Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KWAP Menyerlah Setelah Membeli TimedotCom

KWAP Menyerlah Setelah Membeli TimedotCom
(KWAP in the spotlight with purchase of TimedotCom)
Oleh: Shahriman Johari 19 Mach, 2001
Kiriman: MGG Pillai

Sejak lebih sepuluh tahun Kumpulan Wang Amanah Pencen telah berperanan secara senyap tanpa menonjolkan identiti sebagai pelabur institusi berbanding dengan agensi lainnya seperti Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Kerana itu ramai yang telah memperlekehkan kewujudannya walaupun badan ini mempunyai simpanan bernilai RM15 billion mengikut taksiran Jun tahun yang lalu. Mengikut Laporan Ekonomi 2000, jumlah ini adalah bersamaan dengan separuh daripada khazanah Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Perubahan akan berlaku juga selepas ia menghamburkan hampir RM1bilion untuk membeli sekitar 247 juta saham TimedotCom yang tidakpun diingini oleh orang lain. Kadar pembelian mengejutkan pasaran dan berbeza dengan Danaharta dan juga KWSP yang memberikan penjelasan kenapa mereka membeli saham IPO itu, KWAP pula bersikap diam membatu dalam tindakannya itu.

Pembabitan KWAP dalam perkara ini mengejutkan banyak pihak yang semakin sangsi dengan tindakan kerajaan menggunakan cukai pendapatan rakyat negara ini. Berdasarkan harga terakhir saham TimedotCom pada harga RM2.12, KWAP kini sudah kerugian sebanyak RM323 juta. Lagipun, tindakan KWAP itu menarik perhatian kerana selama ini pertumbuhannya selama tujuh tahun yang lalu berkisar kepada pelaburan dalam instrumen yang tidak berisiko tinggi.

Apakah ini satu petanda betapa banyak perkara akan berubah juga? Jumlah dana KWAP pada tahun lalu meningkat sebanyak 12 persen kepada RM15.3 billion berbanding RM13.56 billion pada 1999.

Laporan Ekonomi 2000 mencatatkan betapa separuh pelaburan KWAP adalah dalam bentuk simpanan dan pembelian instrumen kewangan di pasaran. Sebanyak 29 persen adalah dalam bentuk ekuiti dan dana amanah saham. Sebanyak 17 persen pula dalam bentuk pinjaman dan bon syarikat.

Para pedagang dan pengurus dana berkata KWAP memang tidak aktif dalam pasaran saham berbanding agensi lain seperti KWSP dan PNB. Sebelum Disember tahun lalu ada juga KWAP membeli 9 persen saham MAS menggambarkan pembabitannya berbentuk jangka panjang dan bersikap pelaburan sahaja. Inilah gambaran mengenai cara KWAP menangani risiko pelaburannya.

Kini muncul satu soalan yang perlu dijawab: kenapakah KWAP mengambil sikap putar-balik dan melabur dalam TimedotCom?

KWAP telah ditubuhkan pada 1991, di bawah Akta Dana Amanah Pencen (Pensions Trust Fund Act). Matlamatnya ialah untuk meraih pendapatan berpadan daripada pelaburannya untuk membiayai bayaran pencen kepada warga pencen negara yang ditaksirkan berjumlah 863,000 orang setiap tahun.

Kerajaan telah memperuntukkan sebahagian dana daripada pembayaran gaji bulanan kakitangan kerajaan kepada tabung pencen setiap tahun. Terpulanglah kepada KWAP melabur wang itu supaya pendapatan daripada pelaburan digunakan untuk membayar pencen kepada bekas kakitangan kerajaan. Tahun lalu, bayaran kepada pencen dan gratuiti berjumlah RM4.4 billion.

Akta Dana Amanah Pencen mensyaratkan KWAP ditadbir oleh satu majlis yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian kewangan Datuk Dr. Samsudin Hitam. Akauntan Negara Siti Maslamah Osman bertanggungjawab dengan pentadbiran harian dana pencen itu. Berbeza dengan KWSP, maklumat pelaburan KWAP dan kaedah pelaburannya memang susah untuk diketahui oleh orang luar. Tidak pula diketahui berapa banyakkah dana yang boleh dilabur dalam saham, bon ataupun instrumen kewangan di pasaran.

Pada 1993, Business Times ada melaporkan betapa 30 persen dana agensi itu boleh digunakan untuk memberi pinjaman, pembelian stok dan pendepositan. Ini adalah kisah lapan tahun dulu yang mungkin sudah berubah kini.

Akta yang ada hanya menghadkan pinjaman yang boleh dilibatkan kepada badan berkanun dan juga syarikat, dan juga terhadap galian berharga. KWAP hanya boleh mengeluarkan setakat 20 persen daripada asetnya kepada peruntukan pinjaman di mana kerajaan persekutuan juga turut terbabit.

Pelaburan dalam galian berharga seperti emas, perak, platinum dan palladium tidak boleh melebihi 5 persen daripada asetnya`. Akta itu juga menentukan bahawa dana pencen boleh dilaburkan dalam apa cara pun dengan kelulusan menteri kewangan.

Adalah sukar untuk KWAP memencilkan dirinya lagi setelah membeli saham Time dotcom kerana ia akan diamati dengan teliti oleh para pelabur terhadap pelaburannya. Sebarang kesangsian terhadap cara pengurusan dana simpanannya sudah tentu tidak mudah luput dengan begitu sahaja.

Sekali lagi, tuduhan berlakunya penyelamatan telah muncul semula. Berhadapan dengan keadaan ini, KWAP harus bertindak bijak menunjukkan ketelusannya dengan memberikan penjelasan kenapa saham haprak itu telah dibelinya.

Sebagai permulaan eloklah para pelabur diberitahu apakah parameter pelaburannya dan apakah bentuk pulangan yang diimpikannya.

-Shahriman Johari-
19 Mac, 2001.

......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Maihain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 31 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com