Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bush patut contohi Salehudin al-Ayubi (Saladin)

Assalamualaikum wm wbt.

Bush patut contohi Salehudin al-Ayubi (Saladin)

Oleh Ewen MacAskill

Isnin Oktober 1, 2001
The Guardian

George Bush, yang pada mulanya menyamakan peperangan menentang keganasan sebagai satu "crusade" (perang salib), sepatutnya mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh panglima Islam, Salehuddin al-Ayubi (Saladin), dan bukan teladan kekejaman tentera Kristian semasa perang salib tersebut.

Pada tahun 1099, bila tentera perang salib Kristian menakluki Jerusalem, mereka telah menyembelih setiap umat Islam dan orang Yahudi - tak kira lelaki, wanita dan kanak-kanak - dalam acara pembunuhan yang bermula dari sejak pagi hinggalah jauh ke tengah malam. Salah saorang dari 'crusaders' (pahlawan Kristian) telah mencatitkan bagaimana beliau terpaksa mengharung mayat-mayat (umat Islam dan orang Yahudi) yang berlambak setinggi paras lutut di jalan-jalan di Jerusalem.

Bila panglima Islam, Salehudin al-Ayubi (Saladin) menakluk kembali Jerusalem pada 1187, beliau tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem yang bukan Islam, malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira samada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang ditempat-tempat suci masing-masing agama di bandar Jerusalem tersebut.

Bush dan Tony Blair perlu contohi teladan baik yang ditunjuk oleh Salehudin (Saladin) yang berperikemanusiaan dan sabar itu daripada terbawa-bawa dengan teladan 'crusaders' Kristian yang telah membalas dendam dan membunuh secara rambang dan kejam. Bush dan Blair dalam pada hendak mengalahkan Osama bin Laden dan kumpulan al-Qaida hendaklah elak dari membunuh rakyat Afghanistan, dan hendaklah juga tolak desakan sesetengah pihak untuk seterusnya menyerang pula negara-negara (Islam) yang berhampiran.(Catitan: Yang dimaksudkan adalah desakan supaya diserang Iran, Iraq, Palestine dan Lebanon selepas berperang dengan Afghanistan).

Sejak awal lagi selepas serangan September 11, Bush memang menunjukkan kesabaran. Yang perlu sekarang adalah supaya Bush terus bersikap sabar di hari-hari dan bulan-bulan yang akan datang.

Presiden Bush, dengan disokong oleh Blair, pada mulanya telah menetapkan objektif yang keterlaluan sebagai membalas dendam terhadap serangan September 11: iaitu tidak kurang dari memerangi keganasan di seluruh pelusuk dunia. Sejak dari itu, Bush dan Blair telah akur kepada nasihat dari penasihat dasar luar dan pihak tentera yang telah memberitahu kedua pemimpin itu bahawa matlamat mereka yang keterlaluan itu tidak boleh dicapai. Setelah pihak tentera dan diplomatik mengkaji dengan lebih teliti, lebih banyak masalah telah tertampil - maka Bush dan Blair terpaksa menurunkan sasaran objektif mereka.

Britain telah menasihatkan US supaya dihadkan tindakan ketenteraan hanya ke atas Afghanistan (dan tidak ke atas lain-lain negara Islam) dengan mengurangkan sejauh mana yang boleh terkorbannya nyawa orang-orang awam. Melancarkan missiles jarakjauh bukan sahaja tidak akan memastikan pencapaian objektif dengan sepenuhnya, tetapi ianya hanya menambahkan risiko kemungkinan terkena orang-orang yang tidak bersalah.

Kebanyakkan orang di sebelah barat tidak akan bersedih bila orang-orang Bin Laden dibunuh nanti, tetapi ianya akan menyentoh perasaan mereka yang berfahaman liberal. Apabila bilangan mayat meningkat, akan timbul pertanyaan adakah tentera khas (US dan Britain) berhak dan boleh dengan tepat menentukan yang mereka bunuh itu adalah benar-benar anggota kumpulan Bin laden? Mengikuti dasar yang konsisten amatlah penting : iaitu jika menjadi suatu kesalahan bagi tentera British mengamalkan dasar "shoot-to-kill" di Ireland Utara, dan jika adalah kesalahan bagi Israel untuk melakukan serangan "pre-emptive" (serangan untuk mencegah) ke atas orang Palestin di West Bank dan Gaza, maka timbul persoalan adakah betul atau pun salah bagi tentera khas US dan Britain untuk berlagak sebagai pendakwa, hakim, dan para juri di Afghanistan?

Ada satu lagi dilema dari segi undang-undang antarabangsa yang lebih serius. US dan Britain boleh mendakwa mereka mendapat restu Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memerangi kumpulan Bin Ladin. Tetapi tidak ada restu dari PBB untuk serangan-serangan ke atas Taliban. Di medan perang yang lapang sudah tentu pejuang-pejuang Taliban akan kena sembelih oleh senjata canggih US dan Britain. Tetapi mayat-mayat orang Taliban itu akan menimbulkan pertanyaan samada tindakan keatas mereka itu adalah sah disisi undang-undang.

Walau pun Taliban punyai rekod yang buruk dari segi hak-hak manusia, Taliban hanyalah bersalah dalam kes ini kerana melindungi Osama bin Ladin dan kumpulannya: ini tidak cukup sebab musabab untuk memerangi Taliban

Jika memberi perlindungan kepada pengganas ddan pertubuhan gerrila merupakan suatu jenayah, kalau begitu senarai negara yang bersalah adalah panjang, bermula dengan Pakistan kerana membantu dua kumpulan pengganas di Kashmir (catitan: kumpulan-kumpulan pembebasan Islam di Palestin, Kashmir, Mindanao dan Acheh yang memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan sudah mula ditakrifkan sebagai kumpulan-kumpulan pengganas Islam). Tetapi Bush dan Blair tidak berhak bertindak sebagai polis dunia di seluruh Timor Tengah, Asia Selatan, Afrika dan Asia.

Amerika perlu berwaspada dan jangan merebakkan peperangan ke Iraq.

Cadangan yang diketarakan oleh Pentagon (untuk turut menyerang Iraq) dikira kukuh. Jika Saddam dihapuskan maka tidaklah perlu lagi bagi US dan Britain untuk mengawasi ‘no fly zone’ dan sekatan ekonomi ke atas Iraq. Dan bolehlah US menarik keluar tenteranya dari Arab Saudi. Dengan demikian dua sumber kebencian terhadap US di Timur Tengah akan terhapus.

Tetapi, walau pun menghapuskan Saddam itu kelihatan menarik, masih ada keperluan untuk bertindak mengikut garisan undang-undang antarabangsa. Tidak terdapat apa-apa bukti wujudnya pertalian antara Saddam dan Osama bin Laden, walau pun US dan Britain sangat-sangat inginkan ianya wujud.

Diharap kaedah yang akan menentukan tindak-tanduk Bush dan Blair dalam masa-masa berhampiran ini adalah: Adakah tindakan mereka akan membuat keadaan berubah menjadi baik atau pun memburukkan lagi keadaan?

Tentera Kristian (crusaders) semasa Perang Salib dahulu telah menjadikan keadaan bertambah buruk. Stephen Runciman, dalam menulis 3 jilid sejarah Perang Salib, membuat rumusan bahawa tindakan-tindakan kejam oleh pihak Kristian (semasa Perang Salib) telah mengakibatkan hubungan antara Islam dan Kristian menjadi buruk buat beberapa abad: “Terbukti bahawa sikap fanatik Kristian yang dahagakan darah orang Islam yang menzahirkan fanatik Islam.”

Ewen MacAskill

(Terjemahan Tarabulsi)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com