Memang disokong langkah kerajaan UMNO-BN memerangi
puak-puak ajaran sesat asalkan ianya berseh dari niat
ingin menganiayai dan tidak berunsur menghukum tanpa
bukti yang sahih. Saya percaya PAS sedia membantu
sekiranya UMNO-BN benar-benar ikhlas dan bukan bermain
silap mata. Yang jelas kelihatan ialah UMNO-BN
mempunyai muslihat dan ajenda “de-Islamization” yang
bertujuan untuk akhir-akhirnya mengecap kebanyakkan
pertubuhan Islam sebagai sarang ajaran sesat dan
mengharamkannya. Mungkin UMNO terlebih dahulu perlu
perbetulkan diri sendiri yang semakin dilihat umum
sebagai sudah jauh menyimpang dan terpesong. Ramai
yang bertanya mengapa disebalik hasrat hendak
memerangi ajaran sesat, kerajaan UMNO-BN juga
terang-terang memusuhi para ummah yang berjuang untuk
menegakkan Islam dan badan penguatkuasaan syariah yang
berusaha mencegah maksiat dan kemungkaran. Mengapa Dr
Mahathir dan kuncu-kuncunya dalam UMNO tak habis-habis
memburuk-burukkan Islam. Mengapa timbulnya
percanggahan yang nyata ini.
Mengapa kerajaan UMNO-BN membuat keputusan baru-baru
ini untuk menutup tadika Islam (PASTI dan TASKI),
ertinya diharamkan. Bukankah tadika Islam ini membantu
ibu bapa mendidik anak-anak supaya mengenali, dari
‘umur rebung’ lagi, asas-asas agama Islam dengan
diajarkan mereka antara yang baik dan yang buruk,
diajar membaca muqaddam serta mempelajari asas-asas
ilmu tauhid, ilmu feqah, hukum-hakam Islam, perkara
halal-haram dan lain-lain pengetahuan Islam yang asas?
Bukankah asas ilmu tauhid yang diajar di tadika PASTI
dan TASKI itu penting sekali dalam usaha menentang
ajaran sesat diperingkat awal lagi?
Maklumat telah diterima dari pegawai dan kakitangan
awam mengenai mesyuarat antara Hamid Othman dengan
Ketua-ketua jabatan awam pada pertengahan bulan Jun
yang lalu. Di mesyuarat tersebut Hamid Othman telah
mengumumkan keputusan kerajaan UMNO-BN untuk menutup
tadika Islam dan pusat al-hafiz, disamping
mengurangkan sekolah-sekolah agama Islam. Kerajaan
UMNO-BN akan juga menyekat dan mengurangkan
pelajar-pelajar jurusan agama dari melanjutkan
pelajaran di institusi pengajian tinggi di
negera-negara Arab.
Tadika Islam, pusat al-hafiz dan sekolah-sekolah agama
telah dicap oleh Hamid Othman sebagai sarang ajaran
sesat dan tempat semaian golongan ‘social misfits’ dan
anti-sosial. Hamid Othman mengulangi tuduhan kononnya
tadika Islam mengajar kanak-kanak membenci UMNO.
Hamid Othman juga diberitakan telah berkata bahawa
amalan Islam dikalangan kakitangan awam (termasuk
tentera dan polis) kononnya terpesong kerana
dipengaruhi oleh ABIM. Langkah-langkah yang akan
diambil adalah pemantauan dengan sekatan-sekatan
keatas aktiviti agama, seperti hanya membenarkan
“ustaz-ustaz” yang dilulus oleh UMNO-BN untuk memberi
ceramah di jabatan-jabatan awam. Hamid Othman juga
telah mengulangi pendapat yang sering didengar bahawa
pemerintahan Islam bukan sahaja tidak boleh
dilaksanakan di Malaysia yang berbilang kaum dan
agama, tetapi konsep negara Islam itu sendiri tidak
ujud.
Adalah jelas dan nyata bahawa tujuan sebenar kerajaan
UMNO-BN adalah untuk membanteras arus kebangkitan
Islam yang sedang berkobar-kobar dikalangan ramai
pegawai dan kakitangan awam, malah dikalangan lebeh 80
peratus orang Melayu kalau mengikut estimate agensi
perisek. Dan dasar ‘de-Islamization’ ini, iaitu dasar
menyekat, membanteras dan melemahkan semangat
kebangkitan Islam bukan sahaja terhad kepada kalangan
kakitangan awam, tetapi sasarannya adalah seluruh
masyarakat Melayu.
Orang Melayu sedang dalam arus kebangkitan Islam yang
menjejaskan kedudukkan UMNO. Kini ramai orang Melayu
melihat persekitaran sosial, budaya, politik dan
ekonomi dari kaca mata Islam dan mereka nampak dengan
terang dan nyatanya segala keburukkan UMNO. Mereka
lihat UMNO sudah nyata jauh terpesong dengan fahaman
sekular dan pegangan hidup yang terlalu sangat
materialistik. Hampir segala perhitungan UMNO
berdasarkan keuntungan duit yang boleh diraih. Malah
ada yang menganggap UMNO sudah 'sesat' kerana tidak
menegur (yang bermakna bersubahat) dan membetulkan
beberapa ‘fatwa-fatwa’ yang dikeluarkan oleh Dr
Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO yang lain yang
nyata bercanggah dengan Al-Quran dan Hadith. UMNO juga
sudah jauh terpesong dari ajaran Islam kerana
membudayakan amalan rasuah, pecah amanah (amanah
dianggap ghanimah iaitu mengkayakan diri sendiri),
salahguna kuasa, nepotisma, kronisma, kekejaman,
kezaliman dan ketidak adilan. UMNO sudah menjadi
terlalu jijik dan dengan itu sebahagian besar orang
Melayu telah meninggalkan UMNO untuk menyertai atau
menyokong PAS dan Parti Keadilan.
Kebangkitan Islam dikalangan orang Melayu yang
diterajui PAS, dan sekarang ini didokong bersama oleh
Parti Keadilan, sedang merubah masyarakat Melayu
secara menyeluruh; daripada menjauhkan Islam kepada
mendekatinya, daripada jahil tentang hukum-hakam Islam
kepada berusaha memahami dan mengamalkannya, daripada
melarikan diri dari ajaran Islam kepada beriltizam
dengannya, daripada sibuk dengan kepentingan diri dan
tidak mempedulikan nasib umat kepada memikul
pemasalahan umat dan memperjuangkan nasib umat,
daripada tunduk mengejar kelazatan duniawi dan
mengikuti hawa nafsu kepada menghidupkan dakwah dan
melaungkan jihad untuk membela agama dan
kehormatannya, daripada pendedahan aurat di kalangan
wanita kepada beriltizam menutup aurat, daripada
menjauhi masjid dan surau kepada mengimarahkannya
dengan solat dan pengajian.
Dibawah kepimpinan PAS dan Parti Keadilan, sebahagian
besar orang Melayu sedang menuju dengan laju ke arah
keadaan yang layak untuk Allah SWT mengubah keadaan
mereka daripada yang lemah kepada kuat, daripada hina
kepada mulia, daripada tewas menjadi kemenangan,
daripada ketakutan menjadi aman dan daripada tertindas
menjadi kuat dan berkuasa. Seperti firman Allah SWT:
Terjemahan: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada
pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d ayat 11).
Ramai yang terkeliru dan salah anggapan bahawa yang
dimaksudkan adalah perubahan dari segi material atau
kebendaan. Sebenarnya yang dimaksudkan adalah dari
segi keimanan, amalan agama dan taqwa. Al-Quran telah
menyatakan bahawa bantuan Allah SWT tidak akan berlaku
dan tidak akan sempurna kecuali untuk orang-orang
beriman. Bantuan Allah SWT juga tidak akan wujud
kecuali untuk orang-orang mukmin seperti ditegaskan
oleh Allah kepada Rasul-Nya didalam firmanNya:
Terjemahan : Dialah yang menguatkanmu dengan
pertolonganNya dan dengan orang-orang yang beriman”.
(Surah al-Anfaal ayat 62).
Kuasa-kuasa Barat telah sedar dari sejak Perang Salib
bahawa cara melemahkan orang Islam adalah dengan
melemahkan amalan agama dan akidah mereka. Apabila
orang Islam lalai dengan kelazatan duniawi dan
melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT maka akan
terputuslah pertolongan Allah SWT kepada mereka.
Seperti kuasa-kuasa Barat dan Yahudi, Dr Mahathir dan
kuncu-kuncunya dalam UMNO juga akur mengenai hakikat
ini dan jelas sedang berusaha melemahkan amalan dan
akidah orang Islam di Malaysia. Tidak dinafikan UMNO
banyak sumbangannya kepada Islam, tetapi itu dulu
sebelum zaman pemerintahan Dr Mahathir. Di zaman
pemerintahan Dr Mahathir, enactment syariah yang
diluluskan oleh wakil-wakil rakyat UMNO sendiri telah
dipertikaikan seperti yang berlaku dalam kes
penangkapan orang-orang Islam di premis jual arak oleh
JAIS baru-baru ini.
Nampaknya bukan Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya dalam
UMNO sahaja yang bimbang dengan kebangkitan Islam ini.
Jiran diseberang tambak Johor juga turut mengelabah
dan gelisah, dan diberitakan Lee Kuan Yew ingin ke KL
untuk membincangkan ancaman kebangkitan Islam ini
dengan Dr Mahathir. Tidak boleh diketepikan
kemungkinan bahawa Dr Mahathir akan mendapat sokongan
dari belakang tabir dari negara-negara Barat dan puak
Yahudi dalam usaha beliau membanteras kebangkitan
Islam di Malaysia. Kita sudah lihat bagaimana
Peranchis mendalangi perkembangan di Algeria dan
senjata canggih yang dibekalkan kepada puak Kristian
di Ambon oleh pihak-pihak tertentu di negara-negara
Barat.
Dr Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO telah bertindak
balas dengan dasar ‘de-Islamization’ yang matlamat
utamanya adalah memperkuatkan sekularisma dengan Islam
dipinggirkan menjadi soal individu dan bukannya hak
dan tanggungjawab ummah.
Antara ajenda terpenting dibawah dasar
“de-Islamization” ini adalah siri memburuk-burukkan
Islam. Beberapa hari setelah dicap secara rasmi tadika
Islam, pusat al-hafiz dan sekolah-sekolah agama
sebagai sarang ajaran sesat, maka berlakulah drama
curi senjata di Grik/Sauk yang dikaitkan dengan
kumpulan silat Al-Maunah yang dikatakan mengamal
ajaran sesat. Dan kini kumpulan-kumpulan ajaran sesat
menjadi topik hangat dan Islam kelihatan sebagai agama
yang ganas dan ektremis. Semuanya nampak semacam sudah
diatur atau “stage-managed”. Semakin hari semakin
jelas bahawa SB mendalangi tragedi Sauk. Entahlah.
Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Yang pasti adalah
tragedi Sauk memberi justifikasi kepada Dr Mahathir
dan kuncu-kuncunya untuk memulakan pusingan terbaru
dalam dasar “Islam bashing”.
Memang cantik, sungguh molek kalau kerajaan UMNO-BN
ingin membanteras ajaran sesat. Tetapi lihatlah
terlebeh dahulu wajah sendiri di dalam cermin. Dan
mengapa pula tadika Islam, pusat al-hafiz dan
sekolah-sekolah agama Islam di tuduh
sewenang-wenangnya sebagai sarang ajaran sesat?
Nampaknya bukan ajaran sesat sahaja, tetapi Islam itu
sendiri yang turut hendak dibanteras oleh Dr Mahathir
dan kuncu-kuncunya.
Mungkin tidak lama lagi ABIM dan lain-lain pertubuhan
Islam akan dicap sebagai sarang ajaran sesat dan
diharamkan. Ada ura-ura mengatakan badan
penguatkuasaan dan kehakiman syariah akan dikurangkan
kuasa dan peranannya. Sasaran utama tentulah PAS,
tetapi langkah pengharaman PAS akan dilakukan
“last-last sekali”, iaitu selepas dasar membelasah
Islam (“Islam bashing”) dikira sudah berkesan dan arus
kebangkitan Islam dilihat sudah berjaya dilumpuhkan.
Kaedahnya sama seperti kempen menentang raja-raja pada
awal 90an. Hasut rakyat untuk membenci raja-raja dan
selepas itu menghapuskan kuasa mereka. Sekarang ini
pula, hasut rakyat membenci Islam supaya senang
dikuatkuasakan nanti bermacam sekatan keatas Islam
termasuk pengharaman PAS dan lain-lain pertubuhan
Islam.
Sebenarnya UMNO begitu tertekan kerana dasar
memburuk-burukkan Islam sudah makan diri sendiri.
Semakin hari semakin nyata bahawa UMNO di bawah Dr
Mahathir sudah menjadi musuh Islam. Tidak dinafikan
dikalangan orang-orang UMNO ada golongan yang
sayangkan Islam dan turut tidak bersetuju dengan dasar
pucuk kepimpinan UMNO yang menindas Islam itu. Kepada
mereka ini kita menaruh harapan agar mereka
memberanikan diri dan berusaha dari dalaman UMNO untuk
menggagalkan dasar menindas Islam tersebut. Harus
diingat bahawa usaha menentang ancaman terhadap agama
Islam dan perjuangan mempertahankan akidah dan
kehormatan Islam bukan soal parti tetapi adalah
tanggungjawab yang wajib bagi semua ummah.
Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya dalam UMNO merancang,
tetapi Allah SWT juga merancang, dan perancangan Allah
SWT lebih canggih. Sama-samalah kita semua berdoa’
kepada Allah SWT sambil kita berusaha dan berjuang
untuk menggagalkan rancangan jahat Dr Mahathir
terhadap Islam itu.
Ayuh kita semua bersuara dengan tegas dan lantang
(dengan tidak mengira parti)untuk menyatakan bantahan
kita terhadap dasar ‘de-Islamization” Dr Mahathir dan
kuncu-kuncunya. Ayuh kita semua bangkit mempertahankan
akidah dan kehormatan Islam dari terus dipijak dan
diperkosakan.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Semata mata kerana Allah SWT
Tarabulsi