Saya tersentak membaca laporan AFP (23 Mac) yang
memberitakan Datin Seri Dr Wan Azizah, Presiden Parti
Keadilan telah membantah keputusan kerajaan BA (PAS)
Terengganu untuk mensyaratkan kaum wanita Islam di
negeri itu bertudung dan berpakaian sopan yang menutup
aurat ditempat pekerjaan dan dikhalayak ramai. Datin
Seri Dr Wan Azizah dilaporkan berkata bahawa hukum
Allah tersebut merupakan suatu pilihan individu
(personal choice) dan terpulanglah kepada setiap
wanita Islam sebagai individu membuat pilihan samada
hendak bertudung dan berpakaian yang sopan atau
sebaliknya; dan dalam hal ini pihak umah atau
pemerintah tidak berhak memaksa. Kalau benar apa yang
dilaporkan oleh AFP itu, ianya boleh membawa maksud
bahawa Datin Seri berpegang kepada asas dasar
sekularisma, ia-itu hukum-hakam Allah itu adalah
perkara individu dan dengan itu pihak umah atau
pemerintah Islam itu tidak berhak berfungsi sebagai
kuasa regulatory untuk mempastikan undang-undang Allah
itu dipatuhi.
Kalau benar laporan AFP tersebut maka tidaklah jauh
bedzanya pegangan Datin Seri Wan Azizah dengan Rafidah
Aziz atau Sharizat yang turut menekankan bahawa
langkah kerajaan Terengganu tersebut bercanggah dengan
dengan hak kebebasan asasi individu dan hak-hak
wanita. Dengan ertikata yang lain prinsip-prinsip
universal manusia tersebut dimartabatkan lebih tinggi
mengatasi hukum yang telah diperintahkan oleh Allah.
Datin Seri Wan Azizah telah menegaskan (dan kita semua
sedia maklum) bahawa beliau memakai tudung, dan
berpakaian yang sopan yang menjadi bukti nyata yang
beliau tidak ingkar kepada perintah Allah. Inilah
sebabnya sebagai sesama Islam saya terpanggil untuk
menegur, teguran yang lahir dari rasa kasih sesama
Islam, terutamanya rasa kasih terhadap Muslimah
seperti Datin Seri Wan Azizah yang kita anggap antara
pemimpin Muslimah kita.
Mungkin ramai penyokong Keadilan akan melenting.
Sabar. Ingin ditegaskan sebagai saorang Islam kita
wajib memartabatkan perintah-perintah Allah
setinggi-tingginya supaya megatasi segala yang lain.
Islam itu sungguh hebat, kerana hanya Islam sahaja
agama yang benar disisi Allah. Oleh itu kita mesti
berani dan jangan kompromikan hukum-hakam dan perintah
Allah. Kalau kita kompromikannya maka kita tidak akan
dapat perlindungan Allah, dengan akibatnya kita
menjadi lemah dan terdedah seperti yang sangat-sangat
dikehendaki oleh musuh-musuh Islam. Yang amat
terpenting bagi kita adalah keredhaan Allah, bukannya
keredhaan manusia dan lebih-lebih lagi bukannya
keredhaan kaum kafir.
Saya tidak menegur Rafidah dan Sharizat atas
sebab-sebab yang sudah terlalu umum bagi kita semua.
Semata-mata kerana Allah SWT
Tarabulsi
Komen Tok Ayah : Tarabulsi, Rafidah dengan Vijayaratnam (Gerakan) tu sama aje "Kefahaman Islamnya....." Lihat kenyataan Vija tu sama aje kan !