Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Isu Negara Islam : Kebijaksanaan, Kesederhanaan serta Keikhlasan PAS menyerlah.

Assalamualaikum,

Isu Negara Islam : Kebijaksanaan, Kesederhanaan serta Keikhlasan PAS menyerlah.

Maka isu negara Islam hangat dibincangkan. Orang BN pun bersoraklah. Ada yang berkata pakatan BA akan berpecah seperti yang diramalkan oleh Dr Mahathir. Ada yang kata memang sudah dijangka DAP dan PAS pasti akan bertelingkah sekitar isu negara Islam.

Dikalangan orang BA pun tidak kuranglah pendapat dan teori yang kesemuanya mencerminkan rasa bimbang akan robohnya pakatan BA. Ada yang mengutarakan teori konspirasi. Kononnya Keadilan, PRM dan DAP berpakat untuk mengusir PAS keluar dari BA demi untuk mengukuhkan peluang BA mendapat sokongan bukan Islam. Kononnya tujuan Datin Seri Wan Azizah mengeluarkan kenyataan menyokong penubuhan negara Islam sebenarnya adalah helah untuk memberi DAP alasan untuk melenting, dan selepas itu pakatan konspirasi Keadilan, DAP dan PRM bergabung untuk menekan PAS supaya menggugurkan dasar perjuangannya. Begitulah antara cerita-cerita sekitar isu negara Islam yang sekali lagi mengoncang BA.

Spekulasi kononnya BA akan berpecah semakin rioh disebut di sana sini setelah mesyuarat BA pada 9 Julai, 2001 sampai ke jalan buntu. Di mesyuarat BA tersebut, DAP, Keadilan, dan PRM telah menderaf kenyataan bersama yang bertujuan untuk memberi jaminan bahawa BA tidak akan menubuh negara Islam jika sekiranya BA diberi mandat untuk memerintah negara ini. PAS enggan menandatanganinya. Memang semestinya PAS menolak kerana ianya menyentoh soal akidah.

Keadaan bertambah keruh apabila PRM membuat kenyataan bahawa gabungan Keadilan-PRM yang sedang diusahakan akan menjadi ‘third force’ yang akan memantau dan mematahkan segala tindakan PAS untuk menubuh negara Islam. Kenyataan yang sebegini rupa telah hanya mengukuhkan teori konspirasi kononnya Keadilan, DAP dan PRM akan bergabung tenaga untuk membuat PAS berasa terlalu panas serta tertekan dan akhirnya memilih untuk keluar dari BA.

Sebenarnya apa yang berlaku adalah sesuatu yang sihat bagi BA. Pendapat dan pendirian yang berlainan atau bercanggah itu tidak semestinya membawa kepada perpecahan. Ianya boleh berakhir dengan rumusan serta kesimpulan yang membawa kepada persefahaman serta kerjasama yang lebih erat dan mantap dikalangan parti-parti komponen BA. Malah satu hasil positif sudah pun muncul. PAS telah disedarkan kepada suatu kenyataan, iaitu ramai yang masih tidak faham dan takut kepada negara Islam dan dengan itu Lajnah Penerangan PAS pusat telah diarahkan oleh Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor supaya mengatur dan melancarkan gerakan penerangan mengenai konsep negara Islam secara besar-besaran diseluruh negara. Ini suatu langkah yang positif lagi bijaksana.

Gerakan penerangan yang akan dilancarkan secara tidak langsung akan mempromosikan konsep negara Islam. Lihatlah bagaimana Allah SWT telah mengubah suasana yang keruh menjadi positif.

Sesungguhnya pendirian PAS dalam menolak kenyataan bersama BA itu adalah sesuatu yang dituntut. Perjuangan untuk menubuh negara Islam bukan perkara kecil dan bukannya helah politik. Ianya menyentuh soal yang sangat pokok, iaitu melibatkan akidah. Agama Islam menuntut dari semua umat Islam untuk berjuang menegakkan syariat Allah SWT dan menubuh daulah Islamiah (negara Islam), maka pendirian PAS bukannya ‘political posturing’ tetapi adalah untuk mempertahankan akidah serta agama Islam itu sendiri . Insya Allah hakikat ini akan boleh difaham dan diterima nanti tanpa ragu-ragu oleh DAP, Keadilan serta PRM, dan oleh semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama itu setelah penerangan terperinci diberi kelak.

Seperti yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS, dan juga Tok Guru Tuan Hj Abdul Hadi Awang, PAS tetap akan mendukung Manifesto BA, dan PAS kekal dengan dasarnya untuk terus bekerjasama dalam pakatan BA. Tidak akan menghairankan jika dari kegeseran sekitar isu negara Islam ini akan lahir nanti pakatan BA yang lebih berupa ‘political coalition’ yang kukuh. Insya Allah.

Perjuangan untuk menubuh negara Islam merupakan teras kekuatan PAS. Malah kemenangan PAS di Kelantan dan Terengganu serta prestasi yang sangat baik di Kedah, dan juga kejayaan memecahkan benteng UMNO yang kuat di Selangor telah dicapai kerana sokongan pengundi-pengundi terhadap perjuangan PAS untuk menubuh negara Islam. Jika PAS berpaling dari perjuangan ini, maka ramai ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS akan meninggalkan PAS. Yang lebih ditakuti adalah kemurkaan Allah SWT.

Orang PAS jangan pula menaruh sangkaan tidak baik terhadap Keadilan, DAP dan PRM. Sebenarnya parti-parti ini bukannya menentang Islam kerana mereka sedar dan akur bahawa agama adalah landasan yang sebaik-baiknya untuk mengujudkan sebuah pemerintahan yang adil dan amanah untuk menggantikan pemerintahan UMNO-BN yang zalim, tidak adil dan corrupt itu. Yang telah mengerak Keadilan, DAP dan PRM untuk meminta PAS supaya mengugurkan perjuangan menubuh negara Islam lahir dari perasaan bimbang isu tersebut akan menakutkan pengundi bukan Islam. Sememangnya peluang untuk BA menang pilihanraya 2004 bergantung kepada kebolehan BA untuk mendapat sebanyak mungkin undi orang Cina dan India. Dan dasar negara Islam jika tidak diperjelaskan boleh merumitkan usaha untuk mendapatkan undi bukan Islam itu. Sememangnya ini suatu kenyataan yang tidak boleh dinafikan. InsyaAllah segala keraguan akan hilang setelah PAS lancarkan gerakan penerangan secara besar-besaran nanti.

Sebenarnya isu negara Islam ini adalah positif bagi PAS. Rata-rata rakyat dari semua kaum dan agama telah memuji kebijaksanaan, kesederhanaan serta keikhlasan pucuk pimpinan PAS dalam menangani isu tersebut.

Kenyataan President PAS, Ustaz Dato’ Fadzil Noor bahawa isu ini muncul sekali lagi kerana masalah ‘tidak tahu’ dan oleh demikian gerakan penerangan akan dilancarkan telah dilihat oleh golongan bijak pandai sebagai satu lagi bukti yang nyata bahawa kepimpinan PAS bijak dan matang dalam ‘crisis management’ dan dalam mengembalikan ketenangan kepada situasi yang tegang.

Ketegasan pendirian Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam membela dasar perjuangan PAS dilihat sebagai bukti keikhlasan serta keberanian pemimpin PAS untuk berkata yang benar dengan tidak berselindung. Kenyataan Tok Guru bahawa PAS sanggup hilang kekuasaan di Terengganu demi memperjuangkan negara Islam dilihat sebagai keberanian dalam berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan. “Pemimpin macam Hadi Awang adalah pemimpin yang boleh dipercayai,” kata salah seorang rakan dari kaum Cina.

Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa bahawa Manifesto BA memberi ruang kepada penubuhan negara Islam juga dianggap membuktikan keikhlasan pemimpin PAS serta keberanian PAS untuk berterus terang dan berkata ‘hitam itu hitam, dan putih itu putih’.

Siapa tidak mahukan kemenangan. Dan sememangnya PAS juga inginkan kemenangan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk BA. Tetapi PAS lebih rela kalah jika kemenangan yang diidamkan itu tercapai dengan mengkhianati perjuangan Islam. PAS yakin sepenuhnya dengan janji-janji Allah SWT yang difirmankan di dalam Al Quran bahawa Allah akan pasti membela dan menolong kaum mukmin untuk mencapai kemenangan:

Terjemahan: “ Dan adalah menjadi kewajipan ke atas Kami menolong orang mukmin.” (Al Quran: Surah Al-Rum, 30:48)

PAS yakin jika PAS menerima pertolongan Allah SWT, maka tidak ada suatu kuasa pun di muka bumi ini yang dapat mengalahkan PAS :

Terjemahan: “Jika Allah menolong kamu (mencapai kemenangan) maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah) kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal (berserah diri). (Al Quran: Surah Ali ‘Imran, 3:160)

Terjemahan: “ Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al Quran : Surah Ali’Imran, 3:126).

PAS tidak gentar dan takut, bimbang atau khuatir kerana Allah SWT telah memberi jaminan dan berjanji di dalam Al Quran bahawa Allah SWT akan membela, mempertahankan, menolong, membantu dan akhirnya memberi kemenangan kepada kaum mukmin dan umat Islam. Tetapi jaminan dan janji kemenangan dari Allah SWT tersebut hanya dapat dicapai melalui syarat dan jalan yang ditentukan oleh Allah SWT seperti yang difirmankan-Nya dalam Al Quran seperti berikut:

Terjemahan: “Wahai orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan mengukuhkan tapak pendirian kamu.” (Al Quran: Surah Muhammad, 47:7).

Terjemahan: “ Dan demi akan Allah menolong sesiapa yang menolong-Nya (menegak dan mempertahankan agamaNya). Demi sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al Quran : Surah Al-Haj, 22:40).

PAS sedar dengan sepenuhnya bahawa untuk mendapat bantuan dan pertolongan Allah seperti yang dijanjikan, maka PAS mestilah melalui jalan dan syarat yang telah ditentukan oleh Allah SWT sendiri. Jalan dan syarat itu adalah dengan membela agama Allah SWT. Dengan ertikata yang lain kita jangan sekali-sekali kerana apa pertimbangan pun menggugurkan perjuangan kita untuk menegakkan syariat Allah SWT dan menubuh negara Islam. Dan kemenangan itu akan dicapai mengikut waktu dan masanya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT :

Terjemahan: “ Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir (waktunya).”

Penyokong-penyokong PAS sendiri perlu memahami bahawa kemenangan yang hendak dicapai adalah kemenangan yang datangnya dari Allah SWT, dan jangan sekali-sekali kita berkompromikan agama Islam kita kerana kemenangan secara berkompromi itu tidak akan di redhai Allah SWT, malah akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Musuh-musuh Islam sejak selepas Perang Salib lagi telah menyedari bahawa sebaik-baik cara untuk mematah dan mengalahkan perjuangan Islam itu adalah dengan mengelincirkan akidah umat Islam. Kita semua harus berhati-hati agar tidak terjatuh ke dalam perangkap musuh. Yakinlah Jika Allah menolong kita maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kita. Jika Allah SWT mahu, dalam sekelip mata sahaja Allah SWT boleh mengujudkan keadaan serta sebab musabab yang akan memberi kita kemenangan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Tarabulsi
22 Rabiulakhir 1422
(14 Julai 2001)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com