Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


YANG DIKENDONG DAN YANG DI KANDANG

Dipetik daripada :
Laman Fitnah e-UMNO

Masa berlalu dengan pantasnya. Pada 11 Disember yang lalu telah terlaksana pemilu ke-10 yang meletakkan Mahathir bin Mohammad sebagai seorang perdana menteri Malaysia sekali lagi. Inilah sistem demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalaulah 11 Disember itu merupakan satu majlis perkahwinan dan sang isteri dikurniakan Allah rezki 'bunting pelamin'; perutnya sudah besar kini. Zaman berbulan madu sudah lama pergi dan pasangan suami isteri itu sedang memikirkan apa yang perlu disediakan untuk menyambut zuriat permberian Illahi dalam masa tiga bulan lagi.

Demikianlah kehendak masa yang tidak boleh di'save' dalam lipatan hidup manusia seperti kita menyimpan setiap cerita dalam perisian komputer. Apatah lagi dengan perjalanan politik negara. Setiap yang berlaku menjadi bahan penelitian rakyat setiap masa. Apa yang dilakukan oleh golongan pemimpin sentiasa dianalisa dengan kritis oleh pengikutnya, apatah lagi golongan marhain yang memang terus tersiksa. Kalau hendak diambil kira segala janji politik yang meletgakkan Barisan Nasional memenangi pilihanraya negara secara keseluruhannya, tentulah banyak sekali janjijanji itu. Tentulah rakyat menantikan bibit-bibit permulaan akan tertunainya sebahagian janji yang telah diucapkan. Apakah terlaksana apa yang diimpikan oleh rakyat itu?

Secara keseluruhannya kita masih tidak nampak lagi sebarang imbasan akan terlaksananya janji-janji pilihanraya. Melainkan kalau ada pilihanraya kecil seperti yang berlaku di Sanggang dan juga Teluk Kemang. Nampaknya BN akan menunggu satu pilihanraya kecil lagi untuk melakukan sesuatu sebagai usaha menutup malu. Begitulah seterusnya yang akan berlaku. Tunggu, tunggu, tunggu......pilihanraya kecil adalah tempatnya kita melihat tertunainya sedikit janji-janji politik itu. Dengan lain perkataan segala janji politik rejim yang memerintah akan terus dikendong ke hulu ke hilir untuk dilaksanakan secara 'token' setiap kali adanya pilihanraya kecil. Segala rintihan rakyat yang menagih janji itu akan dikekang dulu laksana mengekang binatang peliharaan dalam satu kandang; diberi makan apabila tiba waktunya dan dibiarkan hanya berkeliaran dalam satu kawasan yang terhad untuk menentukan haiwan itu tidak hidup bebas lagi. Kalau haiwan yang dikandang itu membuat bising secara mengejut maka dijenguklah untuk mencari sebabnya. Pertama sekali diperhatikan samada bunyi yang bising itu dapat diredakan dengan memekik saja dan mengirap kayu panjang di tangan sebagai ugutan. Sekali sekala dikenakan juga hujung kayu itu ke arah seekor dua badan haiwan yang berdekatan sebagai petanda yang si gembala memang boleh menggunakan kuasa. Kalau kayu tidak memadai, ada juga sekali sekali dicurahkan air panas ke atas haiwan itu, walaupuna ada gembala yang berhati haiwan selalu gemar menggunakan cuka pula. Tetapi, bukannya mudah mengandang haiwan di satu tempat dan mengharapkan mereka mengikut arahan agar hidup secara aman tanpa bercakaran. Kalau hiruk-pikuk itu disebabkan kekurangan makanan, maka ditaburlah makanan untuk menenangkan keadaan. Kalau hiru-biru itu berlaku disebabkan pergaduhan, eloklah diperhatikan sahaja untuk melihat binatang mana yang akan parah untuk ditangkap dan disembelih bagi santapan di meja makan pula.

Bukankah itu caranya majoriti orang Melayu hidup di negara ini sekarang?

Siapakah yang boleh menyangka begini jadinya dengan keadaan kehidupan orang Melayu di negara kelahirannya? Secara keseluruhannya kehidupan orang Melayu itu sudah laksana sekumpulan haiwan yang dikandang dan diberi makanan mengikut waktu dan dibiarkan bebas mengikut ruang kandang yang disediakan. Lain dari itu mereka hanya mampu melihat sahaja apa yang berlaku di sekelilingnya tanpa ada hak untuk mempersoalkannya dan mempunyai hak untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Kebebasan Media Wujud Di Malaysia ?????

Setiap bangsa yang maju di dunia ini mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan bebas. Baik dalam bentuk media massa, berkumkpul secara aman, dan berbincang dan berdebat secara beretika. Apakah ini ada di Malaysia dan mampukan orang Melayu itu menjadi satu bangsa yang besar dan maju?

Mingguan Malaysia Ahad 18 Jun ada menyiarkan tulisan "Isu Minggu Ini" oleh seorang penulis veteran yang pernah menjadi timbalan menteri di zaman Tun Razak dan menjadi seorang duta di zaman Mahathir. Di antara ke dua-dua jawatan yang dipegangnya ini, dia pernah dipenjarakan atas tuduhan I.S.A. Rakyat diberitahu ketika itu dia bersubahat dengan agen asing untuk menjatuhkan sebuah kerajaan demokrasi bernama Malaysia. Saya ingin merakamkan sebahagian tulisannya di sini:

... "penulis bersyukur bahawa kita di Malaysia bebas bercakap, berfikir, berpidato dan menulis dan ada parti-parti pembangkang seperti PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu. PAS, DAP dan Keadilan mempunyai wakil dalam parlimen. Media rasmi Pas, Harakah, media resmi DAP iatu Roket dan Aliran, majalah yang bersimpati dengan Barisan Alternatif bebas dicetak, dan diedarkan kepada ahli-ahli hatta adakala secara curi-curian dijual kepada bukan ahli.

"Sudah tentu ada di antara anda yang mempertikaikan kenyataan ini. Itu pendapat anda tetapi hakikatnya tidak boleh lari wujud kebebasan media, kalau tidak masakan Harakah, Roket dan Aliran dan lain-lain lagi yang antikerajaan berleluasa di Malaysia?

"Di negara China, Vietnam Cuba, Korea Utara media pembangkang tidak dibenarkan. Bahkan di Arab Saudi dan ramai oang kita naik haji dan lebih ramai lagi menunaikan umrah tentu sedar tiada media pembangkang atau suara pembangkang wujud di negara itu."

Demikianlah tulisan seorang diplomat yang mempunyai satu kerjaya yang pernuh warni-warni sepanjang hayatnya. Kalau diteliti betul-betul pengalaman hidupnya yang termasuk episodnya ketika berhadapan dengan dakwaan mahkamah awam yang melibatkan satu projek perumahan pegawai kerajaan, warna-warni karya hidup Dato Abullah Ahmad ini mungkin lebih gemilang lagi daripada pesta citrawarna yang sedang berlangsung sekarang. Memang, tulisan Abdullah Ahmad itu amat selamba sekali kerana itu ia amat meyakinkan tetapi itulah tulisan seorang bekas pemimpin politik yang mengaibkan kerana di sebalik setiap patah tulisan itu terkandung pelbagai pembohongan semata-mata mahu menegakkan dinasti seorang diktator tua.

Adalah satu kesilapan kalau kita bandingkan keadaan di Arab Saudi China, Vietnam,Cuba dan negara apa juga dengan Malaysia. Arab Saudi adalah sebuah negara Arab yang pada asalnya merupakan kepunyaan beberapa kabillah yang diperangi dan disatukan oleh Abdul Aziz Ibn Saud dengan pertolongan Kumpulan Agama yang bernama Wahabi. Kemunculan minyak adalah secara kebetulan yang tidak ada dalam agenda asal penyatauan tanah arab itu yang akhirnya dipanggil Arab Saudi. Ketika menyatukan tanah besar itu Ibn Saud terpaksa menjelajah dari satu ceruk perkampungan ke ceruk yang lain menjanjikan bantuan kewangan daripada hasil yang diterimanya dengan kemasukan jemaah haji ke tanah Arab. Selain dari itu tanah Arab bergelar Saudi itu hanya merupakan penjual tamar, air zamzam dan menjadi tempat persinggahan para jemaah haji. Di kawasan padang pasirnya pula ketika itu ada ruang khas yang membolehkan kenderaan berat lalu-lalang daripada Teluk Parsi untuk menyusuri tebing Lautan Merah untuk menghala ke Lebanon, Mesir dan Cyprus. Dengan lain perkataan ketika Aziz ibn Saud menyatupadukan Arab Saudi tujuannya ialah meraih keuntungan daripada cukai yang dikenakannya terhadap lalu-lintas yang membawa barang dagangan Hindi-Pak-Parsi ke arah tanah Afrika. Dengan kekuatan dan pengaruh Ketua puak Wahabi di setiap ceruk perkampungan di tanah yang luas itu, Aziz ibn Saud berjaya dengan usahanya. Ketika itu beliau mempunyai seorang penasihat yang secara kebetulan berminat dengan benih-benih kurma untuk dibawa ke California dan dikacokkan.

Dengan kuasa Allah, pemungut benih korma ataupun tamar itu menjadi orang kesayangan dan yang dipercayai oleh Aziz ibn Saud sehinggakan ia mampu mempengaruh Aziz ibn Saud mengenepikan apa juga kesan penjajahan British dan menggantikannya dengan keluaran Amerika. Itu sebabnya di antara jajahan British, Arab Saudi merupakan negara jajahan terbesar di mana kenderaan dipandu disebelah kiri dengan menggunakan kereta buatan Amerika dan bukannya kereta buatan British. Kalau sistem lalulintas boleh diputar balik oleh seorang pakar 'biji-benih' (seed specialist) Amerika itu apakah lagi agaknya yang dapat dipengaruhinya di situ?

Tidak lama setelah bersatunya semua wilayah di tanah besar Arab itu dan dinamakan Arab Saudi, minyak dijumpai di situ oleh beberapa syarikat carigali daripada Amerika. Sekaligus, pakar biji-benih Amerika menjadi pakar khas Raja Aziz ibn Saud mengenai siapa yang sepatutnya diberikan kontrak untuk apa jenis kerja yang diperlukan untuk membangunkan negara itu. Ketika itu barulah terbeliak mata seluruh dunia betapa pakar biji itu adalah seorang perisik yang amat tinggi tahap kedudukannya dalam dunia perisikan. InsyaAllah kita akan tulis peristiwa ini secara panjang lebar pada satu hari nanti.

Walaupun Arab Saudi maju, ia masih menganut satu sistem kehidupan ala Arab kuno di banyak tempat. Satu ketika dulu kaum wanita tidak dibenarkan memandu kereta di jalan raya. Kalau mahu menaikki teksi perlu ada seorang teman lelaki yang mahram dengannya. Apabila Arab Saudi maju harta negara yang sungguh lumayan itu diagihkan di kalangan keluarga istana dulu sebelum ia terus menurun untuk diagihkan kepada rakyat yang ada. Kerana itu hingga hari ini setiap syarikat daripada luar negara mesti mempunyai orang tempatan sebagai rakan kongsinya. Setiap perusahan mesti mendapatkan lesen yang hanya diberikan kepada orang pribumi.

Bagaimana dengan tahap pelajaran di sana? Sungguh baik sekali tetapi yang belajar bukannya anak peribumi Arab yang asli. Kebanyakannya adalah anak-anak pendatang yang sudah lama berhijrah ke tanah Arab itu. Mereka datang daripada Lebanon, mesir, Libya, Palestin, Pattani, Malaysia, Indonesia dan sebutlah di mana juga; memang ada sahaja rakyat asing yang menetap di sana secara sah ataupun haram. Hanya segelintir anak pribumi yang mahu melanjutkan pelajarannya. Kebanyakannya leka dengan kesenangan dunia. Malahan tua sibuk dengan perlumbaan unta dan permainan helang. Mereka yang suka memburu dengan menggunakan helang sanggup berbelanja besar untuk pergi ke Ethiopa dan Somalia untuk menghabiskan masa dan mengejar keseronokan dunia. Apakah mereka perlu membaca sedangkan setiap berita dapat mereka ikuti melalui satalite besar yang terpasang di laman rumah? Lagipun siapa yang mahu membaca akhbar kalau ceritanya adalah membesarkan kuasa raja yang memerintah?

Bagi orang Arab Saudi, membaca akhbar adalah membazirkan masa sedangkan waktu itu lebih baik dihabiskan menengok filem Bollywood dan juga apa juga bentuk permainan dan sukan dunia. Mereka terpaku di depan TV sambil hujung 'hogah' ada di tangan sebelah kanan dan persap kemenyan di sebelah tangan kiri. Itulah kerja mereka hampir setiap hari. Bila lapar mereka korbankan seekor dua kambing untuk dilapah laksana seoarang tahanan yang lama dipenjarakan. Selera makan tidak boleh dibayangkan bahana menyedut madat daripada 'hogah' yang lebih dikenali dengan panggilan 'double bubble'.

Dengan hal yang demiikian apabila Abdullah Ahmad cuba membandingkan keadaan orang Melayu, bangsa Malaysia dengan keadaan orang Arab yang tidak mempunyai akhbar daripada parti pembangkang, apakah beliau sebenarnya ikhlas dengan tulisannya itu. Siapakah lagi di kalangan orang Melayu yang mahu ditipunya?

Begitu juga dengan China, Cuba, Vietnam Utara dan sebut sahaja apa negara lain yang dikatakan tidak ada media pembangkang itu. Bukankah itu semuanya negara komunis yang memang tidak ada kebebasan untuk pembangkang bersuara. Bukankah amalan kerajaan komunis bahawa di negara mereka tidak ada pembangkang? Saya pernah menulis betapa satu ketika dulu China dan Korea utara berpakat untuk menguasai dunia. Mereka membantu Vietnam memerangi Amerika Syarikat. Mereka tidak gunakan surat khabar. Mereka gunakan manusia dengan mengirim beratus gadis yang cantik molek yang disuntik dengan virus ghonorea yang dipanggil 'Vienam Rose'. Setiap askar Amerika yang meniduri gadis yang membawa virus itu telah dihinggapi penyakit tersebut sehinggakan moral para askar menurun. Ahirknya Amerika melepaskan peperangan itu dengan alasan mereka ada prioriti lain. Sedangkan alasan sebenarnya mereka sudah kalah teruk. Tetapi apakah Amerika pernah mengaku mereka kalah ketika itu? Sehingga hari ini pun mereka masih tidak mahu mengaku begitu kerana malu. Seluruh wilayah Indo-China telah musnah hingga ke hari ini. Kalau kita pergi ke sana masih terdapat pondok dan kedai perniagaan yang menggunakan bom-bom besar sebagai tiangnya walaupun ada di antara bom itu yang masih hidup (live rounds). Sekarang ini rakyat di sana masih mencari pegangan hidup mereka. Di desa dan perkampungan masih ada lagi penduduknya yang terpijak perangkap samar dan terpaksa dikudungkan kakinya. Kerana itu usaha membasmikan jerangkap samar (land mines) masih diteruskan di seluruh kawasan yang terbabit. .

Cuba kita renungkan, apakah perlunya akhbar parti pembangkang di kawasan itu sedangkan rakyatnya masih mencari satu cara hidup yang lebih selesa. Oleh kerana keadaan yang sungguh daif mereka masih lagi mengharapkan bantuan kerajaan untuk mengisi perut mereka. Malahan kalau kita pergi ke Vientienne dan beberapa pekan di Laos dan Vietnam kita akan lihat betapa orang lelaki terpaksa menanggung tugas kerja yang besar sekali. Oleh kerana nisbah lelaki dengan wanita dewasa ama memihak kepada wanita maka timbul satu masalah sosial di sana. Ada lelaki terpaksa menghabiskan masa lepangnya untuk meniduri lebih daripada sepuluh isteri, sebagai proses menambahkan penduduk dan masyarakat kampungnya. Kalau setiap hari terpaksa membuat kerja lebih masa, apa yang diharapkan kepada golongan lelaki seperti itu? Apakah mereka mempunyai bakat menjadi ahli parti politik pembangkang sedangkan masa untuk melelapkan mata pun tidak mencukupi. Bagaimana pula kalau dia mahu membaca akhbar, bila masa dia ada waktu untuk mencelikkan mata untuk membaca? Kalau pun ada waktu itu masih banyak benda lain yang perlu dibacanya.

Apakah mereka perlukan satu media untuk parti pembangkang? Kepada siapakah Abdullah Ahmad mahu berbohong lagi???? Jelas kini, tulisan manusia seperti Abdullah Ahmad adalah bertujuan untuk memperlekehkan bangsanya sendiri. Dia tahu dan sedar betapa rakyat amat dahagakan maklumat yang benar dan bukannya maklumat songsang seperti yang disiarkan oleh media massa tajaan kerajaan. Malahan kalau kita teliti tulisan beliau itu nampak sangat beliau membohong. Kalau negara ini betul-betul mengamalkan sistem demokrasi apakah perlunya mengekang akhbar parti pebangkang sehinggakan perlunya mengeluarkan permit untuk menerbitkan akhbar dan majallah? Kenapkah tidak diambil kira kemudahan berpropaganda yang dilakukan oleh rejim Mahathir melalui radio , television, dan segala media massa tajaan rejim yang memerintah itu?

Orang seperti Abdullah Ahmad sudah melihat dunia di atas keringat rakyat marhain. Dia sudah selesa dalam hidupnya ketika dia keluar daripada penjara dulu. Dia pergi ke London untuk melanjutkan pelajarannya dan isterinya (seorang pegawai PTD ketika itu) telah diberikan satu jawatan khas (oleh siapa lagi!!!) yang sengaja diwujudkan untuk membolehkan beliau dan anak-anak hidup senang lenang di sisi suami tersayang. Apakah Abdullah Ahmad tidak selesa dengan segala kemewahan itu di atas keringatn rakyat? Apakah dia lupa apa ertinya demokrasi seperti yang terdapat di London. Lupakah dia akan cara orang berpidato secara bebas di Hyde Park dan di ceruk laman universiti di sana?

Ketika Abdullah Ahmad betugas sebagai duta di Amerika dia kerap menulis di akhbar tempatan. Apakah yang ditulisnya itu membawa satu pengatahuan baru kepada rakyat marhain? Apakah dia pernah menceritakan bagaimana 'The Million Men March' yang ditaja oleh pemimpin agama Islam di sana dan cara orang negro menyibarkan ajaran Islam di kalangan penduduk Amerika. Adakah Amerika menyekat penerbitan sebarang akhbar dan majallah di sana? Orang semacam Abdullah Ahmad ini sebenarnya petualang negara dan bangsa Melayu yang sepatutnya bertaubat sebelum terlambat. Dia sepatutnya bertaubat sebelum usianya mengejar mindanya untuk mula bermain taik seorang diri.

Kita membincangkan tulisan Abdullah Ahmad di Mingguan Malaysia kerana secara kebetulan dia menulis dengan memperlekehkan bangsanya sendiri. Kalau tulisan itu datangnya daripada seorang anak muda yang baru merangkak dalam dunia kewartawanan, saya tidak akan mengungkitnya. Tetapi, apabila ia ditulis oleh seorang insan yang mampu hidup bergaya dengan keringat rakyat marhain semata-mata dia memenuhi agenda seorang diktator tua, saya merasa terpanggil untuk memperbetulkannya. Harapan saya jangan pula ada insan lain yang cuba menulis dengan cara yang serupa untuk memperlekehkan bangsanya. Orang seperti Abdullah Ahmad usah belagak laksana orang putih yang menulis di akhbar kerana budaya hidup Melayu amat berbeza dengan budaya hidup orang putih. Kita ada anak cucu yang dikenal dan dikaitkan dengan nama kita. Apabila kita membohong secara bertulis lantang di akhbar, kita mengaibkan zuriat kita dan orang kampung kita juga. Apakah disebabkan seorang diktator tua kita sanggup membohong bangsa kita? Untuk apa dan sampai bila?

Budaya Memperlekehkan Bangsa Sendiri

Taktik politik dengan memperlekehkan bangsa sendiri nampaknya semakin menjadi-jadi. Kerana itu kita lihat betapa Mahathir amat suka membuat perangai ini. Mahathir yang naik dengan sentimen nasionalisme Melayu akhirnya menggunakan sentimen kebangsaan untuk memperlekehkan kembali bangsa yang menaikkan namanya. Sejarah telah menunjukkan Mahathir telah menonjol setelah memperlekehkan kewibawaan Tunku Abdul Rahman Putra. Sekaligus juga dia telah memperlekehkan kewibawaan Tun Abdul Razak, Tun Husein Onn, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan ahli kabinet Tunku ketika itu. Dia telah menggunakan sentimen keMelayuan untuk memperlekehkan Tunku dan meraih simpati keseluruhan orang Melayu ketika itu

Surat Mahathir yang dihantarkannya kepada Tunku telah mencetuskan satu perasaan syak wasangka yang amat berat memihak kepadanya. Dia telah menulis satu surat yang mencemuhkan kewibawaan Tunku tanpa memberi peluang untuk Tunku menjelaskannya kepada rakyat, walaupun rakyat sudah menerima salinan suratnya itu. Surat terbang yang tersibar luas itu telah menaikkan semangat rakyat hingga membenci Tunku dan memihak kepada Mahathir. Sebenarnya orang Melayu ketika itu tidak berapa sedar betapa surat itu adalah imbasan marahnya Mahathir kepada orang Cina yang tidak menyokongnya ketika pilihanrya 1969 dulu. Hakikat sebenarnya Mahathir sudah menjadi angkuh ketika itu sehingga berani bersuara lantang bahawa dia tidak memerlukan undi orang Cina untuk menang. Walau bagaimanapun Tunku berjaya memberikan penjelasan yang amat jelas kepada orang Melayu akan apa yang sebenarnya berlaku dan dari tulisannya itu barulah rakyat marhain sedar bahawa insan yang bernama Dr. Mahathir bin Mohammad adalah manusia yang boleh dianggap bukan kepalang besar 'ularnya'.

Tunku pernah menulis betapa kerja-kerja mengaibkan namanya dilakukan oleh Mahathir kerana dia kecewa dengan kekalahannya. Sedangkan ketika masih berkuasa, Mahathir hanya sibuk dengan kroni Cinanya, berniaga. Apabila beliau disingkirkan daripada UMNO apakah yang Mahathir lakukan selain memperburukkan Tunku lagi? Beliau meraih simpati pada orang PAS untuk memberi ruang kepadanya bercakap dengan rakyat jelata. Semua ini berlaku tiga puluh satu tahun yang lalu. Mahathir sudah lupa semua ini tetapi dia lupa bahawa orang lain tidak akan lupa semua itu.

Kini, Mahathir berada di puncak kegemilangannya. Dia sudah mula memperlekehkan orang Melayu seperti cara dia memperlekehkan Tunku dulu. Tetapi, sebilangan besar orang Melayu tidak bencikan Mahathir. Mereka hanya bencikan tingkah lakunya dan kerana itu mereka mahu dia bersara. Mahathir kini semakin keliru. Kerana itu dia sanggup memperlekehkan orang Melayu dengan berkata kemungkinan kaun lain menjadi perdana menteri Malaysia satu hari nanti. Orang yang masak dengan politik Melayu memang tidak percaya cakap Mahathir itu kerana itulah taktiknya untuk membuatkan semua orang keliru. Kepada Mahathir, kalau rakyat terus keliru rakyat tidak akan bercerita lain lagi melainkan isu yang dijadikan topik yang mengelirukan itu. Inilah yang sebernarnya dia mahu. Dia tidak mahu rakyat membincangkan kisah Eusoff Chin yang tterserempak dengan Lingam di New Zealand. Dia tidak mahu rakyat membincangkan perihal dia membalun khazanah bangsa untuk menyelamatkan tembolok keluarganya. Mengikut Mahathir rakyat tidak ada hak ke atas semua itu kerana sebagai perdana menteri semua khazanah negara adalah tertakluk kepada mainan nafsu-nafsinya.

Kita dapat melihat betapa strategi memperagungkan Mahathir sedang galak dirancangkan. Beberapa jabatan kerajaan sedang melaksanakan strategi itu. Dari sudut agama strategi yang terbaru sudah pun bermula dengan Mahathir membaca doa ketika ucapan perdananya di persidangan UMNO dulu. Kemudian kita lihat ura-ura penubuhan MATIN untuk mengajar orang Melayu bagaimana bertaqwa kepada Allah mengikut fatwa hamid Othman yang dibantu oleh seorang pendatang daripada Selatan Siam bernama Astora Jabat. Pada mulanya orang Melayu terpesona dengan telatah itu. Tetapi, strategi yang tidak suci niatnya tidak pun dapat bertahan lama. Kini, kita dapat lihat satu strategi fasa baru sudah pun bermula. Berita Harian sudah pun berwajah baru sedangkan yang lebih penting ialah perubahan kepada sikap buruknya memperlekehkan orang Melayu. Berita Harian kini diterajui oleh Abdullah Ahmad. Di waktu yang sama dia menulis pula di Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Bayangkan strategi Mahathir yang terbaru itu. Inilah strategi serampang bermata-mata. Orang Melayu juga yang akan menjadi mangsa.

Yang Dikendong Berciciran yang Dikandang....?

Sejarah dunia menunjukkan tidak ada satu pun pemimpin unggul dunia ini dapat mengekalkan kegemilangannya kalau dia memperlekehkan bangsanya sendiri. Selalaunya proses memperlekehkan bangsa bermula selepas pemimpin itu membalun khazanah bangsanya. Marcos tumpas kerana kerakusannya untuk berkuasa sehingga sanggup merencana agar seorang banduan membunuh pencabar poltiknya di depan mata khalayak ramai. Akhirnya dia mati di negera orang dan harta kekayaannya menjadi buruan rakyatnya. Sukarno naik terlalu lama sehingga dia naik sewel untuk memperbaikki negaranya. Dia jatuh juga dan dikenakan tahanan rumah. Tetapi, penggantinya Soharto telah membalun harta rakyat sehinggakan hampir semua institusi kerajaan Indonesia telah diperibadikannya. Kini, hidupnya melarat dan harta kekayaannya akan dirampas juga. Seorang pemimpin Korea pernah melakukan perkara yang sama seperti Soharto. Dia akhirnya mengaku salah dan sanggup bertaubat di sebuah biara.

Kini, Mahathir sedang dibicarakan oleh rakyatnya. Dia enggan dan amat takut menghadirkan dirinya ke mahkamah walaupun sudah diberikan sapina. Pelbagai alasan telah direncananya. Semua hakim berpihak kepadanya. Tidak ada ketua jabatan yang nampak sanggup melakukan tugas mereka kerana Allah. Hampir semuanya sedang bertugas kerana seorang diktator tua seolah-olah Mahathirlah manusianya yang akan mencabut nyawa mereka. Kerana itu jentera kerajaan tidak mampu berjalan dengan licin mengikut yang dilakarkan oleh perlembagaan negara. Rafidah Aziz boleh terus riang tanpa takut dihadapkan ke mahkamah kerana kerja curannya sebagai seorang menteri. Abul Hassan yang ernah ditangkap oleh BPR boleh terus lega kerana tiada sesiapa yang sanggup menangkapnya. Ketua hakim Negara yang sudah terang-terangan membohong seluruh negara kerana episod dia terserempak seorang peguam di New Zealand mungkin disambung lagi kontrak khidmatnya.

Rakyat sudah semakin resah kini. Sistem pentadbiran negara sudah mencelaru. Tidak ada yang dapat diyakini kerana Mahathir adalah penentu segal-galanya. Kini, pasaran saham terus merudum sejak satu minggu yang lalu. Sedangkan Mahathir kata ini adalah proses pengambilan untung. Virus Nipah ataupun JE sudah pun melanda Gopeng dan menyerang Taiping, sedangkan ada seorang meneri membuat pengumuman dua hari yagn lalu betapa seorang mangsa yang mati kerana JE adalah mangsa yang di serang lama dulu. Bukan mangsa serangan kali ini. Tetapi, berapa ribukah khnizir yang sudah dimusnahkan kali ini? Kita boleh menjangkakan JE akan menyerang lagi dan kali ini menghala ke utara pula.

Semua ini yang membuatkan rakyat resah gelisah. Semua ini yang membuatkan suasana menjadi parah kerana di waktu yang sama bermacam perkara membabitkan kenaikan harga sedang diumumkan. Apa lagi yang akan naik, tanya rakyat marhain. Apakah semua ini mendapat perhatian Mahathir dan para juaknya?

Inilah yang membingungkan. Inilah yang dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Di zaman IT ini kita boleh nampak jelas kebanyakan huru-hara telah dicetuskan oleh pemimpin yang korup kerana isteri mereka turut bernafsu. Lihat pada Marcos, ia tumbang kerana Imelda yang lebih berkarisma daripadanya. Begitu juga Soharto, Ibu Tien yang mengawal segalanya sehinggakan seluruh rakyat Indonesia tahu bahawa ketika hayatnya presiden sebenarnya adalah isteri Soharto. Kini, rakyat Malaysia semakin sedar siapa sebenarnya yang membuat Mahathir terus keliru. Rupanya yang dikendong berciciran dan yang dikandang terus bercakaran.

Mahathir sudah tidak ada pilihan lain lagi. Dia terpaksa mengundurkan diri sebelum terlambat. Isyarat daripada langit sudah datang lagi. Wabak JE adalah antara isyarat itu. Jangan sampai wabak itu merebak ke Juru dan seterusnya ke Pulau Pinang pula. Kalau ini berlaku Malaysia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada projek menarik pelancung luar negara. Yang paling ditakuti sekarang ini kalau-kalau ada pelancung luar yang berkemungkinan dijangkiti oleh wabak ini.

Semua itu adalah serba mungkin. Seperti serba mungkinnya Mahathir melepaskan jawatannya secara terpaksa bila-bila masa dari hari ini. Kenapa dan mengapa akan kita bincangkan lagi. Kalau burung terbang boleh dipipiskan ladanya, takkan kambing di kandang tidak boleh disediakan parang sembelihannya.

Marhaintua


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com