Assalamualaikum,
JAKIM telah menyenaraikan semua ajaran yang menyeru
umat Islam kepada tanggungjawab mereka untuk
mendirikan negara Islam dan melaksanakan pemerintahan
Islam sepenuhnya sebagai ajaran sesat. Konsep Negara
Islam itu ajaran sesat, kata JAKIM. Ajaran sesat?
Innaa lillaahi wa-innaa ilaihi raaji’uun. Apa sudah
jadi kepada JAKIM?
Tindakan JAKIM dalam menyenarai hitamkan konsep negara
Islam serta pelaksanaan pemerintahan Islam sebagai
ajaran sesat telah diketahui dari beberapa maklumbalas
yang diterima dari mereka yang sudah menghadhiri siri
ceramah mengenai al Maunah dan ajaran-ajaran sesat
yang diadakan oleh JAKIM. Siri ceramah JAKIM ini akan
menjangkau semua pertubuhan-pertubuhan,
jabatan-jabatan awam, syarikat-syarikat swasta dan
korporat, institut-institut pengajian tinggi dan
lain-lain. Sungguh memeranjatkan apabila JAKIM yang
sepatutnya memperjuangkan pelaksanaan pemerintahan
Islam sudah bersubahat dengan UMNO dalam memijak dan
memperkosakan aqidah dan kehormatan Islam.
Di pertengahan tahun 80an dahulu, Pusat Islam (yang
sekarang ini JAKIM) telah menyambut dengan penuh usaha
cadangan Dato Seri Anwar Ibrahim (yang ketika itu baru
dilantik Menteri oleh Dr Mahathir) supaya dilaksanakan
dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem
pemerintahan barat ala Webminster yang diikuti oleh
kerajaan UMNO-BN. Malah dasar tersebut pada mulanya
menjadi isu yang hangat dan ada dikalangan orang UMNO
yang khuatir kalau-kalau Anwar Ibrahim punyai ajenda
tersembunyi untuk secara beransur-ansur merobah sistem
pemerintahan barat itu kepada sistem pemerintahan
Islam sepenuhnya.
Nampaknya, dalam terlalu melutut kepada tekanan UMNO,
pihak JAKIM sudah berubah 360 darjah dan kini
menganggap sistem pemerintahan Islam yang
diperjuangkan dahulu oleh Pusat Islam sebagai sesuatu
yang sesat. Semakin jelas dilihat bahawa beberapa
badan agama Islam seperti JAKIM sudah terlalu takut
dengan UMNO hinggakan hilang ketaqwaan mereka terhadap
Allah SWT. Badan-badan agama ini kelihatan seolah-olah
bukan lagi bertindak kerana Allah SWT tetapi
semata-mata kerana UMNO.
Di ceramah-ceramah yang telah diadakan, penceramah
JAKIM dilaporkan telah mengatur penyampaian supaya
masa tidak mengidzinkan untuk diberi penjelasan
mengapa ajaran yang menyeru kepada pelaksanaan
pemerintahan Islam itu dianggap oleh JAKIM sebagai
ajaran sesat. Malah tidak disebut pun (mungkin takut
dirakam dan disebarkan), dan hanya dipamerkan secara
sepintas lalu dengan powerpoint di atas skrin di
minit-minit akhir ceramah sebagai lain-lain ajaran
sesat yang tidak sempat dihuraikan kerana kesuntukkan
masa.
Penceramah JAKIM yang selalunya digunakan untuk siri
ceramah ini adalah seorang yang berasal dari Kelantan
(nama sengaja tidak disiarkan untuk keselamatan
beliau). Di semua ceramah yang telah diadakan,
penceramah tersebut lebih menghabiskan masa untuk
menyakinkan pendengar bahawa walau pun beliau dari
Kelantan, beliau terpaksa mengaku orang-orang Kelantan
banyak yang jahat-jahat dan negeri asal beliau itu
merupakan sumber utama bagi segala ajaran sesat di
Malaysia. Walau pun tidak disebut secara spesifik,
tetapi mudah dirumuskan bahawa penceramah JAKIM itu
cuba mempengaruhi pendengar bahawa ulama-ulama dari
Kelantan adalah sumber ajaran sesat. Jelas sasaran
utama beliau adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan
ulama-ulama PAS.
Walau pun kumpulan anti-hadith juga digulungkan
sebagai ajaran sesat, tetapi nampak sangat semasa
sessi soal jawab bahawa penceramah JAKIM itu mencuba
sebolehnya untuk melindungi kumpulan anti hadith
Jamaah Al-Quran Malaysia (JAM). Sikap JAKIM membela
JAM tidak menghairankan kerana kumpulan ajaran sesat
tersebut dilindungi dan dibela pegangan dan kegiatan
anti Hadith mereka oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir
Mohamad sendiri. Harus diingat beberapa bulan yang
lalu, Pengerusi JAM, Kassim Ahmad diperhimpunan
tahunan pertubuhan anti hadith itu telah berkata
sebahagian mereka selamat dari ISA kerana dilindungi
oleh Dr Mahathir. Malah Kassim Ahmad pernah berkata
bahawa beliau dan Dr Mahathir mempunyai pegangan yang
sama tentang agama Islam.
Selepas sandiwara Sauk, pihak UMNO begitu rioh hendak
menyiasat ajaran sesat di tanah air. Secara ikhlas
ingin disyorkan supaya UMNO memulakannya dengan
menyiasat Presiden mereka sendiri. Bukan sahaja
beberapa kenyataan Kassim Ahmad tetapi
kenyataan-kenyataan dari Dr Mahathir sendiri telah
menunjukkan mungkin Presiden UMNO itu adalah anti
Hadith. Contohnya, Dr Mahathir dalam ruangan
bulanannya di akhbar Jepun, Mainichi Daily keluaran 15
Februari, 2000 telah menulis bahawa tidaklah menjadi
kesalahan bagi orang Islam untuk duduk semeja dengan
mereka yang sedang minum arak, dan bukanlah budaya
orang Malaysia untuk memberitahu orang lain yang mana
itu baik dan yang mana buruk.
Ini suatu bukti bertulis dari Dr Mahathir sendiri yang
menunjukkan beliau adalah anti Hadith. Adalah mudah
dirumuskan dari kenyataan di akhbar Jepun itu bahawa
niat Dr Mahathir adalah untuk memperlekehkan
Hadith-Hadith Rasulullah SAW yang melarang umat Islam
duduk semeja dengan mereka yang sedang minum arak, dan
sekiranya tidak dapat dielak undangan ke sesuatu
majlis yang mensajikan arak, maka hendaklah pergi
dengan niat untuk memberitahu bahawa minuman arak itu
adalah haram dan buruk di sisi Allah SWT.
Nampaknya JAKIM bukan lagi mengendalikan hal ehwal
agama Islam tetapi tugas utamanya sekarang adalah
mempertahan dan mempromosikan pegangan sekularisma Dr
Mahathir dan UMNO. Sebenarnya pihak JAKIM telah
berlaku kurang ajar terhadap agama Islam kerana
menyenaraikan semua ajaran yang menyeru kepada
penubuhan negara Islam dan pemerintahan Islam itu
sebagai ajaran sesat. Adalah diseru kepada semua umat
Islam di Malaysia supaya lupakan perbedzaan fahaman
politik mereka untuk bersatu menentang usaha terbaru
oleh UMNO, melalui JAKIM, untuk memijak dan
memperkosakan aqidah serta kehormatan Islam.
Semata-mata kerana Allah SWT dan takut hanya kepada
Allah SWT.
Tarabulsi
17 September, 2000