Assalamualaikum wm wbt,
Bailout Renong: Akhirnya Mahathir akui syarikat2 kroni punca ekonomi merundum
Setelah lama menuding jari ke arah Soros dan lain-lain
pihak, akhirnya Dr Mahathir dengan sendiri secara
tidak langsung mengakui bahawa dasar kronisma adalah
punca utama berlakunya kemerosotan ekonomi yang
bermula sejak Julai 1997 dan berlarutan hingga ke hari
ini. Kata perpatah Inggeris “truth will prevail”,
iaitu kebenaran itu akhirnya akan menjadi nyata jua.
Pada minggu lepas pihak kerajaan telah mengumumkan
hasrat untuk mengambil alih (atau bailout) satu lagi
syarikat kroni, iaitu Renong Bhd yang tidak terbayar
hutang sebanyak RM13 billion. Renong ada hubungkait
yang rapat dengan UMNO malah dikatakan sebagai 'flag
ship' UMNO dalam dunia perniagaan. Dalam menjelaskan
mengapa Renong perlu diselamatkan, Dr Mahathir telah
mengakui bahawa salah urus dan hutang Renong yang
berbillion itu telah mengheret Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL) turun dengan teruknya. Hutang-hutang
syarikat-syarikat kroni seperti Renong, Berjaya Group,
Land & General, YTL, Maxis dan lain-lain yang
berbillion ringgit dan tidak mungkin terbayar tanpa
bailout oleh kerajaan kini diakui sebagai menakutkan
pelabur asing untuk datang melabur.
Tidak dinafikan bahawa George Soros dan lain-lain
pelabur-pelabur asing turut mencetuskan krisis
kewangan pada Julai 1977. Tetapi sebenarnya George
Soros dan pelabur-pelabur asing telah cepat-cepat lari
keluar dari BSKL kerana mereka melihat kerajaan Dr
Mahathir telah membangunkan ‘bubble economy’ yang akan
meletup pecah pada bila-bila masanya. Rakyat
dilalaikan dengan kemewahan yang palsu yang sebenarnya
berteraskan pinjaman wang secara sewenang-wenangnya
dari luar negeri (yang menurut sesetengah pihak
berjumlah US$360 billion, iaitu hampir satu trillion
ringgit). Kerajaan dan syarikat kroni-kroni telah
memboroskan duit pinjaman tersebut dengan melaksanakan
projek-projek mega yang diinginkan sangat oleh Dr
Mahathir, seperti pembinaan KLCC Twin Towers, yang
menelan berbillion ringgit tetapi tidak ada pulangan
ekonomi, malah membebankan negara dengan hutang yang
terlalu banyak.
Soros dan pelabur-pelabur asing juga melihat bahawa
syarikat-syarikat kepunyaan kroni-kroni regu Mahathir-
Daim kesemuanya telah menyalahgunakan wang pinjaman
dari luar negara hampir satu trillion ringgit itu yang
dijamin oleh bank-bank tempatan. Oleh kerana dana
asing ini disalah urus (termasuk dibawa keluar dan
dimasukkan kedalam akaun-akaun persendirian di luar
negeri) maka bukan sahaja syarikat-syarikat kroni
menuju ke arah bankruptcy, tetapi bank-bank tempatan
yang menjadi penjamin ikut bersama lingkup. Dan duit
rakyat yang digunakan dari sumber-sumber seperti
Petronas, EPF dan Tabung Haji (dan juga dari budget
kerajaan sendiri) untuk membailout syarikat-syarikat
kroni tersebut tidak dimenafaatkan dengan betul tetapi
dilarikan juga sebahagiannya ke akaun-akaun bank
persendirian di negara-negara Barat.
Soros dan pelabur-pelabur asing merasakan bahang
ekonomi Malaysia sudah panas (“overheating) sejak
pertengahan 1996 lagi. Dan keadaan telah bertambah
runcing apabila Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah mula
mengorak langkah untuk menyekat regu Mahathir-Daim dan
kroni-kroni dari meneruskan merompak wang dan hartanah
negara sewenang-wenangnya atas nama membangun ke arah
pencapaian Wawasan 2020.
Keberanian Anwar Ibrahim membentang pindaan kepada
Akta Rasuah semasa beliau memangku jawatan Perdana
Menteri telah dibaca dengan tepatnya oleh George Soros
dan pelabur-pelabur asing sebagai bermulanya langkah
oleh Anwar Ibrahim untuk membersihkan ekonomi dari
gejala penyelewengan, pecah amanah, rasuah, nepotisma
dan kronisma yang sudah menjadi ‘trademark’
pemerintahan Dr Mahathir. Langkah Anwar Ibrahim itu
semestinya akan berkesudahan dengan konflik antara
beliau dengan regu Mahathir-Daim. (Anwar Ibrahim
seterusnya dikhianati, diaibkan dengan tuduhan yang
keji tanpa bukti dan dihukum penjara selama 14 tahun
oleh mahkamah yang corrupt dan mengikut telunjuk Dr
Mahathir).
Maka George Soros dan pelabur-pelabur asing telah
cepat-cepat lari keluar dari BSKL pada Julai 1997
apabila keadaan kelihatan terlalu panas. Tidak boleh
disalahkan mereka. Kalau faktor Soros tidak wujud
sekali pun, ekonomi Malaysia pasti akan merundum
akibat dari projek-projek mega Dr Mahathir dan juga
budaya pecah amanah, rasuah, salah urus wang, dasar
membolot kekayaan, nepotisma dan kronisma yang sudah
menjadi ‘darah daging’ pemerintahan Dr Mahathir dan
UMNO-BN.
Pada 23 Julai, 2001 telah diumumkan bahawa kerajaan
Malaysia akan membeli sepenuhnya United Engineers
Malaysia Bhd (UEM) yang hampir bankrupt itu dengan
harga RM3.67 billion. UEM adalah anak syarikat kepada
Renong Bhd, dan keputusan kerajaan untuk menguasai
sepenuhnya UEM diakui sebagai langkah permulaan untuk
seterusnya mengambil alih Renong Bhd yang juga hampir
bankrupt dengan hutang tidak terbayar sebanyak RM13
billion itu (billion dan bukannya juta).
Bailout UEM oleh kerajaan sebenarnya adalah satu lagi
pengkhianatan wang rakyat oleh rejim Dr Mahathir.
Menurut sesetengah orang Petronas, kononnya dua tiga
tahun dahulu Dr Mahathir telah mengarahkan Petronas
untuk menghulur beberapa billion ringgit ‘wang ihsan’
(kononnya berjumlah RM17 billion) untuk membantu UEM
dan anak syarikatnya PLUS. Wang tersebut diberi oleh
Petronas secara ihsan dengan tidak perlu dibayar balik
untuk membolehkan UEM dan PLUS menjelaskan pinjaman
dari dalam dan luar negeri yang dipinjam untuk membina
lebuhraya Utara-Selatan dan lain-lain lebuhraya. Kalau
betul dakwaan ini maka timbul pertanyaan ke manakah
perginya ‘wang ihsan’ yang berbillion ringgit yang
diberi oleh Petronas itu. (Ke dalam saku orang-orang
UMNO atau akaun-akaun bank mereka di luar negeri?).
Dan kemana pula perginya duit bayaran tol yang
berjuta-juta dipungut setiap hari. Mengapa UEM masih
lagi perlu dibailout?
Kalau betul sejumlah RM17 billion ‘wang ihsan’ diberi
oleh Petronas kepada UEM dan PLUS maka timbul lagi
pertanyaan - kenapa bayaran tol tidak diturunkan.
Bukankah ‘wang ihsan’ Petronas itu duit rakyat. Dan
bukankah ianya secara implikasi bermakna Lebuhraya
Utara-Selatan dan lain-lain lebuhraya sudah menjadi
milik rakyat dan PLUS hanya mengurusnya bagi pihak
rakyat. Maka kadar tol sepatutnya dikurangkan dan
bukannya dinaikkan yang telah membebankan rakyat.
Pada hari isnin 23 Julai, 2001 Dr Mahathir telah
hadhir sendiri di Parlimen untuk memberi jawapan
kepada pertanyaan pembangkang mengenai bailout UEM dan
Renong. Dr Mahathir menafikan ianya suatu bailout atau
pun berunsur politik wang, mahu pun rasuah.
Menurut Dr Mahathir keputusan untuk membailout Renong
dan UEM adalah untuk menyelamatkan pekerja-pekerja dan
bukan ‘towkay-towkay’. Jawapan ini sangat tidak
memuaskan. Kalau hendak menyelamatkan pekerja-pekerja
mengapa kerajaan Dr Mahathir tidak turut berusaha
untuk menyelamatkan lebih kurang 30,000
pekerja-pekerja di sektor perbankan yang bakal
diberhentikan kerja atas alasan mereka jatuh
‘redundant’ ekoran pergabungan bank-bank? Mengapa
wujud ‘double standard’ ini? Tolong jawab wahai
Mahathir.
Menurut sesetengah pihak, sebenarnya bank-bank yang
telah dan akan digabung itu lebih dari berupaya dan
mampu untuk mengekalkan kesemua pekerja-pekerja yang
sudah jatuh ‘redundant’ itu. Memandangkan bank-bank
berkemampuan dan keadaan kemelesetan ekonomi akan
menyulitkan pekerja-pekerja yang hendak dibuang itu
untuk mendapat perkerjaan lain, maka sepatutnya
'downsizing exercise’ atau mengurangkan tenaga kerja
bank itu tidak diteruskan. Tetapi pemegang-pemegang
saham telah menuntut diambil kesempatan dari
pergabungan itu untuk membuang pekerja-pekerja bank
untuk memastikan keuntungan dividen yang banyak.
Tatkala hendak menyelamatkan syarikat-syarikat kroni
seperti Renong, pandai pulak Dr Mahathir berhelah
kononnya bailout tersebut adalah untuk menyelamatkan
pekerja-pekerja. Tetapi bila lebihkurang 30,000
pekerja-pekerja bank akan dibuang kerja, tidak pula Dr
Mahathir gunakan lojik yang sama untuk menyelamatkan
mereka. Malah Dr Mahathir dan UMNO-BN diketahui telah
menyebelahi pihak pemegang-pemegang saham bank.
Seperti yang disebutkan diatas, Dr Mahathir telah
hadhir sendiri di Parlimen. Tindakan Dr Mahathir itu
agak luar biasa kerana beliau jarang hadhir di Dewan
Rakyat bagi sesi jawab lisan. Lazimnya beliau akan
menyuruh Pak Lah atau salah seorang Timbalan Menteri
menjawab bagi pihak beliau. Memandangkan sudah begitu
lama beliau tidak menjawab sendiri pertanyaan jawab
lisan di Parlimen, maka ada yang terfikir mungkin Dr
Mahathir ‘buang tabiat’.
Dan jawapan-jawapan beliau terutamanya mengenai gejala
politik wang dan bailout syarikat Renong begitu
melalut dan macam budak-budak. Dr Mahathir lebih
memesong kepada tuduhan bahawa PAS merasuahkan syurga
di akhirat nanti. Balik-balik jawapan-jawapan Dr
Mahathir memesong kepada ‘rasuah syurga’ tersebut.
Memang betul kata salah seorang Ahli Parlimen PAS
bahawa Dr Mahathir melalut….dan mungkin juga buang
tabiat??? Allahu’alam.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Tarabulsi
3 Jamadilawal, 1422
(24 Julai, 2001)