dalam kesenian 'lawak bodoh' sahaja yang mampu
membawakan dua watak yang berbeza itu dalam satu
peranan. Untuk menilai pentingnya peranan badut itu
kita perlu menilai apakah kriteria yang perlu dipenuhi
untuk mencetuskan satu suasana yang provokatif dalam
issu pencapaian konsensus itu.
A) Bantahan Majoriti
Kita boleh menjangkakan munculnya satu pergerakan yang
akan membantah keputusan konsensus MT itu daripada
akar umbi parti. Pada satu ketika dulu MT pernah
membuat pelbagai keputusan yang memeranjatkan dan
mengarahkan akar umbi menerima keputusan konsensus
tersebut. Keangkohan ini adalah berdasarkan konsep
'ingatan seratus hari' yang mengikut UMNO merupakan
satu konsep ataupun budaya orang UMNO yang akan
melupakan sesuatu issu yang provokatif dalam
jangkamasa 100 hari. Kerana percayakan budaya ini
makanya kita lihat, MT telah meledakkan bom provokatif
itu lebih awal lagi. Ada orang tertentu dalam pucuk
pimpinan yang menjangkakan orang Melayu akan berlembut
ketika UMNO bersidang mulai 11 Mei nanti. Secara
kebetulan pula tarikh 'sebelas' itu menepati
ketaksuban seseorang yang berpengaruh dengan angka dua
sebagai tarikh keramat untuk menentukan kejayaan
sesuatu kerja.
- Kata keramat yang dinantikan
Sesaorang yang akan menjadi dalang membantah keputusan
konsensus itu dijangka menggunakan seorang badut
politik ataupun beberapa orang lain untuk memainkan
peranan tukang canang dan tukang karut. Pada tahap
awalan, si dalang ini tidak akan menonjolkan dirinya
secara jelas menyokong pergerakan membantah keputusan
itu. Tetapi, apabila pergerakan majoriti yang
menentang itu berjaya mengaut momentum, ia pasti akan
menonjolkan dirinya dan berkata: "Saya bersedia akur
dengan kehendak majoriti untuk bertanding jawatan
presiden parti".
Pengakuan dalam bentuk kata-kata seperti di atas akan
menjadi satu pertanda di kalangan semua perwakilan
parti betapa konsensus MT itu akan disagat dan
digugat.
Kita boleh menjangkakan apabila muncul sahaja satu
suara 'keramat' yang sanggup bertanding jawatan
peresiden parti, maka akan terbuka luaslah nanti
pencalonan bagi jawatan timbalan presiden pula. Di
sinilah nanti bermulanya satu sinario yang paling
menarik dalam sejarah politik Melayu moden.
B) Siapakah yang berani bersuara keramat?
Kini sudah tersiar berita betapa Paklah sanggup
bertanding jawatan timbalan presiden parti itu. Dengan
lain perkataan, beliau telah melanggari apa yang
dikatakan satu pencapaian konsensus. Apakah
muslihatnya yang sebenar? Kita boleh mengkaji perkara
ini melalui dua sudut:
(a) Paklah sedar bahawa dia
harus memikirkan sentimen majoriti ahli UMNO yang
merasa terhina dengan keputusan konsensus itu;
(b)
Paklah mungkin memainkan satu lakonan mengikut skrip
yang disediakan. Keputusannya untuk disaingi oleh
calon lain adalah satu taktik menarik perhatian ramai
agar mencabarnya secara terbuka sambil melupakan
cabaran sesiapa terhadap jawatan presiden parti.
Kalau dua sudut ini boleh diambil-kira maka kita boleh
menjangkakan munculnya beberapa ramai badut politik
di beberapa bahagian UMNO di seluruh negara. Peranan
mereka akan dipermudahkan lagi oleh tukang canang yang
memang ramai di kalangan penulis cerita politik dan
juga yang bertugas di media elektronik di negara ini.
Perkara ini akan lebih menarik lagi apabila munculnya
beberapa buku politik yang ditulis oleh apa yang
dikatakan sebagai 'pakar analisa politik Melayu'.
Dalam apa juga keadaan pun, seandainya kedua-dua sudut
di atas itu diterima pakai, bererti Paklah akan
menyerlahkan kebolehannya menjadi seorang badut politk
juga. Perkara ini sebenarnya tidak ketara sangat
selama ini kerana jawatan Paklah di dalam parti tidak
memberi ruang untuknya menonjolkan bakat seorang badut
itu. Tetapi kini, dengan pemergian presiden parti ke
luar negara untuk bercuti dan bertugas di luar, bakat
yang ada kepada Paklah akan semakin menonjol hinggakan
Paklah akan terkenal mempunyai kebolehan sebagai
pelawak ventrolokis juga.
Sinario politik Melayu akan menjadi gamat
sepeninggalan MAHAFIRAUN ke luar negara. Paklah akan
menjadi tertekan dalam menjalankan tugasnya sebagai
timbalan perdana menteri yang akan kerap disagat oleh
ketuanya melalui 'tele-conference' tentang situasi
dalam negara. Kelembutan peribadi Paklah yang terkenal
itu akan menjadi satu penghalang untuk menampakkan
imej 'kental' dalam menangani masalah negara yang
memerlukan ketegasan. Perkara ini lebih menekan
apabila MAHAFIRAUN akan terus mempengaruhi keputusan
yang akan dibuatnya itu. Lantas Paklah akan melatah
dan tanpa disedarinya beliau akan menyerlahkan
ciri-ciri perwatakan badut politik yang
dinantik-nantikan oleh bakal calon yang akan
menandinginya.
- Permainan Wayang Kulit
Kita boleh menjangkakan bermulanya satu permainan
politik sebaik sahaja MAHAFIRAUN terbang ke luar
negara. Memang menjadi pengetahuan umum MAHAFIRAUN
tidak pernah membenarkan sesiapa yang memangku
jawatannya itu berupaya menonjolkan diri ketika beliau
tidak berada di dalam negeri. Malahan, MAHAFIRAUN amat
terkenal dengan kepintarannya mentadbirkan negara
secara kawalan 'remote' laksana seorang dalang dalam
permainan wayang kulit juga.
Salah satu kawalan 'remote' itu bertujuan untuk
mengesan dan menganalisa sambutan ahli UMNO terhadap
konsensus MT. MAHAFIRAUN mahukan jawatan presiden
tidak dipertandingkan. Kerana itu dia tidak akan
peduli sangat samada jawatan timbalan presiden itu
mengikut keputusan yang sama ataupun tidak.
Kelantangan Paklah yang sanggup disaingi dalam
pertandingan terbuka, memberi satu ruang untuk menilai
apakah sebenarnya bahaya yang akan dihadapi bagi
saingan jawatan presiden parti? Kerana itu MAHAFIRAUN
sudah merancang untuk berada di seberang laut. Dia
mahukan perkara ini diselesaikan secara menonjolkan
sekumpulan badut. Sebagai seorang pakar silap mata
politik Melayu, MAHAFIRAUN tahu akar umbi parti tidak
akan membiarkan jawatan presiden itu dibiarkan tanpa
tandingan untuk kali ini. Lapuran awal daripada
pasukan risik telah menunjukkan bahawa akar umbi akan
bertegas kali ini. Mereka akan membuat pelbagai
rencana untuk menamakan beberapa calon untuk melawan
MAHAFIRAUN.
- Peranan badut untuk menyelamatkan MAHAFIRAUN
Adalah dijangkakan beberapa orang tukang canang dan
tukang karut akan menonjolkan diri mereka untuk
menentukan aar jawatan presiden parti tidak
dipertandingkan. Di waktu yang sama majoriti akar
umbi akan menentang sikap badut-badut itu dan mula
mencadangkan beberapa nama calon mereka. Kalau calon
ditonjolkan secara berlebihan, ia akan memudahkan
MAHAFIRAUN untuk menang. Lagi ramai calon yang
ditonjolkan menentangnya lagi mudah beliau memenangi
pertandingan itu kelak. Untuk mengelakkan perkara ini
berlaku akan muncul satu jentera dalam parti yang cuba
menyelaraskan pertandingan itu agar MAHAFIRAUN
ditentang oleh hanya seorang calon sahaja. Buat masa
ini nama yang disebut-sebut untuk menandingi
MAHAFIRAUN ialah Tengku Razali yang malangnya telah
diberi pelbagai nama lain seperti Ku Li, Kuca dan ada
beberapa nama lagi yang eloklah tidak disebutkan di
sini.
- Keupayaan Menentang MAHAFIRAUN bagi jawatan Presiden
parti
Kalau ditaksir keadaan sentimen akar umbi UMNO,
peluang seseorang calon mengalahkan MAHAFIRAUN bagi
jawatan presiden parti adalah amat cerah sekali.
Syarat yang utama ialah orang itu haruslah berwibawa
dan mempunyai rekod prestasi yang bersih. Dengan lain
perkataan, dia mestilah merupakan seorang pemimpin
yang tidak ada kaitan dengan sebarang kes rasuah yang
sudah pun menghantui beberapa pemimpin UMNO yang ada.
Jika perkara ini dijadikan kriteria penting, kita
dapati ramai pemimpin politik yang sedia ada mampu
menggugat kedudukan MAHAFIRAUN.
Mungkin untuk sekian lama MAHAFIRAUN menyangkakan
tentangan yang hebat ialah daripada Ku Li yang
mungkin mahu menebus malu, dan mungkin sudah
menyediakan satu jentera yang lebih berkesan. Lagipun
mana mungkin Ku Li melawan Pak Lah yang pada satu
ketika dulu orang bawahannya?
Di sebaliknya pula Ku Li mungkin tidak lagi berminat
mencabar MAHAFIRAUN dalam keadaan sekarang. Beliau
mungkin mahu mengambil satu sikap baru seperti yang
dilakukan oleh pemimpin veteran Jepun. Ku Li mungkin
mencadangkan satau nama untuk melawan MAHAFIRAUN dalam
peperangan politik secara proksi. Menggunakan seorang
proksi dalam pengendalian sebuah parti adalah mainan
politik yang normal. Di Singapura, kita dapati Lee
Kuan Yew melepaskan jawatannya dengan mencalonkan
orang pilihannya sebagai pengganti. Di waktu yang sama
beliau anak lelakinya diberikan jawatan penting dalam
kabinet baru sebagai pemimpin pelapis repablik itu.
Perkara yang sama pernah dilakukan oleh Soharto ketika
melantik J.B. Habibie sebagai orang pilihannya. Begitu
juga yang telah dilakukan oleh Puan Aquino apabila
menyokong Jeneral Ramos sebagai pengganti beliau
menjadi presiden Filippina.
Sikap ketiga-tiga pemimpin negara jiran kita itu
adalah bersangkutan pengganti jawatan ketua negara dan
bukannya bagi jawatan terulung parti yang memerintah
negara. Inilah perbezaan yang ketara. Kalau Ku Li
mahu melantik seorang proksi menentang MAHAFIRAUN ia
merupakan satu tenaga baru untuk menerajui negara
seandainya calon proksi itu berjaya.
Di samping itu kita harus sedar betapa rakyat dan
akar umbi parti amat bencikan MAHAFIRAUN atas beberapa
sebab yang termasuk issu DSAI. Tetapi, rakyat pada
keseluruhannya tidak mempunyai kuasa memangkah kertas
undi yang menentukan siapa yang akan menjadi presiden
parti. Di sinilah pentingnya tukang canang dan tukang
karut yang akan ditonjolkan oleh jentera pucuk
kepimpinan UMNO.
Inilah masalah besar yang perlu dihadapi oleh sesiapa
yang berminat menentang MAHAFIRAUN. Ku Li dan
orang-orangnya tentu sudah mencongak apakah
implikasinya kalau Ku Li bertanding melawan
MAHAFIRAUN. Kita menjangkakan MAHAFIRAUN akan
ditentang habis-habisan oleh beberapa individu yang
bertekad berlawan dalam satu pertandingan kalah-mati,
kerana kekalahannya bererti menghumbankan diri
sendiri ke jurang kesepian yang tidak ketahuan
dalamnya. Dengan hal demikian, Ku Li akan merasa
dirinya tercabar. Dia tidak boleh benarkan muuculnya
situasi demikian kalau dia berhasrat untuk menjadi
pemimpin parti satu hari nanti. Ku Li terpaksa
mengambil tindakan berani sebelum terlambat.
KESIMPULAN
MAHAFIRAUN sedang berada di satu kedudukan yang
rapoh. Beliau sedang tertekan dan kebingungan tentang
cara paling cocok untuk menentukan satu kemenangan
mutlak. Beliau kelihatan yakin kerana sokongan padu
para juaknya yang mahukan beliau terus berkuasa
kerana mereka takut kehilangan pengaruh kalau beliau
disingkirkan. Kini, sudah muncul satu kumpulan di
dalam pucuk pimpinan parti yang mahukan MAHAFIRAUN
pergi samaada secara terhormat ataupun secara keji.
Jelas, MAHAFIRAUN menghadapi rintangan besar yang
memaksa beliau menambah bilangan badutnya untuk
menjalankan peranan sebagai tukang canang dan tukang
karut. Memang dia sudah lama mengagak akan
berlakunya situasi ini. Kerana itu dia pernah melantik
seorang lepasan diploma media massa menjadi timbalan
menteri. Kini, si badut itu terpaksa melompat jauh
bila ditendang para pengundi. Kemudian ada seorang
badut lagi yang ditendang pengundinya juga. Tetapi,
nasibnya baik kerana diberikan dahan baru untuk
bergayut dan terus beraksi. Tinggal beberapa kerat
badut lagi yang dijangka lebih agresif memainkan
lawak bodoh dan lawak sombong mereka. Kejayaan rencana
ini memerlukan belanja besar sekali lagi. Dalam
politik, para badut memerlukan belanja besar untuk
menyumbat tembolok pihak yang mahu dipengaruhi. Ini
memerlukan pembantu-pembantu yang licin gerak gerinya
dan mungkin ramai lagi yang muda, menggiur dan licin
dahinya. Pembantu kumpulan yang terakhir itulah yang
penting sekarang ini kerana mereka dijangka dapat
menarik minat pihak yang mudah pecah air-liur apabila
didekati. Apatah lagi kalau diraba dan dirapati?
Mampukah badut-badut ini memainkan peranan
mempertahankan jawatan presiden untuk tuanguru mereka?
Apakah peranan tukang canang dan tukang karut itu
dapat mereka lakonkan dengan jayanya? Mungkinkah
nanti mereka bertukar peranan dan memainkan aksi
tukang hamput dan tukang carut pula?
-MT-
11.1 .2k