Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Sakit Belakang, Sakit Hati dan Sakit Mata

Sakit Belakang, Sakit Hati dan Sakit Mata
(MGG Pillai: Back Pain And Bad Faith Amidst Black Eyes)
Diterbitkan oleh Harakah

Menteri kesihatan, Chua Jui Meng telah berbohong kepada Parlimen berkenaan mantan timbalan perdana menteri Dato Seri Anwar Ibrahim. Menteri Luar Syed Hamid Albar telah menghabiskan dua hari berjumpa dengan para duta European Union selepas beliau berjumpa dengan duta Asean dan ketua perwakilan asing, ekoran perjumpaan presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah dengan beberapa duta itu mengenai kesihatan suaminya. Kerajaan telah menahan sepuluh orang di bawah ISA untuk memberikan gambaran betapa ia sedang tertekan. Keadaan tertekan ini turut dibayangkan oleh kenyataan timbalan perdana menteri Dato Sri Abdullah Ahmad badawi apabila dia memberitahu polis bahawa satu mata lebam sudah mencukupi dan tidak diperlukan dua atau pun tiga lagi.

Kerajaan telah menggembar-gemburkan layanan istimewa yang diberikannya kepada Anwar di penjara dan di hospital, tanpa menyebut betapa semua itu adalah perkara biasa dengan para politikus, anggota polis dan lain lagi yang boleh berada dalam keadaan bahaya kalau dibiarkan bercampur gaul dengan banduan biasa. Di waktu yang sama kerajaan sengaja memadamkan sumbangannya kepada kemajuan Universiti Islam Antarabangsa pada hari pembukaan rasminya. Untuk menghenyak keadaan Anwar lagi, mahkamah telah menjatuhkan hukuman memberikan Perdana Menteri RM85,000 sebagai kos terhadap Anwar dalam tindakan tuntutan malunya.

Keadaan tegang di pihak kerajaan memang tidak diragukan lagi: walaupun tiga tahun sudah berlalu sejak Dato Seri Anwar diaibkan dia masih lagi membesar dalam dunia politik sehinggakan bayangan ketokohannya itu sudah membayangi setiap tindakan kerajaan. Dia sudah menghancurkan martabat Perdana Menteri Dato Seri Mahathir yang masih mencuba sedaya upaya untuk menonjolkan ketokohannya. Usaha hapraknya itu telah menyemarakkan ketokohan Anwar untuk terus membesar lagi. Dr. Wan Azizah berjumpa hanya dengan beberapa orang diplomat sahaja, tetapi menteri luar menjadi gelabah dibuatnya.

Yang menjadi isu serius sekarang ini ialah kesihatan Anwar. Dia sekarang mengenakan alat penegang lehernya menunjukkan sakit belakang yang terpaksa ditanggungnya memerlukan pembedahan untuk memperbaiki keadaan. Politik dan bukannya perubatan ataupun pembedahan yang menjadi penghalang kepada segala-galanya.. Chua telah mempolitikkan perkara ini sambil menabur pembohongan dan dakyah untuk menegakkan lakonannya. Dia berkata Anwar harus dipersalahkan kalau dia menolak perubatan; kerana Hospital Kuala Lumpur bertaraf antarabangsa dan melaksanakan 480,000 pembedahan dalam satu tahun. Tetapi dia gagal untuk menambah betapa hospital belum pernah melaksanakan ‘endoscopic microsurgery’ yang diperlukan, malahan belum ada kemudahan untuk pembedahan jenis itu ataupun pakar pelali yang mempunyai pengalaman dalam bidang pembedahan itu.

Kerajaan telah meletakkan syarat yang menakjubkan kepada pakar daripada Munich, Dr. Thomas Hoogland, sebelum dia datang untuk memeriksa Anwar. Secara terus terang dia telah diberitahu betapa sebuah bilik bedah boleh disediakan, dan dia boleh membawa masuk peralatan kepunyaannya untuk pembedahan itu. Dalam hal ini kerajaan sengaja mahukan Anwar membelanjakan sebanyak mungkin. Dr. Hoogland mengenakan bayaran antara US 5,000 dan US$25,000 (bersamaan RM20,000 dan RM100,000). Kalau dia terpaksa melaksanakan pembedahan itu di sini, dia mesti membawa peralatan yang diperlukannya dan ini akan membuat Anwar mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya RM600,000.

Nampak sangat tujuan sebenar ialah membuatkan Anwar menjadi seorang muflis. Dia memang sudah menghampiri jurang kemuflisan itu. Kos pembelaannya mungkin mampu diselesaikannya. Dia masih berhutang dan mempunyai tanggungjawab yang memakan ratusan ribu ringgit termasuk RM85,000 yang diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar kepada Mahathir. Memang tidak boleh dibayangkan kenapa peguam Dr. Mahathir menuntut kos. Perkara ini kini menjadi satu masalah baru kepadanya. Kalau dia memaksa Anwar menjadi muflis disebabkan perkara itu, sikapnya yang suka berdendam, memfitnah dan sengaja remeh-temeh akan memburukkannya lagi. Jika dia tidak membuat tindakan itu, ini bererti sekali lagi dia kalah dalam pergelutan politik antara awang kenit dan gergasi.

Mahathir akan teraib lagi kalau Anwar tidak sembuh tetapi terpaksa hidup bergantung kepada kerusi roda ataupun terus melarat keadaannya. Chua boleh menuduh Anwar yang bertanggungjawab kerana enggan dibedah di Malaysia. Tetapi, itu bukan sebenarnya. Keadaan Anwar sudah semakin teruk sehinggakan pembedahan konvensional akan memudaratkannya lagi. Itu sebabnya dia memilih ‘endoscopic microsurgery’ kerana ia tidak terlalu menyulitkannya dan membuat pilihan ke atas Dr. Hoogland selepas Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur yang memperakukan kepakarannya dalam bidang ini. Sebaiknya pembedahan itu dilaksanakan dengan bantuan ‘local anaesthesia’ (pelalian bertempat?) Keseluruhan pembedahan itu boleh memakan sekitar dua jam, dan pesakit itu boleh pulih dalam jangkamasa beberapa hari.

Wan Azizah bersedia meminta kerjasama Kerajaan Jerman agar suaminya itu diangkut dengan pesawat udara dalam masa beberapa hari selepas pembedahan itu untuk menyenangkan keraguan kerajaan. Tetapi, kerajaan tidak akan bersetuju. Dr. Mahathir berkata kalaulah Anwar dibenarkan keluar negara, dia tidak akan pulang semula. Sebenarnya dia lebih takut kalau Anwar pulang kembali. Anwar mampu menarik minat ratusan ribu manusia untuk menyambut kepulangannya nanti sedangkan Mahathir tidak mampu menarik sekadar ribuan sahaja.

Chua telah mempersoalkan sikap kurang keyakinan Anwar terhadap pakar perubatan tempatan. Seperti biasa dia tersasar bicara. Anwar pernah dilanyak hampir mati oleh Ketua Polis Negara ketika dikurung dulu. Kesangsiannya terhadap masalah pembedahan yang tidak dapat diperbaiki semula memang sepatutnya diambil kira. Ini tidak ada kena mengena dengan tahap kepintaran pakar bedah ataupun petugas bilik pembedahan tempatan. Sikap ini harus dibenarkan.

Anwar berada dalam Wad kelas pertama dan tidak dirantai kerana dua sebab utama: Pertama,. Kakitangan penjara tidak dapat menjamin keselamatannya dalam wad kelas tiga yang terbuka, ataupun dalam wad berasingan di penjara. Kedua, menggari seseorang yang mengerang kesakitan bahagian belakangnya akan memudaratkan lagi keadaannya, terutama sekali kalau keadaan kesakitan itu memang sudah teruk seperti yang ditanggungi oleh Anwar. Chua juga sengaja tidak mendedahkan pendapat kepakaran pakar uratsaraf dan pakar-pakar perubatan lain, betapa setiap pembedahan mesti dibuat dengan iringan ‘general anaesthesia’ dan inilah yang dipilih oleh Anwar untuk mendapatkan ‘microsurgery’.

Akta Penjara (Prison Act) mempunyai hanya satu seksyen mengenai penyakit dan rawatan perubatan, yang disediakan oleh hospital kerajaan. Ia tidak pernah menjangkakan adanya satu kes di mana seorang banduan bersedia membayar kos pembedahan di luar negara. Yang anehnya Akta itu menegah Anwar dibedah di hospital tempatan, tetapi tidak pula di hospital luar negara. Kerajaan sedang gelabah dalam hal ini dan cuba mengelat dengan mencipta pelbagai cara menumpulkannya. Dr. Hoogland dibenarkan masuk kerana ‘endoscopic microsurgery’ ataupun EMS tidak disediakan di Malaysia.

Chua dan kerajaan telah melancarkan satu kempen betapa kesetiaan Anwar terhadap Malaysia boleh disangsikan kerana dia tidak yakin kepada institusi tempatan dan peraturannya. Inilah sebodoh-bodohnya anggapan yang tidak punya relevan. Kalau kita menerima-pakai pemikiran ini, bagaimana pula kisahnya dengan Proton yang mengenakan tayar bikinan Thailand, dan paip-eksos buatan Indonesia, sambil memperlekehkan kewujudan barangan yang sama bikinan tempatan?

Yang menjadi perhitungan sekarang ialah benda lain: kesihatan yang berkekalan. Sanggupkah Chua menuduh rakannya dalam kabinet waima Yang DiPertuan Agong kerana kurang keyakinan kepada kemudahan perubatan disebabkan mereka menjalani pembedahan jantung di luar negara; ataupun kalau rakyat Malaysia yang membeli pakaian mereka di butik luar negara? Saya tidak faham kenapa Chua dan juga kerajaan sanggup menghina martabat diri sehingga ke tahap longkang najis semata-mata cuba menegakkan benang basah.

Jadi, apa yang kita dapati sekarang ialah keadaan gencatan. Anwar dan kerajaan mula-mula bersetuju bahawa EMS adalah sebaik cara untuk menangani masalah perubatan Anwar. Yang diperbalahkan sekarang ialah tempatnya. Kerajaan bertegas tempatnya ialah di Malaysia, dan Anwar bertegas juga tempatnya itu ialah di luar negara. Anwar menang juga dalam dua cara itu. Kalau dia pergi ke seberang laut ia akan mencalitkan satu lebam kepada mata kerajaan, kalau dia tidak jadi pergi, mata yang lagi satu akan terlebam sama. Tidak ada yang akan merugikan Anwar selain dari nyawanya, tetapi kerajaan Mahathir akan kehilangan segala-galanya.

Lagipun sebagai bekas timbalan perdana menteri tentu sekali Anwar layak menerima sedikit penghormatan yang lebih baik lagi.

-MGG Pillai-
Harakah. 01-15Mei, 2001

......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com