AFP pada 7 Disember melaporkan bahawa Dr Mahathir
telah bersetuju dengan perlantikan Tan Sri Dzaiddin
Abdullah sebagai Ketua Hakim Negara yang baru
menggantikan Eusoff Chin. Bermacam yang aneh dan luar
kebiasaan telah berlaku sekitar perlantikan Ketua
Hakim Negara yang baru ini. Tidak boleh disalahkan
kalau ada yang menganggap ini semuanya mungkin suatu
lagi sandiwara yang dipentaskan untuk mengabui mata
rakyat kononnya Tan Sri Dzaiddin bukan boneka Dr
Mahathir seperti Eusoff Chin yang akan digantikannya
itu.
Sesuatu mula kelihatan tidak kena apabila Tan Sri
Dzaiddin kelihatan sekali imbas sebagai telah dilantik
oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Kaedah ini bertentangan
dengan peruntukan perlembagaan yang telah menetapkan
bahawa Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh
Agong atas nasihat Perdana Menteri. Perlantikan
tersebut sepatutnya hanya dirujuk kepada Majlis
Raja-Raja dan bukannya Majlis Raja-Raja yang membuat
pemilihan dan keputusan. Peruntukan perlembagaan jelas
memberi kuasa perlantikan itu kepada Perdana Menteri
kerana Agong dimestikan bertindak diatas nasihat PM.
Keadaan bertambah pelek apabila Dr Mahathir yang turut
menghadhiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut
pura-pura tidak tahu bahawa Majlis tersebut telah
melantik Tan Sri Dzaiddin sebagai Ketua Hakim Negara
yang baru. "Mungkin Dr Mahathir terlena tidoq masa
perlantikan tu dibincangkan,"kata seorang rakan saya
sambil ketawa besaq.
Perkembangan disekitar perlantikan Ketua Hakim Negara
yang baru itu bertambah pelek apabila Tan Sri Dzaiddin
telah dijulang dan diheboh-hebohkan sebagai
‘reformis’.
Sikap mudah ‘berkompromi’ yang diperlihatkan oleh Dr
Mahathir dalam menerima perlantikan Tan Sri Dzaiddin
tersebut seperti yang dilaporkan AFP hari ini (7
Disember) menguatkan lagi sangkaan bahawa ini semua
adalah sandiwara belaka.
Apa pula muslihat disebalik sandiwara terbaru ini?
Kalau filem-filem P Ramlee ada mengemukakan
mesej-mesej tertentu maka sandiwara sekitar
perlantikan Ketua Hakim Negara ini juga mempunyai
mesejnya. Apakah mesej tersebut? Mesej tersebut
adalah kononnya Tan Sri Dzaiddin bukan boneka Dr
Mahathir kerana perlantikan beliau adalah atas
kehendak Raja-Raja Melayu dan dengan demikian segala
keputusan kehakiman tidak akan lagi dibawah telunjuk
Dr Mahathir tetapi adalah keputusan yang seadil
mungkin yang bebas dari sebarang campurtangan Badan
Eksekutif.
Salah satu sasaran utama mesej tersebut adalah
pelabur-pelabur asing. Antara sebab utama
pelabur-pelabur asing bertambah takut untuk menanam
modal di Malaysia adalah kerana kehakiman Malaysia
dilihat sebagai terang-terang bukan bebas dan adil
tetapi dibawah telunjuk Dr Mahathir sepenuhnya. Malah
kehakiman Malaysia bukan sahaja dibawah telunjuk Dr
Mahathir tetapi juga dipengaruhi dengan kuatnya
melalui rasuah oleh kroni-kroni bisnes Dr Mahathir.
Malah kroni-kroni bisnes Dr Mahathir sebenarnya
mendalangi dengan kuatnya pengubalan dasar-dasar
negara. Dalam suasana yang sedemikian maka
pelabur-pelabur asing takut kalau-kalau timbul
pertelingkahan kepentingan yang membawa kepada
penyelesaian di mahkamah dalam keadaan mana sudah
tentu kehakiman Malaysia yang dikawal itu tidak akan
berlaku adil terhadap kepentingan pelabur asing yang
terlibat.
Sandiwara perlantikan Tan Sri Dzaiddin yang
diheboh-hebohkan sebagai ‘reformis’ itu juga diharap
akan dapat mengabui mata rakyat terhadap
keputusan-keputusan mahkamah yang bakal dibuat dalam
kes-kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan datang
seperti kes rayuan DSAI. Mahkamah dijangka akan terus
berlaku tidak adil terhadap DSAI tetapi pihak kerajaan
BN akan cepat mendakwa bahawa keputusan-keputusan yang
dibuat itu adalah adil dan tiada berunsur penganiayaan
kerana bukankah Tan Sri Dzaiddin itu sendiri adalah
seorang ‘reformis’. "Reasoning" yang sedemikian
mungkin payah diterima oleh penduduk bandar tetapi
mudah dipropagandakan kepada orang-orang Melayu di
kampong-kampong.
Dan Kerajaan BA negeri Terengganu jangan pula
terpedaya. Jangan ingat dengan perlantikan Tan Sri
Dzaiddin kehakiman negara akan pulih menjadi adil dan
saksama kerana tidak lagi dibawah telunjuk Dr Mahathir
dan kroni-kroninya. Tolong jangan bawa kes royalti
minyak ke mahkamah kerana kehakiman negara maseh perlu
dianggap sebagai dibawah kawalan dan campurtangan Dr
Mahathir sehinggalah ada bukti-bukti yang nyata bahawa
kehakiman negara boleh bertindak secara bebas dan adil
dibawah Ketua Hakim Negara yang baru. Kalau pun Tan
Sri Dzaiddin itu bukan klon Eusoff Chin bolehkah
beliau bertahan apabila ditekan dan diugut nanti oleh
Dr Mahathir. Oleh itu adalah diharap Kerajaan
Terengganu jangan termasuk perangkap.
Perlu ditegaskan bahawa perlantikan Tan Sri Dzaiddin
sebagai Ketua Hakim Negara yang baru tidaklah bermakna
bahawa kehakiman yang sudah begitu teruk imejnya
sebagai alat Dr Mahathir dan juak-juaknya akan pulih
menjadi telus, bebas dan adil. Persoalan yang perlu
kita tanya adalah: mampukah Tan Sr Dzaiddin melawan
kehendak Dr Mahathir. Kuatkah pertahanan Tan Sri
Dzaiddin bila disajikan nanti dengan bermacam jenis
juadah yang lazat-lazat oleh kroni-kroni Dr Mahathir?
Dan jangan juga terpedaya dengan perkembangan dimana
Majlis Raja-Raja Melayu kelihatan seolah-olah sudah
mula insaf dan celek dan nampaknya macam sudah mula
membuka langkah untuk menentang kekejaman dan
kezaliman pemerintahan kuku besi Dr Mahathir dan
UMNOI-BN. Raja-Raja Melayu terlalu banyak terhutang
budi dengan Dr Mahathir yang telah banyak memberi
projek-projek mewah kepada kaum kerabat Di Raja. Tidak
peleklah kalau ada orang yang mencemoh Raja-Raja
Melayu sebagai Kroni-kroni Di Raja Dr Mahathir kerana
sememangnya Raja-Raja Melayu merupakan antara
pengampu-pengampu yang telah mengukuhkan kerajaan Dr
Mahathir. Sebenarnya sikap mementingkan diri
Raja-Raja Melayu membuka ruang yang luas bagi Dr
Mahathir untuk bertindak sesuka hatinya.
Dan jangan kita lupa bahawa beberapa Memorandum Rakyat
yang dipersembahkan tidak dapat sebarang apa tindakan
oleh Raja-Raja Melayu. Malah pengesahan penerimaan
secara rasmi pun tidak dibuat oleh pihak-pihak Istana.
Dan jangan lupa kita telah dikejar dan dibelasah oleh
FRU dan PGA di Istana Negara semasa hendak
mempersembahkan Memorandum Rakyat kepada Agong. Kalau
Agong itu betul-betul berjiwa rakyat sudah tentu dia
akan keluar sendiri untuk bukan sahaja menerima
Memorandum kita itu tetapi akan melarang FRU dan PGA
dari membelasah kita.
Memangnya kita selalu berdoa’ agar Raja-Raja Melayu
akan sedar dan insaf dan akan bersama-sama rakyat
dalam perjuangan rakyat untuk menghapuskan
pemerintahan Dr Mahathir yang kejam dan zalim lagi
anti Islam itu. Masa sahaja yang akan memperlihatkan
samada Raja-Raja Melayu benar-benar sudah insaf dan
sememangnya tindakan mereka ‘melawan towkay’ dalam
perlantikan Tan Sri Dzaiddin itu sesuatu yang
'genuine' dan merupakan detik-detik permulaan untuk
bersama-sama perjuangan rakyat dalam menghapuskan
seorang diktator yang sudah terlalu kejam. Sementara
ini mungkin lebih baik sekiranya kita berhati-hati dan
jangan mengenepikan kemungkinan bahawa segala yang
berlaku dipersekitaran perlantikan Tan Sri Dzaiddin
adalah sandiwara terkini dibawah arahan Dr Mahathir.
Akhir kata kita tidak akan berlaku adil kalau tidak
memberi peluang kepada Tan Sri Dzaiddin untuk
membuktikan bahawa beliau bukan boneka Dr Mahathir.
Sama-sama kita lihat perkembangan yang akan datang.
Entah-entah diakhir kesemuanya ini bukan Tan Sri
Dzaiddin tetapi Mohtar Duggong yang akan naik menjawat
jawatan Ketua Hakim negara. Entahlah. Hanya Allah SWT
sahaja yang Maha Mengetahui.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Selamat menunaikan fardhu berpuasa di bulan Ramadhan
yang mulia ini seperti yang diperintahkan oleh Allah
SWT.
Tarabulsi
7 Disember 2000.